Setiap kali merancang untuk balik kampung, perasaan memang bercampur-baur. Rasa seronok nak bertemu keluarga yang dirindui, tapi dalam masa yang sama, perlu bersedia dari segi kos dan persiapan. Perjalanan ini bukan sekadar perjalanan biasa ia adalah satu bentuk pelaburan dalam hubungan kekeluargaan dan kenangan bersama.
Begitulah perkongsian, Yuliana Ayob mendedahkan walaupun kos balik kampung boleh mencecah ribuan ringgit, setiap sen yang dibelanjakan sebenarnya membawa makna yang besar. Jauh dari sudut hati, balik kampung bukan hanya soal perjalanan, tetapi lebih kepada tanggungjawab menjaga silaturahim, mencipta memori indah, dan menyatakan rasa syukur atas kasih sayang keluarga.
Setiap kali rancang nak balik kampung, perasaan memang bercampur-baur. Seronok nak jumpa keluarga, tapi dalam masa yang sama, perlu bersedia dengan kos tertentu.
Untuk tiket kapal terbang, biasanya kami berbelanja antara RM1,600 hingga RM2,000 untuk 5 beranak, itupun jika beli 3-6 bulan lebih awal. Jika beli lambat, harga tiket boleh mencecah RM2500 untuk kami berlima. Kami terpaksa menggunakan MAS untuk keselesaan anak-anak dan memastikan perjalanan yang lebih tenang untuk ibu bapa.
Setibanya di KLIA, kami akan sewa kereta untuk balik ke Perak. Kos sewa biasanya dalam lingkungan RM650 hingga RM1,500, bergantung pada jenis kereta dan tempoh penggunaan. Minyak kereta pula, kami peruntukkan antara RM200 hingga RM500, bergantung pada jarak perjalanan.
Buah tangan pula memang tak boleh dilupakan. Sama ada buah tangan untuk keluarga di kampung atau untuk dibawa balik semula, kami biasanya berbelanja RM300 hingga RM500.
Kalau ditambah-tambah, setiap kali balik kampung, kami memerlukan anggaran perbelanjaan keseluruhan antara RM3,500 hingga RM5,000. Sebab itu, kami hanya balik kampung sekitar tiga ke empat kali setahun, melainkan ada urusan penting yang tak dapat dielakkan.
Kami juga tak mampu nak balik semasa cuti sekolah kerana harga tiket terlalu mahal. Kami terpaksa pulang pada waktu biasa, jadi anak-anak terpaksa ponteng sekolah.
Walaupun kosnya besar, balik kampung bukan sekadar perjalanan. Ia adalah antara usaha kami untuk menjaga hubungan kekeluargaan, mencipta banyak kenangan dan menunaikan tanggungjawab.
Terima kasih buat Emak, Ayah, Kakak, Abang dan Adik untuk sokongan dan kasih sayang.
Perjalanan pulang memakan masa seharian, keluar subuh, sampai maghrib. Atau keluar isyak, sampai sebelum subuh esoknya. Itu tak cerita lagi tentang cuti rehat yang memang khusus kebanyakannya untuk balik ke kampung.
Nyata dari perkongsian itu, apa jua cabaran dan kos yang terpaksa ditempuh, semuanya berbaloi demi keluarga tercinta. Sentiasa bersyukur kerana setiap pengorbanan kecil ini membuka lebih banyak pintu rezeki dan kebahagiaan. Alhamdulillah, syukur atas segala nikmat yang dikurniakan.
Sumber: Yuliana Ayob