Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan bahawa sekolah sesi petang yang melibatkan murid dan guru beragama Islam di negeri-negeri Semenanjung Malaysia akan menamatkan sesi persekolahan lebih awal, iaitu pada jam 5.30 petang sepanjang bulan Ramadan.
Bagi sesi petang persekolahan di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan pula tamat jam 5 petang manakala sekolah sesi pagi akan beroperasi seperti biasa.
“KPM menyediakan ketetapan berkaitan waktu persekolahan itu bagi memastikan pengoperasian sekolah berjalan lancar dan murid serta guru beragama Islam dapat menunaikan ibadat pada bulan Ramadan dengan selesa.
“KPM mengambil serius hantaran tidak bertanggungjawab yang cuba ditularkan oleh sesetengah pihak dalam laman media sosial berkenaan pengoperasian sekolah dalam bulan Ramadan pada tahun ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ads
Menurut kenyataan tersebut, pengoperasian sekolah sepanjang bulan Ramadan bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan kerajaan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan berjalan seperti biasa, sama seperti tahun-tahun sebelumnya.
KPM juga menegaskan bahawa ketetapan ini dibuat berdasarkan Surat Siaran KPM Bilangan 3 Tahun 2022, yang masih berkuat kuasa.
Ads
Selain itu, KPM mengarahkan semua Pengarah Bahagian dan Pengarah Pendidikan Negeri untuk mengingatkan pengetua serta guru besar institusi pendidikan di bawah KPM agar mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan dalam surat siaran tersebut.
Dalam masa yang sama, KPM menasihatkan orang ramai supaya merujuk kepada sumber rasmi kementerian dan tidak mudah terpengaruh dengan hantaran di media sosial yang berniat mengelirukan masyarakat.
Ads
Tangkap layar kenyataan media mengenai sesi persekolahan pada bulan Ramadan.
Sumber: Berita Harian
Mencari bahagia bersama KELUARGA?
Download dan baca sekarang di
Que Haidar dan Linda Jasmine sudah bercerai, rumah tangga dibina 15 Tahun akhirnya roboh. Perkahwinan yang dibina15 tahun tahun yang lalu sudah berakhir. Que Haidar dan Linda Jasmine sah bercerai 2 Julai lalu.
Que atau nama sebenarnya Tengku Iskhan Sha Tengku Haidar telah bercerai talak satu pada 2 Julai yang lalu.
Que berkata, mereka menerima segala ketentuan Allah SWT. Walupun jodoh mereka tidak panjang, namun dia dan isteri masih mengekalkan hubungan baik, Que juga meminta agar semua mendoakan yang terbaik untuk mereka.
Tenang mengesahkan status perkahwinannya, Que atau Tengku Iskhan Shah Tengku Haidar, 45, berkata, semua itu diterima sebagai ketentuan Allah selain menegaskan hubungannya dengan Linda masih terjalin baik.
“Allahuakbar, alhamdulillah itu (perceraian) yang Allah aturkan. Saya minta semua doakan yang terbaik untuk saya dan Linda. Tapi kami masih baik, tiada siapa yang mahu bercerai.
“Mungkin ini jalan yang terbaik, kami masih berkawan demi anak-anak. Perceraian kami berlaku pada 2 Julai lalu,” katanya pada Malam Kemuncak Anugerah Seri Angkasa (ASA2024) yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) malam tadi.
Que bagaimanapun enggan mendedahkan punca perpisahan sebaliknya memberitahu keputusan tersebut dilakukan secara sepakat.
Namun, dia turut bersyukur kerana anak-anaknya iaitu Ratu dan Cleopatra sudah matang untuk menerima perceraian tersebut.
“Hal rumah tangga merupakan hal peribadi. Perkara seperti ini bukanlah untuk dibanggakan dan lebih baik simpan sendiri, doakan yang terbaik.
“Kami masih saling memberikan sokongan, apa yang terbaik untuk kami berdua dan anak-anak. Tidak ada benda yang perlu diuar-uarkan atau dikongsi.
“Hubungan kami masih sangat baik dan Alhamdulillah anak-anak juga terima semua ini dengan matang. Tiada perbalahan antara kami,” ujarnya.
Que dan Linda mendirikan rumah tangga pada 14 Februari 2009.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata perempuan iaitu Tengku Ratu Haidar, 15, dan Tengku Cleopatra Haidar, 12 tahun.
Linda sebelum ini pernah berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata lelaki iaitu Qalif Khan yang kini berusia 24 tahun.
Kronologi kes Zara Qairina, tragedi yang meruntun jiwa. Kes kematian pelajar Tingkatan 1 Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha Limauan, Sabah, Zara Qairina Mahathir, terus menjadi perhatian selepas remaja itu ditemui tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolah pada jam 3 pagi, 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia.
Tragedi ini dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli dalam kalangan pelajar, malah isu semakin hangat apabila timbul tuduhan melibatkan anak seorang menteri, individu berstatus VIP dan tokoh ternama.
Perkara itu mencetuskan gesaan orang ramai agar siasatan telus dilakukan demi keadilan. Tragedi itu telah mencetuskan luahan rasa sedih dan solidariti, bukan saja di kalangan rakyat Sabah, tetapi seluruh negara dengan #JusticeForZara menjadi sohor kini di pelbagai platform media sosial.
• 16 Julai: Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolah pada jam 3 pagi. Mangsa dilaporkan jatuh dari tingkat tiga asrama sekolah dan dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth I.
• 17 Julai: Zara Qairina disahkan meninggal dunia dan kemudiannya dikebumikan di Kampung Kalamauh Mesapol, Sipitang.
• 18 Julai: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata kementeriannya memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis dan memberi ruang kepada pihak terbabit menjalankan siasatan tanpa gangguan.
• 21 Julai: Ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat menggesa siasatan yang telus, adil dan saksama terhadap kematian anak perempuannya. Wanita itu mendedahkan kali terakhir melihat anak tunggalnya adalah semasa program gotong-royong sekolah pada 12 Julai.
• 28 Julai: Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun berkata siasatan teliti sedang dijalankan daripada semua sudut. Beliau menggesa orang ramai untuk bertenang dan mengelakkan spekulasi.
• 30 Julai: Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud menafikan sebarang pembabitan dalam kes itu, sama ada oleh dirinya atau isteri, Cikgu Rosnih Nasir iaitu bekas pengetua sekolah yang berkhidmat dari 20 Mac hingga 22 November 2024, sebelum bersara. Beliau menyifatkan dakwaan yang dibangkitkan di Parlimen sebagai tidak berasas dan merosakkan reputasi.
• 31 Julai: Polis mengesahkan mereka berada di peringkat akhir siasatan. Pesuruhjaya Jauteh Dikun berkata kertas siasatan diserahkan kepada Bukit Aman untuk semakan akhir sebelum dimajukan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC). Seramai 60 individu direkod keterangan.
• 1 Ogos: Ibu Zara Qairina memohon mayat anaknya digali semula bagi membolehkan bedah siasat dijalankan, demi mendapatkan jawapan dan keadilan. Peguam diarah memulakan proses undang-undang bagi penggalian semula mayat.
• 6 Ogos: Peguam yang mewakili ibu mangsa menggesa orang ramai untuk tidak membuat spekulasi, yang boleh menyebabkan tekanan kepada keluarga dan mungkin membawa kepada akibat jenayah.
• AGC memulangkan laporan siasatan awal kepada pihak polis dengan arahan melengkapkan siasatan. AGC menasihatkan orang ramai tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berkongsi imej kanak-kanak yang didakwa terbabit kes itu.
• Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail memberi amaran bahawa penyebaran kandungan yang tidak tepat boleh menjejaskan siasatan dan menafikan keadilan.
• 7 Ogos: Ibu Zara Qairina akan menyerahkan telefon bimbitnya yang mengandungi rakaman audio perbualan antara dirinya dan arwah anak perempuannya, kepada polis untuk membantu siasatan.
• Kementerian Pendidikan membuat lebih 10 laporan polis berhubung penyebaran hantaran dan video yang mengelirukan berkaitan kes itu, dengan alasan kebimbangan terhadap potensi gangguan awam yang ditujukan kepada guru dan pelajar.
• Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis untuk memastikan siasatan teliti. SKMM turut memberi amaran terhadap penyebaran maklumat tidak sahih.
• Ibu Zara Qairina memberi keterangan di balai polis Sipitang.
• Kementerian Pendidikan memberi jaminan kepada ibu bapa mengenai komitmen meningkatkan keselamatan di sekolah berasrama, dengan menyatakan bahawa 72 Sekolah Berasrama Penuh (SBP) di negara ini kekal menjadi pilihan utama keluarga.
• 8 Ogos: AGC memulangkan kertas siasatan kepada polis dengan mengarahkan tindakan lanjut termasuk penggalian semula mayat Zara Qairina bagi membolehkan bedah siasat dijalankan.
• 9 Ogos: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan siasatan kes kematian Zara Qairina Mahathir akan dijalankan secara telus tanpa ada tolak ansur.
• Prosedur bedah siasat dan menggali semula mayat pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir akan dilakukan dengan kadar segera oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
• Proses menggali semula mayat Zara Qairina bagi prosedur bedah siasat dilaksanakan hari ini.
Kesimpulannya kes ini telah membuka mata masyarakat tentang pentingnya keselamatan pelajar di sekolah berasrama dan keperluan siasatan yang benar-benar adil. Dalam ujian berat ini, keluarga Allahyarham terus menaruh harapan agar kebenaran terungkap dan keadilan ditegakkan.
Semoga roh Zara Qairina ditempatkan di kalangan orang beriman, dan tragedi ini menjadi pengajaran buat semua.
Kes pelajar jatuh tingkat 3: keluarga rayu saksi tampil beri keterangan. “Kalau sesiapa yang nampak kejadian (terjatuh) itu, tolong cakap benar dan tampil beri keterangan kepada pihak berkuasa untuk memudahkan urusan. Kami bukan nak cari salah tetapi nak cari penyelesaian supaya lebih telus.”
Demikian harapan Muhammad Aidil Mansor, 34, bapa saudara kepada Ahmad Irfan Ahmad Hanafi, pelajar Tingkatan Tiga yang dilaporkan terjatuh dari tingkat tiga asrama sebuah sekolah di Sabak Bernam.
Ahmad Irfan, 15, telah menjalani pembedahan pada hari kejadian dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh untuk pemantauan rapi.
Menurut Muhammad Aidil, keluarga amat terkejut dengan insiden itu memandangkan anak saudaranya dikenali sebagai seorang yang sopan, ringan tulang dan tidak pernah menunjukkan rasa takut untuk kembali ke asrama.
“Kami harap kejadian ini disiasat dengan telus dan adil, itu sahaja.
“Andai kesilapan itu di pihak anak saudara saya, kami akur tetapi kalau sebaliknya, biarlah diadili dengan sebaiknya.
“Kami percaya kepada qada dan qadar Allah,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Medan, Dr Afif Bahardin sempat melawat keluarga pelajar berkenaan di Hospital Sungai Buloh dan meluangkan kira-kira setengah jam bersama mereka.
Muhammad Aidil juga menghargai perhatian yang ditunjukkan Kementerian Pendidikan (KPM) terhadap insiden tersebut, malah menganggapnya sebagai titik tolak untuk memperketat aspek keselamatan pelajar di asrama.
Dalam pada itu, Dr Afif memaklumkan keadaan Ahmad Irfan kini lebih stabil walaupun masih memerlukan rawatan intensif selepas menjalani pembedahan.
“Doktor memaklumkan Ahmad Irfan kini stabil walaupun masih memerlukan rawatan rapi selepas menjalani pembedahan,” jelasnya.
Sebelum ini, polis mengesahkan kertas siasatan telah dibuka berhubung insiden tersebut mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.