Dianugerahkan anak sebagai zuriat penyambung warisan tentunya sesuatu yang cukup menggembirakan dan membahagiakan.
Lebih-lebih berganda perasaannya bila dikurniakan bukan seorang cahaya mata malah kembar sembilan sekali gus! Rasa bahagia dan syukur yang sukar untuk digambarkan.
Pun begitu tidak dinafikan bukan mudah malah semuanya berganda perlu diuruskan.
“Melahirkan seorang anak sudah cukup sukar. Inikan pula sembilan anak, tidak dapat dibayangkan,” kata Halima, ibu kepada bayi kembar sembilan yang memecah rekod dunia sebagai kembar paling ramai.
Memetik berita di Sinar Plus, difahamkan setelah melahirkan Mei lalu di sebuah di Casablanca, Morocco, Halima Cisse, 26, dan bayi-bayinya akhirnya dibenarkan pulang ke Mali.
“Sungguh mengagumkan jumlah kakitangan yang terlibat dalam menjaga mereka. Saya berterima kasih kepada pasukan perubatan yang bekerja keras dan kerajaan Mali kerana membiayai kelahiran ini,” kata isteri kepada tentera laut, Abdelkader Arby, 35.
Daripada sembilan kembar, empat adalah lelaki dinamakan Oumar, Elhadji, Bah dan Mohammed VI.
Manakala lima daripadanya adalah perempuan diberi nama Adama, Oumou, Hawa, Kadidia dan Fatouma.
Kembar luar biasa ini pada awalnya dijangkakan mampu bertahan 50-50.
Bagaimanapun, semuanya kuat semangat, berjaya melepasi tempoh sukar dan kritikal hingga bebas inkubator sejak Ogos lalu.
Susulan itu, bayi-bayi berkenaan berpindah ke sebuah pangsapuri berdekatan hospital bagi memudahkan dipantau kakitangan perubatan.
Memiliki bayi yang ramai, Cisse terpaksa menggunakan 100 keping lampin pakai buang dan menyediakan enam liter susu sehari.
Kandungan kembar sembilan menjadi perhatian dunia selepas Cisse hamil tanpa sebarang rawatan kesuburan.
Pada awalnya dia dikatakan hamil kembar tujuh sahaja.
Berat perut Cisse juga dikatakan mencecah 30 kilogram, termasuk air ketuban.
Bayi-bayi tersebut dilahirkan pada usia pramatang melalui pembedahan caesarean.
Cisse difahamkan berada diambang maut selepas bersalin kerana kehilangan banyak darah.
Lapor Daily Mail, bil hospital sahaja cecah RM5.71 juta yang mana sebahagiannya ditanggung kerajaan Mali.
Halima Cisse dan suami terdahulu memiliki anak sulung perempuan, Souda berusia dua tahun setengah.
Pasangan ini tinggal di kediaman mereka di Timbuktu, Mali yang mempunyai tiga bilik tidur.
Untuk itu, mereka merancang untuk membesarkan rumah bagi menampung keperluan anak seramai 10 orang.
Sebelum ini, rekod kelahiran bayi kembar paling ramai dipegang wanita bernama Nadya Suleman dari Amerika Syarikat.
Wanita tersebut melakukan rawatan kesuburan untuk hamil dan dikurniakan bayi kembar lapan pada 2009.
Sumber : Sinar Plus