Buah rotan, kuih peluru atau ceplis antara nama yang diberikan kepada kuih tradisional yang menjadi kegemaran ramai ini. Rasanya yang rangup dan bentuknya yang comel, memang sedap dimakan pada bila-bila masa.
Buat anda yang ingin mencuba membuat sendiri menu kudap-kudapan ini boleh mencuba resipi yang dikongsikan oleh Juwitta Amin ini. Malah turut dikongsikan tip untuk dapatkan hasil gorengan yang rangup dan enak. Selamat mencuba.
Ini perkongsiannya.
Kuih peluru@ceplis.. tak tahu korang panggil apa tapi itulah name kuih yang selalu saya sebut dari kecil sampai ke besar. Sakit pinggang weih menggentel kuih ni..makan sekejap je abis.
Kuih peluru@ceplis
Bahan-bahan :
Tepung pulut – 1 kampit
Tepung gandum – 2 sudu makan
*Santan – 1 kotak kecik ( jenama apa-apa tak kisah )
*Telur – 1biji
*Sedikit garam
*Sedikit gula
Bijan
Cara buat :
1. Satukan bahan bertanda *. Tambah sedikit air sebab biasanya santan kotak ni pekat.. bancuh sehingga rata tiada ketul garam dan gula.
2. Masukkan ke dalam tepung pulut dan gandum. Tuang santan ni kena agak-agak ye sehingga menjadi adunan sehingga menjadi doh seperti untuk buat bubur candil. Jangan terlalu keras adunan tepung tu.
3. Lepas tu uli doh tu menjadi bebola kecil dan golekkan dengan bijan. Buat kuih ni kena sabar sebab waktu ingin menggoreng api kena kecil.
Biasanya buat kuih ni 2-3 orang sebab dalam pada menggentel kuih ni mana yang dah siap kena terus goreng.
Ekstra Tip :Jangan dibiarkan terlalu lama berangin, tu yang kadang kuih samada lemau atau baling ke dinding pon dinding yang retak lepas digoreng.
Pastikan minyak benar-benar panas.. boleh diangkat bila kuih dah agak kekuningan.
Simpan dalam bekas bila kuih dah sejuk.. selamat mengunyah kuih peluru.
Sumber : Juwitta Amin