Konon Tak Nak Jadi Ibu Mentua Toksik, Tapi Ramai Berubah Tanpa Niat! Pegang Janji Dengan Cara Ini

Share

Bila dah berkahwin ni, kita hidup bukan dengan pasangan sahaja, tapi ada hati lain juga yang perlu dijaga iaitu keluarga mentua kita. Bila sebut tentang mentua, tidak semua mempunyai pengalaman indah bersama mentua.

Jika sebelum ini ibulah ratu di hati anak lelaki, bila anak dah berkahwin isterilah menjadi keutamaan bagi sang suami. Waktu ini bagi ibu yang bergantung hidup dengan anak itu mula lah rasa dipinggirkan dan berusaha mencari semula perhatian pada anaknya itu. Keadaan ini menjadikan si isteri berasa tidak selesa dan perlu ada persaingan dengan ibu mentua sendiri.

Itu baru sikit… Ada banyak lagi kerenah ibu mentua lain yang dianggap toksik sampaikan ada yang berazam untuk tidak mahu menjadi seperti yang mereka lalui. Tapi.. Sejauh mana realiti untuk tidak menjadi toksik itu? Jom baca perkongsian di bawah ini demi mengelakkan dari jadi ibu mentua toksik.

SAYA TAK AKAN MENJADI IBU MERTUA YANG TOKSIK. Benar kah?

Majoriti gadis hari ini berjanji tak akan menjadi ibu mertua yang toksik pada masa akan datang. Sebenarnya ramai akan berubah menjadi toksik tanpa niat. Hanya kerana struktur sosial kita yang suka menekan wanita supaya bersaing dengan wanita lain.

🔸Jika anda tiada simpanan hari tua, anda akan terpaksa bergantung sumber kewangan dengan anak lelaki anda. Maka terpaksalah anda bersaing dengan menantu anda berebut rezeki.

🔸Jika anda tiada hobi sendiri, maka anda akan bergantung emosi dengan kehidupan anak-anak dewasa anda. Semua aktiviti anak-menantu anda nak campur tangan. ‘Tali pusat’ ini bisa mencekik hubungan dengan anak-menantu anda.

🔸Jika anda tiada aktiviti romantik dengan pasangan hidup anda, anda akan berasa cemburu dan ingin menyibuk setiap kali anak lelaki anda membawa isterinya pergi berdating.

🔸Jika anda merasakan identiti anda 100% sebagai seorang ibu, dan bukannya sebahagian dari identiti anda; hubungan anda dengan menantu boleh terjejas. Kerana anda sukar menerima kenyataan, suatu hari nanti kehidupan anak-anak tidak berkisar tentang anda semata-mata.

Nak jadi ibu mertua yang baik perlu dipupuk lama sebelum kita menjadi ibu mertua.
Jadilah individu tersendiri, hamba Allah, isteri dan kemudiannya sebagai ibu supaya kita tak menyerabutkan kehidupan anak-anak kita nanti. Pupuklah hobi dan aktiviti sendiri. Binalah kehidupan sosial dengan pasangan hidup dan rakan sebaya supaya kita kekal sihat dan relevan.

Jangan lupa tujuan hidup kita bukanlah sebagai ibu semata. Tetapi seorang hamba Tuhan yang bakal dipanggil pulang bertemu denganNya.

Semoga kita semua menjadi bakal mertua yang baik, bermanfaat serta serba memudahkan.

Sumber : Hana Hadzrami