Kurus Dengan Pembedahan, Bukan Jalan Mudah Untuk Langsing. Dr Ni Jelaskan Risikonya!

Share

Umumnya jika ingin mengawal berat badan kita biasa dengar perlu melakukan senaman dan tidak kurang juga ada yang mengamalkan petua dan pengambilan ubat-ubatan yang diluluskan oleh KKM.

Pun begitu, tidak dinafikan kaedah pembedahan perut juga ramai yang cuba lakukan.

Memahami kaedah, keperluan dan risiko melakukan pembedahan perut atau juga dikenali dengan pembedahan bariatrik, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan jelaskan secara mudah untuk dapat difahami.

Ini perkongsiannya.

KURUS DENGAN PEMBEDAHAN PERUT

Pembedahan bariatrik adalah pengubahan kapasiti perut melalui beberapa cara. Pembedahan ini disarankan apabila masalah berat badan pesakit membawa risiko yang lebih besar daripada risiko pembedahan bariatrik itu sendiri.

Pembedahan ini dilakukan untuk menyekat jumlah pengambilan makanan sebagai menguruskan masalah kesihatan individu obes melampau yang mempunyai komorbiditi seperti kencing manis, darah tinggi, masalah jantung, dan sebagainya.

Ada beberapa jenis pembedahan bariatrik, antaranya:
◾Roux-En Y Gastric Bypass
◾Vertical Sleeve Gastrectomy
◾Biliopancreatic Diversion/Duodenal Switch
◾Adjustable Gastric Band

Semua pembedahan ini ada risikonya sendiri. Teknik-teknik yang melibatkan pemotongan kantung perut dan penyambungan semula memungkinkan risiko jangkitan kuman, kebocoran pada sambungan, pendarahan, dan sebagainya.

Adjustable Gastric Band tiada pemotongan kantung perut, tetapi ia menggunakan alat untuk menjerut kantung perut. Maka penggunaan alat ini mempunyai risiko jangkitan kuman, kegagalan implan, hakisan perut, perut terjerut dan lain-lain.

Oleh kerana wujud risiko seperti ini, hanya individu yang benar-benar memerlukan patut menjalani pembedahan bariatrik ini. Selain itu, individu yang telah menjalani pembedahan ini perlu bersedia mengubah cara pemakanannya.

Selepas pembedahan ini, pesakit tidak lagi boleh makan pada kuantiti normal, kerana saiz perut telah dikecilkan sehingga hanya mampu memuatkan sebahagian daripada kapasiti sebelum ini. Makan sikit sahaja dah rasa penuh perut.

Penyesuaian kepada kuantiti makanan yang kecil ini tidak mudah. Oleh kerana akan cepat penuh, makanan yang dimakan perlulah yang benar-benar berkhasiat sahaja. Jika tak jaga makan, maka akan berlaku kekurangan nutrisi, dan ganggu kesihatan.

Semua ini perlukan keazaman, iltizam, dan ketahanan mental yang tinggi. Tak usah fikir ia mudah, kerana cabarannya lebih kurang sahaja dengan penurunan berat badan dengan cara penjagaan makanan tanpa sebarang pembedahan.

Ditekankan sekali lagi bahawa pembedahan bariatrik bukan jalan mudah untuk langsing, ia adalah rawatan kepada kondisi kesihatan yang seharuskan diputuskan keperluannya oleh doktor bertauliah. Buat hanya bila benar-benar perlu.

Fokus untuk sihat, bukan untuk kelihatan sihat!

Sumber : Dr. Kamarul Ariffin Nor Sadan
Kesihatan & Perubatan