Sesungguhnya kelahiran anak istimewa memberi cabaran besar kepada setiap pasangan suami isteri untuk mendidik dengan sempurna. Mana mungkin hati ibu bapa membiarkan anak ini membesar tanpa perhatian sempurna. Biarpun cabaran mendatang kala membesarkan anak istimewa ini, pasti dilalui dengan teguh dan tabah.
Namun, jauh disudut hati ibu bapa anak istimewa sudah tentu, kecewa dengan tanggapan salah faham segelintir masyarakat tentang keupayaan anak ini. Mengerti lumrah adanya buah fikiran ada di benak masyarakat yang tidak mengerti realiti Sindrom Down.
Lantaran itu, bapa kepada empat orang anak ini, yang mempunyai anak seorang lelaki Sindrom Down, terpanggil untuk berkongsi luahan rasa. Deep nukilan luahan Sunardi Maulan ini.
Saya ada anak lelaki dengan sindrom down. Dia kini berusia 5 tahun.
Di Malaysia sahaja, dianggarkan ada 50,000 ribu individu dengan sindrom down. Dibandingkan dengan populasi rakyat Malaysia seramai 32 juta, tidak sampai 1% pun. Tetapi, inilah golongan yang sering dikaitkan dengan kebodohan orang lain.
“Bodoh macam down sindrom.”
“Usah dibawa ‘kedown sindroman’ itu untuk bla la bla…”
Banyak kali saya tegur orang-orang yang menulis sebegini rupa sehingga saya tidak ambil peduli lagi. Terlalu penat rasanya.
Namun, hari ini perasaan saya bercampur baur apabila membaca ada ramai lagi yang mengecam dan menghina individu-individu istimewa ini bukan sahaja sindrom down malaham austisma dan lain-lain. Apabila Zarina Zainuddin berkongsi insidennya dengan anak istimewanya, Azil, saya bersimpati. Namun hati ini terluka membaca hinaan netizen sehinggakan ada yang menuduh Zarina sengaja mencari publisiti murahan.
Ketahuilah, kami ibu dan bapa anak istimewa ini tidak pernah terfikir hendak mencari publisiti. Tujuan kami adalah untuk berkongsi dengan masyarakat di luar sana tentang apa yang dialami oleh anak-anak kami ini. Ini semua bertujuan agar masyarakat faham cabaran yang kami dan anak-anak ini hadapi. Moga-moga mereka diterima di dalam masyarakat dan menerima layanan yang sama, diberi peluang sama rata sama seperti anak-anak normal yang lain. Itu sahaja harapan kami.
Kami ingin meningkatkan kesedaran, semoga masyarakat bersama mereka, itu sahaja.
Air mata yang tumpah, keringat yang mengalir dan kebimbangan akan masa depan anak-anak biarlah kami sahaja yang menanggungnya. Semoga Allah membantu dan memberi kekuatan kepada kami.
Sumber: FB Sunardi Maulan