“Kita Tak Sempurna, Cuba Buat Terbaik. Ini Usaha Suami & Doa Dari Ibu.” Rezeki Anak-Anak, Aliff Aziz Sekeluarga Bakal Tunai Umrah!

Share

Sebagai isteri Aliff Aziz, bohonglah andai dikatakan Bella Astilah langsung tidak terusik mendengar pelbagai umpatan diperkatakan oleh netizen terhadap diri suaminya.

Jujurnya, isteri mana yang mahu menahan sabar, mendengar umpatan dan kata-kata yang kurang enak tentang suami tersayang. Demikian juga dengan isteri kesayangan Aliff Aziz ini.

Sepanjang 10 minggu terbabit dalam program Gegar Vaganza musim ke-8, pelbagai reaksi netizen sehinggakan Bella tidak mampu berdiam diri.

“Bukanlah mahu kata nak tutup mulut netizen, tapi dia suami saya. Apa yang orang cakap tak baik pasal dia, sebagai isteri saya pun terasa. Tapi dia sangat positif. Dia yang tegur saya suruh berhenti… jangan layan netizen.

“Aliff marah saya, katanya berhenti daripada menjelaskan kepada mereka (netizen), kalau mereka tak suka, kita tak boleh nak paksa. Asalkan kita tahu niat kita.

“Tapi tak bermakna kemenangan ini nak tutup mulut netizen, rezeki  ini Allah beri pada Aliff atas usaha dia. Untuk diri dia juga, alhamdulillah,” katanya.

Tambah Bella lagi, apa yang dikecapi Aliff adalah hasil usaha gigihnya. Sebagai isteri dia melahirkan rasa syukur dan gembira dengan pencapaian suaminya itu.

“Sebagai isteri saya bersyukur Alhamdulillah, inilah dikatakan rezeki anak-anak. Terkejut tapi pada masa sama gembira sebab selama 10 minggu ini, kita stress dan semuanya terbayar. Tak terkata-kata.

“Aliff tak pernah cakap dia perlu menang. Saya bangga melihat Aliff seorang individu yang sangat positif. Dia selalu risaukan kawan-kawan dia… dia selalu tanya saya kalau ada kawan-kawan tengah sakit walau dah ready nak perform.

“Kita tak pernah jangka untuk menang, Aliff cuma nak buat yang terbaik sebab orang ramai tahu dia cuma boleh nyanyi lagu Sayang Sayang saja, padahal banyak lagi boleh explore.

 

Bella dalam pada itu turut menitipkan ucapan terima kasih buat keluarga mentua yang tidak putus-putus memberi sokongan.

“Keluarga Aliff pun sangat menyokong, ibu dan adik-beradiknya selalu berhubung beri semangat dan tak pernah beri tekanan untuk mesti menang. Kata mereka, menang atau kalah tak kisah mereka akan terus sokong dan doakan Aliff, kalau perform mesti ikhlas,” katanya.

Mengulas mengenai penghijrahan suaminya kini, Bella juga turut mengikut jejak langkah suaminya secara perlahan-lahan.

“Ini membuka mata saya sebab saya nampak perubahan Aliff yang cukup ketara. Dia buat daripada hati dia. Bila dia pilih untuk belajar agama, saya tak larang tapi sebenarnya saya pula yang segan dengan Aliff.

“Sebab itu saya minta dia doakan saya juga, kadang-kadang kita tak sempurna tapi saya nampak Aliff dia cuba yang terbaik. Dia sedang perbetulkan diri dia. Saya pun pastinya turut sama cuba perlahan-lahan berubah.“InsyaAllah… Dia buat kebaikan, yang datang pun baik-baik. Rezeki dapat job dan kemenangan besar malam ini, semua datang daripada diri dia juga. Ini usaha suami dan doa dari ibu dia,” katanya lagi.

Sementara itu, Bella memaklumkan dia bakal berangkat ke Tanah Suci Makkah untuk menunaikan ibadah umrah pada 9 Februari nanti.

“Kita dah ada tiket penerbangan, kalau ada rezeki dijemput mungkin kita akan berangkat ke Tanah Suci pada 9 Februari ini. Tapi sekarang menunggu lagi apa status daripada pihak yang berkenaan.

“Rancang nak sambut birthday Aliff di sana (Makkah) pada 16 Februari nanti. Ini merupakan umrah pertama Aliff, begitu juga saya,” katanya.

Sumber: bellaastillah