Kukus Lemang Dalam Tin Minuman, Pernah Viral Tapi Jangan Dibuat!

Share

Tidak dinafikan idea memasak kita kadang-kadang memang luar biasa, tujuannya agar dapat memudahkan cara memasak sesuatu menu.

Namun sedar atau tidak, tindakan tersebut dibimbangi merbahaya pula pada kesihatan.

Ini sebagaimana perkongsian daripada Doktor Kamarul Ariffin Nor Sadan.

Seperti Ramadan beberapa tahun kebelakangan ini, Ramadan kali ini pun tular cara memasak lemang menggunakan cawan atau bekas tin, dan dikukus atas dapur gas atau periuk tekanan. Setiap tahun juga akan berlaku polemik sama ada selamat atau tidak gunakan tin minuman untuk mengukus lemang.

Jawapan ringkasnya: MUNGKIN berbahaya.

Aluminium ni adalah sejenis logam reaktif, maksudnya ia mudah cenderung untuk bertindak balas dengan bahan lain, terutamanya bila didedahkan kepada haba yang tinggi, atau medium berasid serta berakali.

Oleh itu, jika kita masak menggunakan tin minuman yang biasanya diperbuat daripada aluminium, pada suhu tinggi dan untuk makanan yang berasid dan berakali, maka akan berlaku tindak balas, iaitu aluminium boleh larut-resap(leach) dari permukaan tin, dan mencemar makanan atau minuman.

Seperti kita tahu, pengambilan(ingestion) aluminium pada kadar yang tinggi, boleh menyebabkan masalah kesihatan yang menjejaskan kepadatan tulang, serta sistem saraf dan otak. Oleh itu tak digalakkan menggunakan tin aluminium untuk masakan.

Habis tu, macam mana dengan periuk dan kerajang(foil) aluminium?

Periuk aluminium, biasanya permukaannya mempunyai lapisan aluminium teranod(anodized). Ia adalah proses elektrokimia yang menyebabkan aluminium bergabung dengan oksigen membentuk aluminium oksida (Al₂O₃). Lapisan ini stabil dan kurang bertindak balas, jadi ia tidak mudah larut-resap.

Kerajang aluminium, tiada lapisan aluminium oksida, jadi tidak digalakkan makanan dimasak bersentuh dengan kerajang ini, terutamanya makanan berasid dan berkuah. Jika nak bakar makanan dalam kerajang aluminium, digalakkan dilapis dengan kertas minyak atau daun pisang.

Periuk pengukus biasanya diperbuat daripada aluminium, namun jarang makanan bersentuh dengan pengukus. Lazimnya makanan diletak atas pelapik kertas atau di dalam pinggan. Tambahan pula, mendidihkan air dalam pengukus aluminium berulang kali, akan sedikit demi sedikit menghaslkan lapisan aluminium oksida.

Tin minuman, bahagian dalamnya ada lapisan bahan yang disadur untuk mengurangkan larutresap aluminum, namun mungkin tidak dibuat untuk didedahkan pada susu yang amat tinggi. Maka, jika didedahkan tin pada suhu tinggi, ada risiko berlaku larutresap, namun tidak dapat dipastikan kadarnya pada tahap bahaya atau tidak.

Oleh itu, memasak dalam tin minuman mempunyai risiko bahayakan kesihatan. Risiko tau, bukan 100% pasti membahayakan kesihatan, sebab itu jawapan ringkasnya tadi adalah “mungkin” berbahaya. Namun, jika sesuatu risiko itu boleh dielakkan, maka elakkanlah. Ada alternatif lain boleh digunakan.

Jika nak buat lemang kukus, gunakan gelas kaca tahan haba atau seramik. Sama ada cawan kertas selamat atau tidak, itu pun tak pasti, bergantung pada apa yang digunakan untuk sadur permukaan dalam kertas supaya cawan itu tidak telap air.

Begitulah dapatan terkini berkenaan penggunaan aluminium untuk masakan, ia mungkin berubah di masa akan datang setelah perkara ini dikaji dengan lebih lanjut. Buat masa ini, tidak digalakkan mengukus atau bakar lemang dalam tin.

Semoga bermanfaat!

sumber : Kamarul Ariffin Nor Sadan