Ajal maut, jodoh pertemuan segalanya ditentukan Sang pencipta. Sebagai hambaNya kita harus reda dan sabar menerima ujian yang melanda.
Demikian juga dengan wanita ini. Inai di jari masih belum hilang merahnya, si isteri sudah diduga dengan kehilangan suami buat selama-lamanya. Lebih memilukan pasangan ini baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada minggu lalu.
Arwah Dr Mohammad Farid Ismail, 28 tahun yang berkhidmat sebagai pegawai perubatan di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dan maut dalam kejadian tersebut.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Dr Mohammad Farid dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar tiang elektrik di pembahagi jalan. Ketika kejadian, difahamkan mangsa yang berasal dari Pendang, Kedah itu dalam perjalanan ke tempat kerjanya.
Apa yang membuatkan ramai sebak bila mana mengetahui arwah merupakan anak yatim piatu. Dalam satu perkongsiannya di instagram usai selamat diijabkabulkan, arwah ada memuat naik perasaan gembira kerana mendapat mak dan ayah baru setelah sekian lama tak berpeluang memanggil panggilan itu.
Semoga si isteri tabah mengharungi dugaan. Bersama kita menghadiahkan fatihah dan mendoakan agar rohnya bersama dengan mereka yang diredhai.