Kita Bukan Anak Terbaik Kepada Ibu Bapa, Tapi Berusaha Buat Baik & Bila Dapat Bahagiakan mereka, Inilah Hadiah Paling Mahal!

Share

Berbuat baik kepada orang tua adalah dituntut oleh Islam. Sementelah mereka telah berkorban segalanya dalam mendidik dan membesarkan anak-anak sehingga berjaya.

Bukan semua ibu bapa memandang harta dan pangkat. Cukup sekadar anak-anak mengambil berat akan soal mereka. Sudah membuatkan ibu dan ayah terasa seolah dihargai biarpun hanya sekadar satu panggilan telefon untuk bertanya khabar terutama yang berjauhan.

Apa lagi bagi yang tinggal bersama atau berdekatan rumah. Usah keluarkan kata-kata atau ucapan yang boleh membuatkan hati mereka terguris. Lebih-lebih lagi jika salah salah seorang dari mereka sudah pergi terlebih dahulu.

Perkongsian Penceramah Bebas yang juga Perunding Rumah Tangga, Puan Asma Binti Harun,  mengenai ibunya yang kesunyian usai pemergian si ayah seolah-olah membawa pergi bersama separuh jiwa si ibu.


RINDU YANG PERGI, SAYANGI YANG TINGGAL

Seawal jam 6.30 pagi terima panggilan emak, “Asma, betul ke balik malam ni, jadi tak balik ?”, nada suaranya perlahan penuh dengan harapan.

Emak saya baru sahaja melepasi tempoh eddah, pemergian ayah Ramadhan hari itu turut membawa sebahagian daripada dirinya. Kesunyian dan kekosongan itu jelas. Memang jelas. Selama ini semuanya dirancang dan dibuat bersama ayah. Mereka sangat rapat.

 

Teringat cara Rasulullah saw, sebagai melepaskan rindu pada Khadijah, Nabi sering memberikan makanan kepada para sahabat Khadijah. Menyantuni emak itulah satu cara melepaskan rindu pada arwah ayah.

Bila saya jawab insyaAllah jadi balik, confirm balik. Suara emak yang tadi bimbang-bimbang bertukar ceria, terus dengan semangatnya emak senaraikan perancangannya, apa yang nak dibuat dalam tempoh 3 hari ni, suara ceria itu dah lama tak dengar, membuatkan air mata menitik laju, ya Allah..bahagianya bila dapat bahagiakan hati seorang ibu, sedang aku juga seorang ibu.

 

Kita bukan anak yang cukup baik buat Ibu Bapa kita, tapi berusaha untuk buat baik itulah satu kebaikan. Walau sekadar telefon bertanya khabar, makan apa hari ini, dah makan ubat belum, dll.

Saya tahu, ramai yang merantau di negeri orang tak ada kesempatan masa untuk balik dek kesibukan kerja dll. Ada juga kerana pasangan yang tidak memahami dan kurang kerjasama. Maka memendamlah rasa rindu pada orang tua. Ketahuilah orang tua itu lebih lagi rindunya pada anak-anak. Namun mereka sedar mereka dah tua, mereka beralah dan sentiasa cuba memaafkan dan tak berhenti berdoa.

Saya teringat kes klien saya, orang kelantan, bukan berbulan tapi bertahun tak balik kampung, suami tak izinkan, ada masalah keluarga. Hinggalah satu masa dapat khabar ayah sakit, suami tetap berkeras tak bagi pulang. Hinggalah terima khabar si ayah meninggal. Lalu dia nekad balik ke kampung dengan anak-anak menumpang lori orang. Ketika itulah dia nekad untuk tinggalkan suaminya juga, akhirnya dia datang depan saya untuk mohon fasakh.

Saya ingin sampaikan bahawa adalah menjadi satu KEWAJIPAN bagi seorang SUAMI itu menjaga Ibu Bapanya dan Ibu Bapa Isterinya. Kedudukan kedua Ibu Bapa Kandung dan Mertua adalah sama. Begitulah jua kepada para isteri perlu berusaha melayani Ibu Bapa Mertua seperti Ibu Bapa kandung. Disinilah keharmonian yang diwujudkan dalam Islam.

~~~~~~~

Syukur ya Rahman ya Rahim.. Syukran en.suami atas keizinan dan kesanggupan jaga anak-anak, syukran juga buat anak..memang ada drama air mata juga, ada yang nak ikut.

Antara sefahaman yang wujud, ada ketikanya saya balik sendirian, kadang suami yang pulang ke kampungnya sendirian. Untuk mewujudkan bonding time yang khusus buat emak ayah yang tak sama ketika balik satu keluarga. Kami dua-dua orang Terengganu. Pernah suami izinkan 2 minggu berturut. Boleh jaga ayah dan emak sepenuh masa. Masing-masing harus berkorban. Inilah hadiah paling mahal sesama kami. Balik sekeluarga itu memang wajib, itu agenda beberapa bulan sekali.

Setiap orang ada cara tersendiri mengikut situasi. Usah bandingkan diri kita dengan orang lain. Yang penting mesti ada usaha.

~~~~~~

Dah bertahun tak naik bas sebenarnya, rasa bimbang itu ada. Berteman zikir ya Hafiz ya Muhaimin, Yang Maha Menjaga Yang Maha Mengawasi, pelihara dan awasilah perjalanan ini agar tiba dengan selamat.

*Mohon maaf juga kepada jemaah kuliyah dan jemputan atas kesulitan yang timbul. Terpaksa dibatalkan dan dicari ganti. Bila emak mengharapkan kita teman dia sekejap, tiada kata tidak kepada emak yang sangat banyak berkorban dan berlelah untuk kita.

Sumber: FB Asma Binti Harun