Kueh Café, Syurga Makanan Tradisional. Sekali Cuba Pasti Nak Lagi!
Kalau hendak dihitung dengan jari, tidak banyak sebenarnya malah sukar untuk kita mendapatkan restoran atau café yang menjual kuih muih Melayu yang pelbagai di bawah satu bumbung. Bahkan jika ada sekali pun, kita perlu singgah di gerai-gerai kecil yang menjaja di bahu jalan.
Namun berbeza sekali jika ada yang pernah bertandang ke Kueh Café yang terletak di Seksyen 13, Shah Alam. Di sini bukan sahaja anda akan teruja apabila melihat deretan pelbagai kuih muih Melayu yang menyelerakan terhidang di depan mata, malah turut terpesona melihat sentuhan dekorasi restoran yang dihias berkonsepkan moden minimalis. Ini sekali gus, menjadikan lokasi istimewa untuk anda dan keluarga menikmati hidangan kuih muih yang menyelerakan dalam suasana yang tenang.
Berkongsi cerita lanjut berkenaan Kueh Café , menurut pemiliknya iaitu Encik Mohamad Ezwan Mohamad Zain, “Idea untuk membuka Kueh Café timbul apabila dilihat tiada premis menawarkan makanan tradisional di dalam suasana santai dan moden.
“Maka pada 2 Ogos 2015, Restoran Kueh memulakan operasinya dan alhamdulillah sehingga kini ianya mendapat tempat di hati pelanggan untuk setia berkunjung ke sini bagi menikmati pelbagai juadah.
“Saya memilih nama Kueh kerana apabila kita melihat daripada perkataan Kueh itu sendiri, ia adalah daripada perkataan Hokkein yang membawa maksud kuih. Dalam Bahasa Melayu juga kuih ada kala turut disebut ‘kueh’ dalam slanga negeri tertentu.
“Oleh sebab itu Kueh Café menjadi pilihan lebih-lebih lagi juadah utama yang dihidangkan di sini adalah kuih tradisional seperti kuih bakar, kuih koci, seri muka, tepung gomak dan kuih ketayap serta ubi kayu rebus yang cukup terkenal dalam kalangan masyarakat Melayu, Cina dan India di negara ini,” ceritanya di awal bicara.
Pelbagai Menu Penuhi Selera
Memenuhi selera pelanggan yang berkunjung ke sini, Kueh Café tidak hanya sebagai syurga makanan buat penggemar kuih muih tradisi malah menyajikan pelbagai juadah enak yang lainnya. Apa yang pasti menjanjikan kepuasan rasa buat setiap pelanggannya untuk menjamu selera di sini.
“Kami turut menyediakan makanan tradisional seperti nasi kerabu, nasi dagang, nasi hujan panas, soto dan laksa utara termasuk pencuci mulut gabungan makanan Barat untuk memenuhi selera pelanggan.
“Manakala untuk memberikan kelainan, juadah seperti roti jala, lempeng pisang dan cekodok pula akan disediakan secara terus di hadapan pelanggan bagi mengekalkan kesegaran dan mutu makan berkenaan yang lebih enak dimakan ketika panas.
“Pun begitu, setiap kuih ini tidak akan disediakan dalam kuantiti yang banyak bagi mengekalkan kualiti makanan tersebut.
“Manakala pelanggan yang ingin singgah untuk makan tengahari di Restoran Kueh, di sini juga ada pelbagai pilihan makanan berat disediakan seperti nasi lemak, nasi tomato, nasi hujan panas, laksam, mee kari, dan banyak lagi,” ceritanya lagi panjang lebar mengakhiri perbualan.