Lana Nordin & Suami Sepakat Terapkan Budaya Orang Melayu Pada Anak-Anak

Share

Pelakon Lana Nodin meluahkan rasa syukur kerana anak bongsunya, William Daud Mckienzie telah menyambut ulang tahun kelahiran pertama pada November tahun lalu. Sebagai seorang ibu, tiada yang lebih menggembirakan melihat anak sendiri yang sebelum ini menderita sakit semakin sembuh. Akui Lana, kesihatan anaknya yang mesra disapa Billy itu semakin baik.

Gambar: Ammar Kadir

“Syukur pada Ilahi, sebelum ini Allah SWT berikan ujian yang sangat hebat pada daddy dan mommy sekeluarga. Alhamdulillah kini, Allah SWT berikan nikmat untuk menyambut ulang tahun pertama bersama kami.

“Terima kasih Allah SWT dengan anugerah ini, anak saya semakin sihat dan terima kasih juga kerana memberi saya dan suami peluang menjaganya. Terima kasih juga kepada semua yang telah mendoakan dan masih mendoakan kesihatan anak saya, terima kasih semua,” ungkap Lana lagi dengan penuh rasa sebak.

Difahamkan, sejak dilahirkan, Billy telah menjalani prosedur ‘baloon valvuloplasty’ disebabkan masalah injap sempit (aortic stenosis), namun tahap kesihatannya kini semakin baik.

Gambar: Ammar Kadir

“Sekarang Billy tidak perlu major pembedahan cuma 6 bulan sekali dia perlu buat rawatan susulan untuk memantau jantungnya. Sekarang dia dah setahun, jadi harap kesihatan baik dan tiada sebarang komplikasi pada jantungnya kelak,” ujar Lana yang mendirikan rumah tangga dengan David Mckinzie atau nama Islamnya, Muhd Daud pada tahun 2015.

Selain Billy, pasangan ini mempunyai seorang cahaya mata sulung bernama Gia Quinn Mckinzie.

Suami isteri sepakat didik anak
Dalam pada itu, pelakon yang berusia 39 tahun itu turut meluahkan rasa syukur dengan apa yang mereka miliki sekarang dan berharap tahun baru yang bakal tiba ini lebih banyak rezeki yang diperoleh.

“Untuk tahun baru ini, saya dan suami akan berniaga selain mempunyai beberapa produk yang bakal dikeluarkan. Selain itu, kami juga akan perkembangkan produk ke hypermarket. Sebelum ini, saya ada cakap mahu ke Brunei sekarang baru set up pejabat dan akan datang rumah kami akan siap tak lama lagi.

“Antara saya dan suami, waktu pagi anak-anak lebih rapat dengan suami kerana dia bangun lebih awal. Dalam pukul 5-6 pagi dia akan bangun untuk bersenam. Waktu itu anak-anak pun turut sama bangun.

“Jadi suami akan ambil alih tanggung jawab untuk menguruskan mereka. Manakala waktu tengah hari dan makan, saya akan ambil alih. Kalau ditanya siapa lebih tegas dan garang pastinya mak lah yang lebih garang kan,” seloroh Lana lagi.

Terapkan budaya orang melayu
Tidak mengabaikan budaya orang Melayu, akui Lana suaminya sendiri sudah selesa dengan budaya ini.

“Kalau diikutkan tak jauh beza budaya antara saya dan suami memandangkan ibunya orang Filipna. Jadi lebih kurang sama Cuma apabila suami duduk di Malaysia, dia faham, budaya Orang Melayu bagaimana dengan budaya di tempat dia. Cuma ada beberapa bab contohnya berbudi bahasa, bersopan dan banyak terikut budaya dari sana kerana suami sangat menitik beratkan benda-benda begini terutama dalam pendidikan anak-anak.

“Selain itu, saya juga terapkan budaya melayu seperti jangan pakai kasut dalam rumah, makan guna tangan dan sebagainya.Tetapi saya tak abaikan budaya dari pihak suami. Cuma lebih budaya Orang Melayu memandangkan suami sendiri dan selesa dengan budaya kita,” cerita Lana lagi.

Anak-anak jadi keutamaan
Mengakui rindu untuk berlakon lagi, namun fokusnya kini lebih pada anak-anak dan juga produk keluarannya.
“Kalau boleh masih nak aktif berlakon dan alhamdulillah jika ada tawaran. Selain itu kalau ada peluang jadi penerbit teringin juga cuma sekarang sibuk dengan produk dan bisnes. Dalam masa yang sama, keutamaan saya pastinya pada anak-anak dan suami. Tambahan lagi,saya lebih selesa menjaga anak-anak tanpa menggunakan khidmat pembantu rumah.

Gambar: Ammar Kadir

“Kalau berlakon memerlukan masa yang lama. Tetapi kalau ada skrip atau watak yang tak memerlukan masa yang panjang, saya akan terima. Dugaan dan rintangan yang dilalui sebelum ini telah membuka mata saya dan suami. Malah, saya rasa lebih bersyukur dengan apa yang kami miliki sekarang dan kerana itulah saya sanggup menjaga anak sendiri tanpa bantuan orang lain.

Gambar: Ammar Kadir

“Cuma kalau soal kerjaya sebagai anak seni, saya tetap tak boleh tinggal kerana itu minat saya. Mungkin kalau ada peluang saya lebih kepada bidang pengacaraan seperti hos memasak dan sebagainya. Sebab itu saya kat rumah rajin memasak di rumah dan buat live. Memang rindu sangat-sangat nak masuk set untuk berlakon,” ungkap Lana tatkala ditanya mengenai kerjayanya dalam bidang lakonan.