Lain Cara Didik Anak Lelaki Ni. Boleh Ikut Tip Cikgu Ini.

Share

Bergelar ibu bapa ni, memang isu mendidik anak sering menjadi perbualan dalam aspek keibu bapaan. Mana tidaknya, semua ibu bapa inginkan anak-anak yang mendengar cakap dan berjaya dalam hidup. Jika salah asuh, tentu akan memberi kesan kepada sikap anak itu sehingga dewasa. Malah, ada yang beranggapan sikap anak itu, adalah cerminan ibu bapa. Tentu kita tercari-cari panduan nak didik anak. Termasuk cara mendidik anak lelaki.
Ikuti perkongsian cikgu ini mengenai cara mendidik anak lelaki.


Tip mendidik anak lelaki, memang " Deep"

Cabaran mendidik anak lelaki berbeza dengan anak perempuan. Saya kongsikan beberapa tips terbaik melahirkan anak lelaki yang berjiwa kental, bertanggungjawab dan di hormati masyarakat.

1. Sumber belanja

Inilah kehidupan. Saya menelusuri sejarah kehidupan Almarhum ayahanda dan 5 bapa saudara yang dibesarkan oleh atuk dan nenek. Semuanya lelaki. Kebanyakan dari mereka menjadi insan hebat, sangat disegani dan ada yang namanya tercatat dalam kelompok ulama negeri kelantan.

Subhanallah.. .

Jangan terkejut jika saya nyatakan, mereka melanjutkan pengajian ke luar negara berbekalkan duit belanja dari hasil jualan telur itik dan sumbangan masyarakat kampung.

Rupanya, wang belanja dan sumber yang berkat memberi kesan yang hebat dalam kehidupan seorang anak. Menjadi asbab kepada Allah SWT redha dengan ilmu yang dituntut sehingga mampu menjadi tunjang dalam masyarakat.

2. Susah

Kemewahan hanya akan melahirkan seorang anak lelaki yang pandai meminta bukan memberi.

Ajari mereka tentang kehidupan yang susah, jika hari ini suasana rumah kita tidak membantu, bawalah anak-anak ke suatu tempat yang mampu mengajar erti kesusahan yang sebenar.

Ajak mereka melakukan khidmat masyarakat, turun menziarahi keluarga yang dhoif dan berikan tanggungjawab sebagai Ketua untuk menguruskan sesuatu misi mengikut kadar kemampuan.

Banyakkan program bersama anak lelaki, membersih kawasan masjid, tempat wudhuk dan paling penting ialah tandas. Inilah cara yang paling mudah untuk menundukkan hati yang keras dan sombong.

Bila hati sudah dilentur, mudahlah akhlak dibentuk.

3. Damping

Cuba tanya anak lelaki satu soalan nie, bila besar nanti nak jadi apa?

Kita akan mendengar jawapan yang hampir sama. "Saya nak Jadi macam ayah"

Apapun pun pekerjaan seorang ayah, anak lelaki akan merasa bangga dan sentiasa memasang angan-angan untuk menjadi seperti nya.

Penting, dampingi anak-anak dengan contoh kelakuan yang terbaik. Tabiat yang buruk tinggalkan diluar rumah atau lakukan diluar pngetahuan anak-anak lelaki. Contohnya bertengkar, ketagihan game, merokok dan sebagainya.

Seorang anak yang diajar dengan kekerasan, sifat bengis, pemarah, suka berhibur dan kemaksiatan akan cenderung menjadi seorang penjenayah, mereka melihat orang lain sebagai lawan bukannya kawan.

4. Cintakan ilmu, pasakkan tauhid dalam jiwa

Bahaya membiarkan jiwa seorang anak lelaki kosong, kering dan gersang kerana banyak unsur-unsur negatif akan berebut memenuhinya.

Tidak mudah mendidik anak lelaki kerana kita hanya mampu melihat hasilnya apabila mereka menginjak remaja dan menjadi dewasa.

Cabaran yang paling besar ialah menguruskan anak lelaki remaja.. berapa ramai ibu ayah yang menumpahkan air mata kerana anak mereka tersungkur di lembah kehinaan, salah memilih haluan hidup, kuat melawan, memilih teman hidup yang salah, tercalar akidah kerana taasub dengan artis2 barat dan kpop.

Ubat kepada segala penyakit ini ialah suapkan makanan kepada Rohani mereka. Wujudkan hubungan dengan Allah dan benamkan kalimah tauhid dalam jiwa, pasti dan pasti tidak ada perkara yang boleh merosakkannya.

5. Berdikari

Bekal hidup yang paling baik untuk seorang anak lelaki ialah ilmu dan pengalaman. Hantar mereka belajar di tempat jauh, lagi jauh lagi mahal pengalaman yang mereka perolehi.

Anak lelaki yang berdikari akan menjadi seorang yang bertanggungjawab dan bijak mengatur kehidupan.

Kita bukan sahaja melahirkan seorang anak lelaki, tetapi Allah amanahkan kita bakal khalifah. Besar sungguh tanggungjawab mendidik, kerana kita akan disoal tentang amanah ini.

Kredit: Aminah Mat Yusoff