Kisah Guru Dan Anak Murid Ini Bukan Biasa-Biasa Aje. Perkongsian Yang Penuh Emosi Dan Tersirat!

Share

Kita biasa dengar kan kata-kata ini, guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Itulah perumpamaan yang paling sesuai dalam menggambarkan jasa dan pengorbanan para guru ini, Mohd Fadli Salleh yang berkongsi cerita mengenai kisah anak muridnya yang tergolong dalam keluarga yang berpendapatan rendah.

Barangkali kisahnya nampak biasa-biasa aje, tetapi ada unsur moral dan kemanusiaan yang dipaparkan oleh guru ini bahawa inilah asam garam kehidupan membesarkan anak-anak terutama yang berpendapatan rendah.

Moga perkongsian ini membuatkan kita muhasabah diri untuk menjadi ibu bapa yang prihatin  yang hidup dalam komuniti masyarakat.

__________________________________________________________________

“Cikgu! Cikgu!” jerit dua orang murid dari kejauhan pagi Isnin yang lepas.

“Kenapa awak berdua ni? Terberak dalam seluar ke apa?” balasku bergurau.

“Haha. Tak cikgu. Ada murid tak nak masuk sekolah. Murid baru tu. Dia ada kat susur gajah sana.”

Tanpa berlengah aku pergi. Dari kejauhan aku lihat murid lelaki tahun 4 sedang memeluk tiang dan memandang pagar sekolah. Aku ajak dia pergi ke tapak perhimpunan. Digelengnya kepala.

Aku cuba tarik tangan, erat dia peluk tiang tak nak lepaskan. Cara macam ni tak jalan, aku guna taktik rahsia.

Gosok kepala dia. Hembus-hembus sikit ayat pelembut hati. Kemudian pujuk elok-elok. Dengan berat, pelukan pada tiang dilepaskan.

Kami berjalan beriringan. Tangan aku aku letak kat bahu dia masa berjalan. Macam pasangan suami isteri pulak. Mujur dia tak peluk pinggang aku je. ??

Saja aku buat begitu. Biar dia rasa selamat dan tidak terancam, dan sebagai langkah keselamatan kot-kot dia lari terus ke pagar. Haru nak kejar weh.

Belakang bajunya basah kuyup. Pelik juga aku, ape hal bajunya basah.

Dia tidak mahu masuk barisan kelasnya ditapak perhimpunan. Maka aku bawa saja ke dewan tertutup ini dan bertanya.

Aku selidik kot-kot dia dibuli. Tidak.

Bertanya tentang duit belanja. Ada.

Apakah dia takut pada aku atau mana-mana guru sampai tidak mahu ke sekolah. Tidak.

“Habis tu kenapa?” soalku.

Diam. Kolam mata bergenang. Satu dua titis mulai gugur. Ah sudah!

Aku teringat dia ada abang di tahun enam. Tanpa berlengah, aku suruh murid lain panggil si abang pujuk adiknya ini.

Dan beginilah mereka. Penuh sabar si abang dia pujuk. Bagi nasihat dan kata-kata semangat.

Sepanjang proses pujuk-memujuk oleh si abang, aku diam tanpa mencelah. Aku biarkan dua beradik ini berkomunikasi dan aku hanya pemerhati.

Biar saja mereka berdua luah apa yang terbuku dihati. Biarkan saja si abang menunjukkan tanggungjawab dan kasih sayang seorang kekanda.

Rupanya, kereta ayah mereka rosak. Setiap hari berjalan kali ke sekolah. Jauh jugalah jaraknya. Patut baju mereka berdua basah kuyup dengan peluh.

Budak ini adik-beradik mereka ada 11 orang. Anak ini anak ke 8. Ayahnya dah pencen.

Pujukan si abang ini nampaknya berjaya. Si adik akur dan akhirnya dipimpin untuk beratur dalam barisan kelas mereka.

Sambil-sambil itu, aku juga selit kata semangat dan motivasi buat budak ini. Dia mengangguk tanda faham.

Esoknya, sebaik budak ini sampai, dia terus mencari aku.

“Cikgu! Saya datang,” ujarnya tersenyum bangga dengan diri sendiri.

Aku memuji sikapnya. Gosok-gosok kepala sikit lepas tu kami ‘Hi 5’ sedas. Makin seronok dia. Senyum lebar bukan main.

Semasa aku pegang bahunya, terasa basah lenjun baju dia. Jalan kaki lagi la tu.

Dan semalam pun sama. Sebaik sampai sekolah dia cari aku lagi untuk berbangga dia hadir dengan penuh semangat.

Kebetulan semalam aku mula agihkan kupon percuma untuk anak-anak yatim, anak-anak dari keluarga bercerai dan anak-anak dari keluarga miskin. 2 kupon terus aku hadiahkan secara percuma. Gembira dia tidak kepalang.

Terus dia berlari mendapatkan abangnya untuk berkongsi kupon. Aku tak benarkan dia kongsi, sebaliknya aku beri kupon lain pula buat si abang itu.

Berkali-kali ucapan terima kasih diucapkan. Seronoknya mereka bukan kepalang.

InsyaAllah ada masa nanti aku nak ziarah keluarga mereka. #DanaKITA akan cuba bantu mana yang boleh. Niatnya nak bantu repair kereta ayah, dan lihat apa keperluan lain yang boleh #DanaKITA bantu lagi.

Terima kasih buat sahabat-sahabat yang baik hati hadiahkan kupon untuk anak-anak ini menerusi #DanaKITA. Mereka berdua antara yang menerima manfaat dan penuh gembira mendapatnya.

Terima kasih!

#MFS
– Kasih abang tiada sempadan

Sumber: Mohd Fadli Salleh III