Bila musim cuti sekolah itu bermakna adalah masa terbaik untuk kita sekeluarga melancong. Jadi dimanakah destinasi kali ini. Jika masih tiada kepastian, ayuh baca perkongsian daripada keluarga Siti Nurul Fatihah Ahmad Nawayi yang telah berkunjung ke sini.
Saya telah mengembara lebih daripada 15 negara, tetapi apa yang menarik tentang pemilihan lokasi kali ini adalah sebuah negara mungkin agak biasa di kalangan rakyat Malaysia, tetapi agak asing kedengarannya bila saya sebutkan Nha Thrang, Vietnam.
Apa yang membuatkan saya tertarik dengan Nha Thrang adalah di sini terkenal dengan Taman tema Vinpearl dan jangan tak tahu di Vietnam mempunyai kawasan pergunungan sejuk yang dikenali sebagai Dalat.
Kiranya, pemilihan destinasi percutian ini adalah menang-menang bagi anak dan saya sendiri. Apa yang pasti dalam mencari destinasi untuk seisi keluarga bagi seorang ibu yang mempunyai anak yang masih kecil, saya akan lebih mengutamakan kepuasan anak-anak saya terlebih dahulu.
Untuk anak-anak sudah semestinya adalah Taman Tema Vinpearl, kerana mereka merasai satu pengalaman berbeza. Untuk sampai ke sana, kita perlu menaiki cable car untuk merentasi sebuah lautan, kerana Vinpearl terletak di tengah-tengah sebuah pulau persendiriaan. Pengalaman yang cukup bernilai dan tidak mungkin kami sekeluarga lupakan.
Jujur saya katakan, kami sekeluarga telah merasa beberapa tempat taman tema di beberapa buah negara. Pun begitu, Vinpearl merupakan antara sebuah taman tema yang menarik dan menjanjikan kegembiraan dan keselesaan buat pengunjungnya. Ini kerana bilangan pengunjung adalah terhad dalam sehari. Jadi anak-anak dapat bermain pelbagai jenis permainan beberapa kali dan tanpa menunggu giliran dalam masa yang agak panjang.
Selain itu juga, terdapat pertunjukan Dolphin, tarian puteri, Ikan Duyung dan persembahan air yang ditayangkan untuk masa yang berbeza membuatkan anak-anak lebih teruja dan tidak merasakan penat selepas bermain.
Keterujaan anak-anak tidak terhenti situ, malah digandakan apabila melawat ke ZooDoo Dalat. Di situ, terdapat pelbagai jenis binatang seperti kangaroo dan spesis lainnya yang terdapat di Australia. Memang cukup istimewa dan menghiburkan!
Kami juga sempat berkunjung ke Crazy House, sebuah rumah yang agak aneh reka bentuk dan sangat unik. Dalat Flower Garden merupakan sebuah taman yang dipenuhi dengan bunga yang membuatkan kita teruja untuk tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan setiap jenis bunga-bungaan yang ada di situ.
Apa yang pasti, untuk orang dewasa percutian ke sini tidak akan mengecewakan dan ini saya benar-benar rasakannya saat berkunjung di Vallley of Love. Valley of Love, adalah sebuah taman cinta yang dipenuhi dengan pelbagai taman, tasik dan permainan. Untuk yang merancang berbulan madu, saya sarankan inilah lokasinya. Cukup indah dan apa yang saya boleh katakan, Valley of Love adalah salah satu tempat yang membuatkan saya ingin datang ke sana lagi.
Selain itu, apa yang menariknya trip kali ini adalah kami sempat merasai dua musim, satu cuaca panas seperti di Malaysia dan satu cuaca dingin seakan di Cameron Highlands. Penyediaan pakaian yang sesuai adalah amat penting kerana perbezaan suhu yang amat ketara terutama ketika berada di Da Lat, kami harus menyediakan baju dan sarung kaki bagi menyesuaikan diri dengan suhu semasa. Aneh bukan, satu daerah tapi berlainan suhu! Selain itu juga, kemudahan kereta tolak untuk kanak-kanak juga amat penting bagi memastikan anak-anak dapat rehat yang sebaiknya.
Walau Pun Sukar Boleh Atasi
Pun begitu buat anda yang ingin merancang ke sini, pasti akan menemui satu kesukaran iaitu dalam hal mendapatkan makanan halal. Tiada makanan halal di Da Lat dan hanya terdapat sebuah restoran India Muslim di Nha Thrang.
Jadi bagi memastikan percutian tidak terganggu, saya telah membawa makanan dari Malaysia dan tidak mudah rosak antaranya Sambal bilis, telur rebus dan roti. Di sana pula, saya membeli buah-buahan bagi memastikan badan kami mempunyai tenaga yang secukupnya. Yang kedua adalah tempat untuk solat ketika berada di taman tema Vinpearl, kami membawa sejadah dan menunaikan solat di hujung hujung kawasan rehat. Alhamdulillah, kami dapat menunaikan kewajipan semasa berada di tempat asing.