Membina sebuah perniagaan bukanlah satu perkara mudah, apatah lagi nak mengekalkan perniagaan tersebut untuk tahan lama. Terutamanya bagi perniagaan berbentuk makanan.
Makanan dan perniagaan sememangnya tidak dapat dipisahkan. Ini kerana, makanan merupakan salah satu keperluan asas bagi manusia dan perniagaan pula wujud bagi memastikan kita dapat memenuhi keperluan hidup. Justeru ramai yang menyedari hakikat ini, menjadikan perniagaan makanan suatu yang tidak lapuk dek zaman.
Mengekalkan perniagaan makanan selama 85 tahun bukanlah sesuatu yang mudah dan semestinya patut dibanggakan. Mewarisi perniagaan datuk, Lim Ben Winn berkongsi sejarah awal kewujudan Kluang RailCoffee di mana sekitar tahun 1930, datuknya datang ke Malaysia untuk mencari rezeki demi menyara keluarga.
Katanya yang lebih mesra dipanggil Ben, pada ketika itu, datuknya hanya bekerja sebagai tukang masak di kantin Stesen Kereta Api Kluang dan tahun demi tahun perniagaan ini telah diwarisi menjadi perniagaan keluarga sehingga berkembang maju dapat membina 5 cawangan lain di Kluang dan terkini sebuah di Shah Alam.
Selain Ben, turut serta menggerakkan perniagaan ini adalah bapanya, Lim Jit Chen, bapa saudara, Lim jit Tong dan ibu saudara, Ng Choon Yann.
Bukan kopitiam lah kalau tak terkenal dengan roti bakar dan kopi, betul tak? Di Kluang RailCoffee, bukan hanya menyediakan menu tersebut sahaja, malah ada juga tersedia makanan lain seperti Nasi Lemak, Mee Rebus, Mee Kari, Mee Siam dan tidak dilupakan pelbagai menu makanan western lain yang pastinya anda boleh memesan bila-bila masa sahaja bila anda datang ke sana!
Menjadi satu kebanggaan apabila Kluang RailCoffee menempatkan nama dalam Malaysia Book of Records, iaitu Kopitiam Kereta Api tertua di Malaysia dan dianugerahkan sebagai Outlet Makanan Terbaik Johor oleh Tourism Johor, jadi tak mustahil perniagaan ini tidak berdepan dengan cabaran.
Bertanyakan tentang cabaran yang dihadapi, Ben akui perniagaan seperti F&B ini semestinya akan berdepan dengan pelbagai masalah seperti kenaikan harga barang makanan, masalah pekerja dan sebagainya.
Namun bagi Kluang RailCoffee, cabaran terbesar untuk mereka saat ini adalah untuk menerapkan teknologi dalam perniagaannya. Tak dinafikan, kini teknologi memberikan banyak kelebihan dalam operasi harian. Berkat bantuan pekerjanya yang bergerak dengan pantas telah berjaya bantu mereka melakukan banyak perkara untuk mendigitalkan operasi perniagaan mereka.
Bila berdepan dengan masalah, pasti akan membuatkan kita ‘down’, betul tak? Bagi Ben, dia rasa bertuah kerana dikelilingi dengan pasukan yang kuat dan sentiasa menyokongnya di belakang yang boleh digelar sebagai ‘keluarga’. Jadi bila berdepan dengan masalah, mereka akan mengharunginya bersama-sama.
Namun dari segi peribadi, Ben gemar untuk melakukan senaman kerana baginya, senaman dapat membantu kosongkan fikiran dan kembali fokus menyelesaikan masalah.
Seperti yang dikatakan di awal artikel, nak mengekalkan sesebuah perniagaan itu bukan mudah. Jadi bagi Ben pada masa akan datang untuk perniagaannya Kluang RailCoffee, amat penting baginya untuk mengekalkan perniagaan mereka yang telah diwarisi sejak dulu.
Meskipun perniagaan mereka sudah kukuh dalam masa yang lama, namun mereka tidak mengambil sikap sambil lewa dalam pengurusan perniagaan mereka dengan bantuan pasukan operasi yang berdedikasi dan menganggap cawangan yang baru dibuka sebagai yang pertama kali dibuka.
Misalnya pada tahun lepas mereka telah membuka satu cawangan baru Kluang di Plaza Shah Alam. Baginya tak mudah untuk membuka cawangan baru ini tetapi syukur sambutan dan sokongan penduduk di Shah Alam sangat menggalakkan.
Jadi, anda yang belum pernah ke Kluang RailCoffee tu bolehlah singgah di cawangan yang berdekatan dan rasai sendiri makanan di sana. Jangan lupa cuba ya!