Dapur menjadi antara ruang yang sering diberi tumpuan dalam menghadirkan konsep yang istimewa untuk sebuah kediaman. Umpamanya untuk rekaan dapur berkonsepkan industrial ini, ada peminatnya yang tersendiri.
Menariknya rekaan dapur industrial ini lazimnya akan menggunakan dekorasi setengah jadi (unfinished) sehingga menciptakan kesan raw pada mood ruangan dapur.
Jadi untuk anda yang menggemari konsep ini, bolehlah ketahui cara bagaimana untuk mendapatkan efek simen yang berkilat untuk penggayaan di ruangan kaunter top atau table top seperti yang dikongsikan oleh saudara Zuryat Abadi di salah satu group fb berkaitan bertukangan.
Ini perkongsiannya semoga bermanfaat.
Table/counter top cement texture
Ada yang bertanya bagaimana nak buat simen dan bata tu berkilat. Ni abang nak kongsikan. Bagi membina kerangka table/counter top,dah banyak suapan yang menunjukkan cara dan bahannya. Yang saya nak tunjuk ialah bagaimana hendak membuat top yang licin dan berkilat.
Cara Buat Simen Berkilat
1.Melicin table/counter top
Saya melicinkan papak atas semasa simen konkrit selesai diisi ke acuan papak atas. Perlu dibuat semasa simen konkrit masih cair. Simen/mortar konkrit ini saya taburkan simen debu khas untuk melicin lantai konkrit untuk kegunaan lasak seperti tempat meletak kenderaan atau tempat-tempat terbuka seperti kaki lima atau laluan pejalan kaki.
Simen khas ini dari jenama sika. Nama simen ini quartztop #3. Taburkan simen ini ke permukaan mortar konkrit serata mungkin. Simen ini agak kasar dan kelihatan berkaca. Tidak seperti debu simen biasa yang kita selalu gunakan. Biarkan air konkrit meresap dengan simen quartztop ini.
Baru kita ratakan dan licin. Jika kurang air kita semburkan air dengan botol coke yang kita lubang-lubangkan penutupnya.
Ratakan dan licinkan. Biarkan air simen meresap keluar. Biarkan seketika supaya ia agak sedikit lembab disebabkan pengeringan. Kemudian taburkan simen debu biasa untuk mendapatkan tekstur warna gelap pada permukaan papak atas kita nanti. Simen khas quartztop ini apabila kering nanti ianya akan bewarna putih. Jadi kita taburkan simen debu biasa untuk mendapatkan tekstur simen kita.
Buka kayu acuan table top kita di bahagian tepi. Kemudian lepa simen debu yang telah kita campurkan air untuk mendapatkan tekstur bahagian tepi. Simen ni saya campurkan air disebab bahagian tepi yang hendak kita lepa ini sudah agak keras. Jila kita buka acuan tepi semasa mortar konkrit masih lembik dan cair. Mortar konkrit akan runtuh. Lebih sukar untuk dibuat kerja kemasan merata dan melicin.
Bancuhan simen bersama air ini ialah dengan menggaulkan simen debu biasa dengan simen debu quartztop. Kemudian taburkan ke dalam baldi yang berisi air sehingga air tadi tidak lagi kelihatan. Tak perlu dibancuh. Biarkan sahaja. Jika dibancuh akan menyebabkan simen ini cepat keras. Gunakan kemahiran bertukang anda untuk mendapatkan lepaan sudut yang kemas dan cantik.
2.Mengecat dan mengilat permukaan table/counter top
Yang ni ramai tanya saya apa saya guna untuk buat permukaan papak atas saya ini berkilat dan licin. Banyak cara dan bahan boleh digunakan. Saya masih menggunakan cara konvensional. Guna cat batu.
Cat batu pilihan saya adalah cat yang digunakan untuk mengecat permukaan simen,lantai,batu shanghai(pebble stone/batu kacang). Saya gunakan dari jenama Nippon. Namanya slate finish.
Ada banyak lagi jenis cat batu dari Nippon ini. Ada yang untuk kegunaan mengecat marmar dan lain-lain. Saya memilih jenis untuk kegunaan mengecat permukaan batu Shanghai kerana ia lebih mudah dikendalikan berbanding menggunakan clear epoxy, resin atau acrylic sepenuhnya.
Cat ini hanya perlu dicairkan dengan thinner seperti cat biasa yang lain.
Langkah pertama selepas permukaan papak atas ini benar-benar kering ialah menggosoknya dengan kertas pasir atau apa sahaja alat yang boleh digunakan untuk merata dan melicinkan permukaan batu serta simen.
Saya guna kan mesin sander getar bosch. Jika ada mesin orbital sander lebih baik kerana mesin yang berpusing lebih berkuasa dan cepat menggosok serta merata.
Bersihkan debu-debu serta segala butiran kasar pada permukaan papak atas. Barulah boleh kita mulakan kerja mengecat.
Cairkan sedikit cat slate finish kita dengan thinner. Sukatannya saya tiada sebab saya jenis tukang yang mengikut rasa hati saja. Tujuan mencairkan lagi cat slate ini bukanlah untuk mempercepatkan proses pengeringan cat ini.
Tetapi tujuan utamanya ialah supaya cat yang cair ini dapat meresap ke permukaan papak konkrit kita dengan lebih baik. Bila meresap lebih baik maka lebih tahan lama usianya dan lebih melekat.
Biarkan cat ini kering sekurang-kurangnya 24 jam. Kemudian kita akan mulakan sekali lagi proses menggosok permukaan papak atas kita ini. Proses mengecat yang pertama tadi pasti tidak manjadikan permukaan papak atas kita berkilat licin. Ini disebabkan sapuan pertama ini umpama mematikan permukaan papak atas kita sahaja dari debu atau resapan yang keterlaluan pada sapuan seterusnya nanti.
Bagi sapuan cat ini pula. Terpulang samada hendak menggunakan berus(bagi yang rajin),roller atau mesin spray cat(bagi yang memiliki). Saya memilih menggunakan roller.
Selesai menggosok dan melicin permukaan pertama kita tadi. Bersihkan. Pastikan tiada debu atau butiran kasar yang tertinggal di permukaan. Barulah sapukan cat untuk kali kedua. Bancuhan kali ini tidak perlu cair. Sebab kita hendak cat seberapa tebal yang boleh.
Teknik ni saya harapkan cat yang saya sapukan ini semasa tempoh mengering akan self healing. Merata dengan sendirinya dari kesan-kesan berus,roller atau lebihan titisan cat.
Untuk proses menggosok dan mengecat ini. Lebih banyak lapisan lebih baik. Ulang langkah menggosok,merata,melicin dan mengecat ini minima 2 kali. Maksima x perlulah sampai 5x. Rajin sangat awak ni bossku.
Cubalah bagi yang hendak DIY table/counter top. Sambil asah-asah bakat bertukang masing-masing. Saya kongsikan sedikit ilmu yang saya ada.
Jangan kecam andaikata cara dan teknik kita tak sama. Saya belajar dengan try & error. Asas bertukang datang dari minat dan belajar dulu di institut kemahiran. Asas tu penting. Kena ada guru sebab guru tukang tegur kalau kita salah. Tukang juga kan? Jangan belajar ilmu salah. Sekian.
Dapur basah berkonsepkan RAW INDUSTRIAL
Sumber : Zuryat Abadi
ARTIKEL MENARIK:Cara Mudah Menabung Di Maybank2U, Sampai Masa ‘Matang’ Sedar-Sedar Duit Sudah Banyak Dalam Akaun!
LAGI ARTIKEL MENARIK :“Rumah Persaraan Sebaiknya Kecil & Setingkat Sahaja”-Dr Azizul Azli Jelaskan Cara Nak Persiapkan Rumah Persaraan!
Jom turut serta bersama e-keluargagader Bonding Day #dirumahaje secara virtual!
Bukan sahaja dapat eratkan hubungan dengan keluarga tersayang, tapi boleh lakukan aktiviti yang menceriakan bersama-sama. Hadiah menarik menanti anda sekeluarga!
Yuran hanya RM30.00 sahaja terhad untuk 50 famili sahaja. Satu famili 2 dewasa 2 kanak-kanak. Jadi, tunggu apa lagi? Jom daftar segera di sini: http://www.wasap.my/60169647520
Nak macam-macam info? Join channel Telegram keluargagader club