Setiap kali merancang untuk balik kampung, perasaan memang bercampur-baur. Rasa seronok nak bertemu keluarga yang dirindui, tapi dalam masa yang sama, perlu bersedia dari segi kos dan persiapan. Perjalanan ini bukan sekadar perjalanan biasa ia adalah satu bentuk pelaburan dalam hubungan kekeluargaan dan kenangan bersama.
Begitulah perkongsian, Yuliana Ayob mendedahkan walaupun kos balik kampung boleh mencecah ribuan ringgit, setiap sen yang dibelanjakan sebenarnya membawa makna yang besar. Jauh dari sudut hati, balik kampung bukan hanya soal perjalanan, tetapi lebih kepada tanggungjawab menjaga silaturahim, mencipta memori indah, dan menyatakan rasa syukur atas kasih sayang keluarga.
Gambar Sekadar Hiasan
Setiap kali rancang nak balik kampung, perasaan memang bercampur-baur. Seronok nak jumpa keluarga, tapi dalam masa yang sama, perlu bersedia dengan kos tertentu. Untuk tiket kapal terbang, biasanya kami berbelanja antara RM1,600 hingga RM2,000 untuk 5 beranak, itupun jika beli 3-6 bulan lebih awal. Jika beli lambat, harga tiket boleh mencecah RM2500 untuk kami berlima. Kami terpaksa menggunakan MAS untuk keselesaan anak-anak dan memastikan perjalanan yang lebih tenang untuk ibu bapa.
Ads
Setibanya di KLIA, kami akan sewa kereta untuk balik ke Perak. Kos sewa biasanya dalam lingkungan RM650 hingga RM1,500, bergantung pada jenis kereta dan tempoh penggunaan. Minyak kereta pula, kami peruntukkan antara RM200 hingga RM500, bergantung pada jarak perjalanan.
Buah tangan pula memang tak boleh dilupakan. Sama ada buah tangan untuk keluarga di kampung atau untuk dibawa balik semula, kami biasanya berbelanja RM300 hingga RM500. Balik kampung juga tak lengkap kalau tak ziarah ahli keluarga dan bawa anak-anak berjalan. Kadang-kadang kami habiskan masa bercuti di pusat peranginan untuk mengeratkan hubungan dan meraikan keluarga. Semua aktiviti ini biasanya memakan belanja sekitar RM1,000 hingga RM1,500.
Kalau ditambah-tambah, setiap kali balik kampung, kami memerlukan anggaran perbelanjaan keseluruhan antara RM3,500 hingga RM5,000. Sebab itu, kami hanya balik kampung sekitar tiga ke empat kali setahun, melainkan ada urusan penting yang tak dapat dielakkan.
Kami juga tak mampu nak balik semasa cuti sekolah kerana harga tiket terlalu mahal. Kami terpaksa pulang pada waktu biasa, jadi anak-anak terpaksa ponteng sekolah. Walaupun kosnya besar, balik kampung bukan sekadar perjalanan. Ia adalah antara usaha kami untuk menjaga hubungan kekeluargaan, mencipta banyak kenangan dan menunaikan tanggungjawab.
Ads
Terima kasih buat Emak, Ayah, Kakak, Abang dan Adik untuk sokongan dan kasih sayang. Perjalanan pulang memakan masa seharian, keluar subuh, sampai maghrib. Atau keluar isyak, sampai sebelum subuh esoknya. Itu tak cerita lagi tentang cuti rehat yang memang khusus kebanyakannya untuk balik ke kampung. Apa-apapun. Banyakkan syukur. Bersyukurlah, Allah akan beri lebih lagi nikmat daripada pelbagai sudut. Alhamdulillah, syukur.
Ads
Nyata dari perkongsian itu, apa jua cabaran dan kos yang terpaksa ditempuh, semuanya berbaloi demi keluarga tercinta. Sentiasa bersyukur kerana setiap pengorbanan kecil ini membuka lebih banyak pintu rezeki dan kebahagiaan. Alhamdulillah, syukur atas segala nikmat yang dikurniakan.
Main mercun bola, abang parah, adik cedera. Dua beradik lelaki berusia empat dan tujuh tahun mengalami kecederaan selepas dipercayai bermain mercun bola dalam kejadian yang berlaku di Kampung Baru, Kuala Nerang, pada malam Selasa.
Main Mercun Bola, Abang Parah, Adik Cedera
Kejadian yang berlaku sekitar jam 8.15 malam itu dipercayai berpunca apabila kedua-dua kanak-kanak tersebut memperoleh mercun berkenaan daripada rakan sekampung mereka sebelum bermain di luar rumah tanpa pengetahuan ibu bapa.
Difahamkan, insiden pertama membabitkan mercun yang dilaporkan berlaku di Kedah sepanjang bulan Ramadan ini menyebabkan si abang mengalami kecederaan parah, manakala adiknya turut tercedera.
Menurut Ketua Polis Daerah Padang Terap, Superintenden Abdull Razak Osman, pihak polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut pada jam 1.32 pagi selepas pihak perubatan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar memaklumkan perkara itu.
Kedua-dua mangsa dikejarkan ke zon merah HSB sekitar jam 9.30 malam untuk mendapatkan rawatan segera.
“Berdasarkan siasatan awal, ibu mangsa hanya menyedari kejadian tersebut selepas terdengar bunyi letupan kuat. Beliau segera berlari keluar dan mendapati kedua-dua anaknya mengalami kecederaan.
“Ketika kejadian berlaku, bapa mangsa tiada di rumah,”** katanya dalam satu kenyataan pada hari Rabu.
Menurut Abdull Razak, kanak-kanak berusia tujuh tahun mengalami kecederaan serius dan kini sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) HSB.
Berikutan kejadian itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sekiranya disabitkan kesalahan, individu yang memiliki bahan letupan secara haram boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun.
Selain itu, mana-mana individu yang didapati cuai sehingga membahayakan kanak-kanak boleh dikenakan denda maksimum RM50,000, hukuman penjara sehingga 20 tahun, atau kedua-duanya sekali.
Sakit yang tak tertanggung. Satu-satunya ayat yang boleh digambarkan ketika menanti detik bersalin. Pun begitu ia bukan alasan untuk bakal ibu tidak mengerjakan solat lima waktu.
Perkongsian saudari Yasmine Hanani Muhammad Sufyan menerusi Facebooknya ini benar. Ramai wanita yang rupanya meninggalkan solat, lebih-lebih lagi ketika bakal berdepan kesakitan melahirkan anak.
Ramai perempuan tak solat?
Dulu saya macam tak percaya ramai perempuan tak solat, tapi bila macam-macam isu melibatkan perempuan baru saya tahu masalah ini bukan kecil.
Pakai tudung dan tak solat, juga tak pelik. Tudung tu uruf sahaja.
Dalam satu kajian oleh sekumpulan penyelidik di hospital, mendapati ramai wanita mengandung yang ditahan di wad tidak solat.
Lantas saya teringat pengalaman saya sendiri di wad setiap kali bersalin. Bila tiba waktu solat, memang tak ramai ibu hamil yang solat.
Biasanya cuma saya dan cleaner. Wanita hamil masih wajib solat sehinggalah melahirkan anak melainkan anda tidak sedar atau pengsan.
Sedih sebenarnya pada saat akhir kehamilan, waktu kita paling memerlukan Tuhan pun, kita tidak ingat Tuhan, bagaimanakan pada waktu lain?
Gambar: Surau sebuah mall di Cairo, seorang makcik cleaner sedang membaca Quran.
Dividen ASB 5.75 sen seunit, terkukuh dalam lima tahun. Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 5.75 sen seunit kepada pemegang unit Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.
Dividen ASB 5.75 Sen Seunit, Terkukuh Dalam Lima Tahun
Jumlah itu terdiri daripada pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit dan bonus 0.25 sen seunit.
Pembayaran dividen ASB sebanyak 5.75 sen seunit adalah ketara lebih tinggi berbanding 5.25 sen seunit yang telah dibayar pada 2023, dan menjadikan jumlah dividen yang diagihkan kepada pemegang unit ASB sejak penubuhannya kepada RM196.5 bilion.
Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 itu sebanyak RM10.1 bilion dan akan memanfaatkan 11.1 juta pemegang unit ASB.
Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda, berkata pihaknya berbesar hati kerana ASB mampu memberikan agihan dividennya yang paling kukuh sepanjang tempoh lima tahun.
“Ini meneruskan rekod prestasi kukuh Dana Harga Tetap ASNB berbanding portfolio rujukan mereka, sejajar dengan matlamat PNB untuk mengukuh kedudukan kewangan rakyat, merentas generasi,” katanya dalam satu kenyataan.
ASB terus memberikan pulangan yang mampan, mengatasi pulangan pasaran serta penanda arasnya iaitu kadar Deposit Tetap 12 bulan Maybank.
Bilangan akaun ASB meningkat 2.4 peratus kepada 11.1 juta akaun, mencerminkan keyakinan berterusan terhadap ASB sebagai instrumen simpanan dan pelaburan penting bagi golongan Bumiputera dalam perancangan kewangan mereka.
Prestasi ASB yang lebih baik itu adalah didorong oleh impak positif daripada strategi kepelbagaian aset PNB serta faktor pasaran ekuiti awam Malaysia yang kukuh, yang mendapat manfaat daripada pertumbuhan ekonomi Malaysia yang teguh dan pengukuhan ringgit.
“Walaupun di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perdagangan global yang berterusan, persekitaran makroekonomi Malaysia kekal positif, disokong oleh permintaan domestik yang teguh, kadar faedah yang stabil dan peningkatan pelaburan asing disebabkan tindak balas kukuh pelabur terhadap inisiatif MADANI kerajaan, termasuk pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan program Pengaktifan dan Reformasi Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP),” kata Raja Arshad.
Pengiraan pengagihan pendapatan dan bonus untuk ASB adalah berdasarkan baki bulanan minimum purata yang dipegang sepanjang tahun kewangan dana itu.
Unit yang dilaburkan semula daripada pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Januari 2025.
Transaksi untuk ASB di cawangan dan ejen ASNB, termasuk semua saluran dalam talian dan perbankan internet, akan digantung sementara dari 28 hingga 31 Disember 2024.
Pemegang unit boleh meneruskan transaksi di semua saluran dalam talian dan perbankan internet bermula 1 Januari 2025, dan di mana-mana cawangan dan ejen ASNB bermula 2 Januari 2025.
Bila kita dipukul, apa tindakan yang perlu kita buat. Tular seorang wanita telah dipukul oleh seorang lelaki gara-gara terlanggar anaknya yang melintas secara tiba-tiba. Keganasan fizikal seperti dipukul merupakan satu perbuatan jenayah yang serius dan tidak boleh dipandang ringan.