Keibubapaan

Kongsi Kejayaan Di Pentas Konvokesyen, Bapa Genggam PhD, Anak Peroleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama

Share

Kongsi kejayaan di pentas konvokesyen, bapa genggam PhD, anak peroleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama. Seorang bapa mencipta mencipta legasi keluarga cemerlang bersama anaknya apabila beliau berjaya menamatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

Kongsi Kejayaan Di Pentas Konvokesyen

Jika si bapa berjaya mendapat PhD, si anak pula berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama pada Majlis Konvokesyen Univerisiti Malaysia Sabah (UMS) ke-26 yang berlangsung baru-baru ini.

Dr. Azmi Abd Majid yang berusia 52 merupakan graduan PhD dalam bidang perbankan dan kewangan di bawah Fakulti Perniagaan Ekonomi Dan Perakaunan (FPEP), manakala anaknya Aleeya Batrisyia 22, merupakan graduan Fakulti Psikologi dan Pendidikan dengan PNGK 3.83.

Bapa Genggam PhD, Anak Peroleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama

Azmi ketika berkongsi kejayaan mendapatkan PhD berkata, beliau mula menjadikan gelaran PhD sebagai cita-cita peribadi setelah mula beralih ke bidang akademik sebagai pensyarah pada tahun 2016 setelah berkhidmat selama 19 tahun dalam industri kewangan dan perbankan sebelum itu.

“Saya percaya dengan memiliki PhD dapat meningkatkan keyakinan yang lebih sebenarnya dan juga memberi ruang untuk menerapkan pengalaman dalam konteks keilmuan yang lebih luas.

“Saya menekankan kepentingan keseimbangan terhadap tanggungjawab akademik dan keluarga.

“Apabila anak-anak sudah dewasa, saya dapat menfokuskan kepada penyelesaian tesis sepenuhnya walaupun umur meningkat naik.

“Ramai orang kata bila tua, kita perlu berehat, tetapi bagi saya, ia bergantung kepada motivasi, yang penting, mahu atau tidak mahu habiskan,” katanya.

Sebagai seorang ayah, Azmi sering berkongsi kata-kata motivasi di Facebook agar anak-anaknya dapat melihat dan mengambil inspirasi daripadanya, selain turut menasihati mereka supaya tidak menghadkan impian dan sentiasa bercita-cita tinggi, serta abaikan pandangan negatif orang lain dan terus fokus kepada matlamat yang ingin dicapai.

Nasihat tersebut turut mempengaruhi Aleeya Batrisyia, yang menyifatkan kejayaannya sebagai hadiah untuk ibu bapanya.

“Saya gembira dapat habiskan pengajian bersama ayah dan bangga dapat hadiahkan ijazah kelas pertama pada mereka.

“Nasihat ayah saya ‘belajar sebanyak mungkin’ menjadi motivasi cemerlang dalam akademik sekali gus dapat memberikan keseriusan dalam akademik,” katanya.
Aleeya turut merancang mengikuti jejak ayahnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

“Saya merancang untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dalam bidang yang sama tetapi lebih spesifik iaitu terapi berbual.

“Minat saya lebih kepada bidang terapi dan saya ingin mendalaminya dengan lebih mendalam,” ujarnya lagi.

Kisah inspirasi Dr. Azmi dan Aleeya Batrisyia menjadi bukti bahawa sokongan keluarga memainkan peranan masing-masing dan dedikasi tersebut mampu menjadikan impian satu kenyataan dan membina generasi keluarga ke arah kecemerlangan.

Sumber: Facebook Universiti Malaysia Sabah (Muhammad Fakhrul Hakim Nasrudin, pelajar program Komunikasi, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UMS )

Baca artikel lain juga: Kembar Seiras Yatim Piatu Genggam Ijazah Kelas Pertama, Hadiah Terindah Buat Nenek

Kembar Yatim Piatu Berjaya Genggam Ijazah, Balas Jasa Nenek, Ayah Meninggal Kemalangan, Ibu Kanser Paru-paru

Kekosongan Jawatan Guru, KPM Tawar Penempatan 6,300 Calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan

 

 

Nak macam-macam info? Klik channel Telegram KELUARGA  atau join keluargagader club

Dapatkan perkongsian lebih menarik dari Tik Tok Keluarga @keluarga.my