Kongsi Cerita Penghijrahan, Almy Nadia – “Dah Lama Simpan Hasrat Berhijab, Tapi…”

Share

Perubahan pelakon, Datin Almy Nadia yang berhijab sepenuhnya sememangnya menjadi perhatian orang ramai. Katanya, kalau diikutkan sudah lama dia berhasrat untuk mengenakan tudung tetapi hatinya berbelah bahagi kerana khuatir jika sudah berhijab, suaminya berpaling kepada wanita lain.

Namun, selepas berbincang dengan suami yang juga pelakon, Datuk Fizz Fairuz, dia nekad berhijab kerana Allah SWT pada Jun tahun lalu.

“Saya mula berubah secara perlahan-lahan bermula dari segi pakaian.

“Selain memakai baju yang longgar, saya juga mula memakai selendang untuk menutup rambut ketika di luar rumah.

“Saya juga mula berhijab sepenuhnya ketika mengambil anak di sekolah yang berhampiran Masjid Wilayah dan seterusnya ketika terbabit dalam program Majalah Keluarga di Legoland pada tahun lalu,” katanya memetik laporan dari Harian Metro.

Mengenai penerimaan suaminya pula, kata Almy, Fizz tidak menghalang hasratnya untuk berhijab itu.

“Fizz cuma bertanya adakah saya benar-benar sudah bersedia berhijab dan dia juga meminta saya betulkan niat berhijrah kerana Allah dan bukan paksaan darinya atau ahli keluarga.

“Ahli keluarga saya dan mentua semuanya berhijab dan mereka juga sangat menyokong penghijrahan ini.

“Terus terang saya juga sudah puas bergaya dengan pelbagai fesyen baju dan rambut ketika zaman anak dara dan bentuk badan langsing dulu dan kini sampai masanya untuk saya berhijrah menjadi isteri, ibu dan hamba Allah yang lebih baik,” katanya.

Berkongsi aktivitinya pada bulan Ramadan, kata Almy, masanya banyak dihabiskan untuk menguruskan empat anaknya yang masih kecil di rumah.

“Saya sibuk menguruskan anak-anak di rumah kerana anak yang bongsu, Nur Afrina Aishah masih menyusu badan.

“Saya juga mewajibkan dua anak, Nur Afrina Ariana, 8 dan Nur Afrina Aurora, 7 untuk berpuasa penuh.

“Cuma Nur Afrina Ayra, 5, yang belajar berpuasa pada Sabtu dan Ahad kerana dia belajar di sekolah cina,” katanya.

Pada masa sama, kata Almy, dia juga bagi hadiah untuk menggalakkan anak-anaknya berpuasa penuh, contohnya hadiah mainan pada Ramadan tahun lalu.

“Sebelum ini kami bawa anak-anak menunaikan solat Tarawih berjemaah di masjid, tetapi bila ada anak kecil yang masih menyusu badan, kami hanya buat ibadah di rumah,” katanya.

Sementara itu, kata Almy, Fizz juga memperlahankan aktiviti seninya pada bulan Ramadan kerana mahu menjalani ibadah puasa bersama anak-anak.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan suami yang ‘family man’ seperti Fizz. Dia lebih suka berbuka dan bersahur dari air tangan isterinya di rumah.

“Saya juga akan memasak juadah berbuka mengikut permintaan suami dan anak-anak,” katanya.

Almy berkahwin dengan Fizz pada 26 April 2014.

Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan empat anak perempuan iaitu Nur Afrina Ariana, 8, Nur Afrina Aurora 7, Nur Afrina Ayra, 5, Nur Afrina Aishah, satu tahun empat bulan dan anak angkat Nur Afrina Darwisyah, 14.

Sumber : Harian Metro