Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau waris segera tuntut simpanan sebelum tahun 2025 sebelum wang dipindahkan Bahagian Wang Tak Dituntut (BWTD).
Memetik New Straits Times, KWSP, menerusi satu notis, berkata ia sedang menghubungi ahli berumur 100 tahun ke atas yang masih belum mengeluarkan sepenuhnya simpanan persaraan mereka sebelum 31 Mac 2025.
Ads
“Ahli atau waris mereka boleh menyemak baki simpanan yang tidak dituntut menggunakan nombor dokumen pengenalan diri ahli atau nombor keahlian KWSP.
“Ahli atau waris mereka mesti mengemukakan tuntutan untuk simpanan tidak dituntut sebelum 31 Mac 2025.
“Selepas tarikh ini, sebarang simpanan yang tidak dituntut akan dipindahkan ke Bahagian Pengurusan Wang Tidak Dituntut (BWTD) di bawah Jabatan Akauntan Negara Malaysia.
“Sebarang tuntutan selepas itu mesti dikemukakan terus kepada BWTD,” katanya.
Ads
KWSP menambah, untuk maklumat lanjut mengenai perkara itu, ahli atau waris mereka boleh melayari laman web rasmi KWSP atau melayari pejabat KWSP berhampiran.
UNTUK INFO:
Ads
Seperti yang diumumkan oleh KWSP dalam satu kenyataan media bertarikh 3 November 2016, berkuatkuasa 1 Januari 2017, ahli yang memilih untuk mengekalkan sebahagian daripada simpanan mereka dalam akaun KWSP akan terus menerima bayaran dividen ke atas simpanan tersebut sehingga umur 100 tahun.
Apabila ahli mencapai umur seratus (100) tahun dan tiada permohonan pengeluaran dibuat, kesemua simpanan KWSP ahli akan dipindahkan ke Bahagian Wang Tak Dituntut (BWTD) sebagaimana yang telah ditetapkan di bawah Seksyen 51A, Akta KWSP 1991.
Khairul Aming wakili Malaysia ke 1 Billion Followers Summit, kacak berbaju Melayu. Khairul Aming menjadi inspirasi pempengaruh tempatan yang cukup terkenal dalam dunia digital di Malaysia.
Terbaharu pempengaruh berusia 32 tahun itu mencuri perhatian apabila terpilih sebagai panelis dan penceramah di acara global, 1 Billion Followers Summit, yang menghimpunkan pempengaruh dari seluruh dunia. Turut bersama dalam acara itu adalah pasukannya dan pencipta kandungan terkenal, Sofyank.
Dalam sesi perkongsian yang penuh inspirasi, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman membincangkan peranannya sebagai pempengaruh yang bertanggungjawab. Beliau menekankan pentingnya membuat kajian sebelum menyokong sebarang produk atau isu, terutama yang melibatkan kepentingan awam.
Khairul Aming menceritakan pendekatannya dalam memastikan jenamanya sentiasa dipercayai. “Saya tidak sewenang-wenangnya mempromosikan sesuatu, lebih-lebih lagi apabila melibatkan perkara sensitif seperti pautan derma. Jika ia ternyata satu penipuan, saya yang perlu bertanggungjawab,” katanya. Beliau juga menyeru rakan pempengaruh untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan bertindak berhati-hati dalam setiap tindakan.
Sebagai pengasas produk makanan terkenal Sambal Nyet, Khairul Aming menjelaskan bagaimana beliau membina jenama yang dipercayai. Menurutnya, kepercayaan pengguna kini bergantung kepada nilai-nilai yang sejajar dengan golongan muda.
“Empat tahun saya menghasilkan kandungan tentang makanan dan masakan sebelum mengeluarkan produk. Dalam tempoh itu, saya fokus untuk membina kepercayaan,” ujarnya. Apa yang membezakan jenama beliau adalah ketelusan dalam menangani isu.
“Jika ada masalah seperti botol pecah, tersalah label, atau kelewatan pengeposan, saya tidak menyembunyikan perkara itu. Sebaliknya, saya kongsikan kepada audiens dan mencari jalan penyelesaian secara terbuka,” tambahnya. Langkah ini, menurutnya, membina hubungan kukuh antara beliau dan pelanggan.
Khairul Aming juga berkongsi perancangan untuk membuka sebuah kilang baharu pada Mei, menunjukkan usaha berterusan dalam memperkembangkan perniagaannya.
Dalam aspek sosial, Khairul Aming mengimbau pengalaman beliau semasa membantu mangsa banjir baru-baru ini. Dengan hanya satu hantaran di Instagram, beliau berjaya mengumpulkan bantuan dalam masa yang singkat.
“Dalam 24 jam, ramai yang tampil memberikan respons. Ratusan sukarelawan dan sumbangan barangan fizikal seperti makanan serta pakaian diterima,” katanya. Hasilnya, sebanyak 60,000 mangsa banjir menerima bantuan perubatan dan keperluan asas dalam tempoh lima hari.
Beliau percaya, keaslian dan kepercayaan yang dibina bersama warga maya adalah faktor utama kejayaan misi tersebut.
Warga maya turut memuji keperibadian Khairul Aming yang tetap mengekalkan identiti budaya dalam setiap penampilan. Dalam acara tersebut, beliau memilih untuk mengenakan baju Melayu, mencerminkan rasa bangga terhadap budaya sendiri walaupun berinteraksi di pentas antarabangsa.
Bahasa Inggerisnya yang fasih dan jelas juga menarik perhatian ramai. Walaupun mendapat pendidikan di Amerika Syarikat, beliau tetap mengekalkan intonasi khas Malaysia dalam pertuturan, sesuatu yang warganet anggap unik dan membanggakan.
Khairul Aming bukan sahaja ikon pempengaruh yang berjaya, tetapi juga seorang usahawan yang menggunakan pengaruhnya untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Pendekatannya yang penuh ketelitian, ketelusan, dan keaslian menjadikan beliau contoh terbaik untuk generasi muda.
Seperti yang diakui ramai, “Khairul Aming adalah lambang bagaimana seorang pempengaruh boleh mencipta impak positif bukan hanya dalam perniagaan, tetapi juga dalam membantu masyarakat.”
Imam maut kemalangan jalan raya lepas lawat isteri bersalin di hospital. Seorang Imam masjid maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas dan terbalik di Kilometer 211.8, Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) arah utara dekat Sitiawan pada Selasa.
Mangsa dikenali Nurul Kamal Zulkarnain, berusia 37, bertugas sebagai Imam Masjid As Siddiq di Taman Iskandar Perdana dekat Seri Iskandar.
Difahamkan ketika kejadian, mangsa baru melawat isterinya, Nur Firdaus Salwa Mohd Zamrin yang baru sahaja melahirkan cahaya mata yang ketiga mereka di Hospital Seri Manjung pada hari Isnin.
Ahli Parlimen Parit, Muhammad Ismi Mat Taib memaklumkan mangsa juga turut bertugas sebagai Guru Takmir di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar.
“Dengan rasa penuh dukacita saya menzahirkan ucapan takziah yang mendalam kepada seluruh keluarga Allahyarham atas pemergian beliau yang terlibat dalam kemalangan di lebuh raya WCE.
“Pemergian Allahyarham merupakan satu kehilangan besar buat masyarakat setempat kerana beliau dikenali sebagai insan yang berwibawa dalam memimpin serta membimbing umat Islam terutamanya melalui peranannya sebagai imam masjid.
“Jasanya dalam mendidik dan menyumbang kepada pembangunan rohani masyarakat amat dihargai dan akan dikenang selamanya,” katanya menerusi akaun Facebooknya.
Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan diatur gerak ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 4.35 petang.
“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis Perodua Kembara terbabas ke kawasan ladang kelapa sawit dan terdapat mangsa tersepit di bahagian pemandu.
“Mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan pegawai perubatan,” katanya.
Menurut beliau, operasi diteruskan untuk membawa keluar mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat.
“Mangsa dibawa keluar dengan menggunakan pengusung dan menyerahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
“Pasukan bomba diketuai oleh Komander Operasi, Muhammad Arif Irfan Mokhtar dan operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada jam 5.37 petang,” katanya.
Kanak-kanak lelaki 10 tahun kritikal tercekik ‘gummy mata.’ Seorang kanak-kanak dilaporkan kritikal di Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dipercayai tercekik gula-gula kenyal atau ‘gummy’ berbentuk mata.
Mohamad Fahmi Hafiz Mohamad Fakhruddin, 10, dikatakan rebah di Kelas Al-Quran dan Fardhu ‘Ain (KAFA) di Sungai Dua, Butterworth kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Ibu saudaranya, Siti Farhani Mohamad Fikri, 33, berkata kira-kira jam 10 pagi tadi, doktor memaklumkan Mohamad Fahmi masih tidak menunjukkan sebarang perkembangan.
“Doktor beritahu sekiranya dia tidak tunjukkan maklum balas sehingga Jumaat ini, semua ubat akan dihentikan.
“Kami berserah kepada Allah SWT dan menyerahkan urusan rawatan kepada pihak hospital,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Mangsa ini dirawat di Unit Rawatan Rapi Pediatrik, Hospital Pulau Pinang.
Menerusi satu hantaran Siti Farhani di Facebook memohon doa orang ramai mengenai perkembangan anak saudaranya itu, mendapat perhatian dan perkongsian warga maya.
Gula-gula berkenaan dikatakan dibeli di gerai di luar kawasan sekolah berkenaan.
Katanya, guru memaklumkan Mohamad Fahmi tersedak sebelum mahu ke tandas.
Ketika berjalan ke tandas, kanak-kanak itu terjatuh dan tidak sedarkan diri sebelum guru menghubungi ambulans.
“Guru ada buat panggilan video dengan pasukan perubatan yang meminta beliau memeriksa mulut Mohamad Fahmi sebelum menemukan gula-gula terbabit dalam tekak kanak-kanak itu.
“Ketika menerima pakaian Mohamad Fahmi dari pihak hospital, kami dapati sebiji lagi gula-gula itu dalam poket bajunya,” katanya.
Ibu dan bapa Mohamad Fahmi, Nuraini Mat Isa, 37 dan Mohamad Fakhruddin Fikri, 35, enggan mengulas kejadian buat masa ini.