Kuku Berkilat & Tangan Lembut, Ni Cara Paling Mantap Kena Buat!

Share

Ternyata minyak zaitun bukan sahaja digunakan untuk masakan, malah manfaatnya dalam penjagaan kecantikan memang tidak dapat dinafikan. Selain baik untuk rambut dan kulit, tahukah anda dengan minyak zaitun juga dapat menjaga kuku lebih sihat dan bersinar.

Cara merawat kuku dengan minyak zaitun ini sebenarnya cukup mudah, hanya dengan  merendam kuku anda pada minyak tersebut, sudah nampak kesannya. Minyak zaitun dipercayai boleh memberikan kepadatan dan menguatkan jika kuku anda mudah patah. Rendamlah kuku anda dengan minyak zaitun yang telah dicampur dengan air suam setiap dua hari sekali selama 15 minit.

Dan ini pula petua yang diamalkan oleh Noorzera Aish, yang juga sama menggunakan minyak zaitun tapi sedikit berbeza caranya. Ini apa yang telah dikongsikan olehnya di akaun fb miliknya.

Menurutnya dengan hanya menggunakan minyak zaitun dan ubat gigi telah menampakkan kukunya lebih bersinar malah kulit tangannya juga menjadi lembut.

Bahan-bahan:

ubat gigi 
olive oil/Minyak kelapa dara

Cara buat :

  1. Sapukan ubat gigi  di kuku selama 15 minit atau hingga kering.
  2. Kemudian basuh dan lap sehingga bersih
  3. Sapukan olive oil atau minyak kelapa dara. Kuku akan bersinar dan tangan pun akan lembut. Amalkan selalu hasilnya macam kita selalu pergi spa, murah dan berkesan.

Selain itu,  apa kata dalam menjaga kesihatan dan kecantikan kuku, amalkan juga beberapa petua yang mudah ini. Jom semak!

Bawang Putih

Kupas kulit bawang putih dan bersihkannya. Tumbuk sehingga lumat dan gosokkan bawang putih tadi ke atas kuku. Cuci dengan air sehingga bersih.

Kuku akan lebih berkilat dan dalam masa yang sama bawang putih boleh menguatkan struktur kuku. Ia baik dalam mengatasi masalah kuku mudah rapuh.

Limau NipisCaranya cukup mudah, dimana anda perlu potong limau nipis kepada dua bahagian. Gosokkan ke atas kuku serta biarkannya selama beberapa minit. Kemudian barulah dibilas dengan air. Amalan ini jika dilakukan secara rutin dapat memastikan  kuku sentiasa cantik dan sihat.

Belimbing Buluh


Gosok buah belimbing buluh terus ke atas permukaan kuku. Selepas itu, rendam kuku di dalam air suam yang telah dicampur garam untuk hasil yang lebih efektif. Biarkan ia kering dengan sendiri.

 

Lemon

Kandungan vitamin C yang tinggi dalam lemon mampu membuatkan kuku tampak lebih cantik dan berkilat.  Hiris beberapa kepingan buah lemon. Sapukan hirisan lemon di atas kuku untuk beberapa minit. Bilas dengan air. Amalan ini boleh membantu dalam mengatasi kuku yang kekuningan.

Kulit Tembikai

Percayalah yang kulit buah tembikai boleh memberikan efek kuku yang lebih berkilat dan bersih. Caranya adalah dengan menggosok kulit buah tembikai ke atas permukaan kuku. Biarkan ia mengering. Cuci dengan air sehingga bersih.

Ekstra info 

Mungkin ada yang pernah terbaca tentang warna kuku dan bentuk kuku akan menunjukkan kesihatan seseorang. Antaranya, jika kuku kelihatan terlalu putih menandakan seseorang itu menghadapi kegagalan buah pinggang. Manakala jika kuku terlihat kekuningan, ini biasanya berkaitan dengan penyakit pernafasan seperti bronkitis kronik. Kuku kelihatan menebal dan pertumbuhannya perlahan dan sekali gus menyebabkan kuku tersebut berubah menjadi warna kuning.

Jika ada lekuk melintang di bahagian tengah-tengah kuku, di mana lekukan itu dikenali sebagai BEAU. Lekukan ini akan berkembang di bawah kutikel apabila pertumbuhan kuku terganggu oleh keceraan atau penyakit yang teruk.

Manakala jika kuku berbintik yang terhasil daripada lekukan kecil di atas kuku, ini sering dikaitkan dengan masalah kulit psoriasis dan beberapa keadaan autoimun. Begitu juga halnya jika kuku terlihat seakan sudu di mana kuku nipis dan melengkung keluar, ini dikaitkan dengan masalah anemia iaitu kurang zat besi.

Jadi bagaimana bentuk kuku yang sihat?

Tanda kuku sihat:
1. Bersih
2. Permukaan licin tanpa alur
3. Warna seragam
4. Bebas daripada tompokan , pudar dan berubah warna.