Kita biasa dengar kan kata-kata ini, guru ibarat lilin yang membakar diri untuk menerangi orang lain. Itulah perumpamaan yang paling sesuai dalam menggambarkan jasa dan pengorbanan para guru ini, Mohd Fadli Salleh yang berkongsi cerita mengenai kisah anak muridnya yang tergolong dalam keluarga yang berpendapatan rendah.
Barangkali kisahnya nampak biasa-biasa aje, tetapi ada unsur moral dan kemanusiaan yang dipaparkan oleh guru ini bahawa inilah asam garam kehidupan membesarkan anak-anak terutama yang berpendapatan rendah.
Moga perkongsian ini membuatkan kita muhasabah diri untuk menjadi ibu bapa yang prihatin yang hidup dalam komuniti masyarakat.
“Cikgu! Cikgu!” jerit dua orang murid dari kejauhan pagi Isnin yang lepas.
“Kenapa awak berdua ni? Terberak dalam seluar ke apa?” balasku bergurau.
“Haha. Tak cikgu. Ada murid tak nak masuk sekolah. Murid baru tu. Dia ada kat susur gajah sana.”
Tanpa berlengah aku pergi. Dari kejauhan aku lihat murid lelaki tahun 4 sedang memeluk tiang dan memandang pagar sekolah. Aku ajak dia pergi ke tapak perhimpunan. Digelengnya kepala.
Aku cuba tarik tangan, erat dia peluk tiang tak nak lepaskan. Cara macam ni tak jalan, aku guna taktik rahsia.
Gosok kepala dia. Hembus-hembus sikit ayat pelembut hati. Kemudian pujuk elok-elok. Dengan berat, pelukan pada tiang dilepaskan.
Kami berjalan beriringan. Tangan aku aku letak kat bahu dia masa berjalan. Macam pasangan suami isteri pulak. Mujur dia tak peluk pinggang aku je. ??
Saja aku buat begitu. Biar dia rasa selamat dan tidak terancam, dan sebagai langkah keselamatan kot-kot dia lari terus ke pagar. Haru nak kejar weh.
Ads
Belakang bajunya basah kuyup. Pelik juga aku, ape hal bajunya basah.
Dia tidak mahu masuk barisan kelasnya ditapak perhimpunan. Maka aku bawa saja ke dewan tertutup ini dan bertanya.
Aku selidik kot-kot dia dibuli. Tidak.
Bertanya tentang duit belanja. Ada.
Apakah dia takut pada aku atau mana-mana guru sampai tidak mahu ke sekolah. Tidak.
“Habis tu kenapa?” soalku.
Diam. Kolam mata bergenang. Satu dua titis mulai gugur. Ah sudah!
Ads
Aku teringat dia ada abang di tahun enam. Tanpa berlengah, aku suruh murid lain panggil si abang pujuk adiknya ini.
Dan beginilah mereka. Penuh sabar si abang dia pujuk. Bagi nasihat dan kata-kata semangat.
Sepanjang proses pujuk-memujuk oleh si abang, aku diam tanpa mencelah. Aku biarkan dua beradik ini berkomunikasi dan aku hanya pemerhati.
Biar saja mereka berdua luah apa yang terbuku dihati. Biarkan saja si abang menunjukkan tanggungjawab dan kasih sayang seorang kekanda.
Rupanya, kereta ayah mereka rosak. Setiap hari berjalan kali ke sekolah. Jauh jugalah jaraknya. Patut baju mereka berdua basah kuyup dengan peluh.
Budak ini adik-beradik mereka ada 11 orang. Anak ini anak ke 8. Ayahnya dah pencen.
Pujukan si abang ini nampaknya berjaya. Si adik akur dan akhirnya dipimpin untuk beratur dalam barisan kelas mereka.
Sambil-sambil itu, aku juga selit kata semangat dan motivasi buat budak ini. Dia mengangguk tanda faham.
Ads
Esoknya, sebaik budak ini sampai, dia terus mencari aku.
“Cikgu! Saya datang,” ujarnya tersenyum bangga dengan diri sendiri.
Aku memuji sikapnya. Gosok-gosok kepala sikit lepas tu kami ‘Hi 5’ sedas. Makin seronok dia. Senyum lebar bukan main.
Semasa aku pegang bahunya, terasa basah lenjun baju dia. Jalan kaki lagi la tu.
Dan semalam pun sama. Sebaik sampai sekolah dia cari aku lagi untuk berbangga dia hadir dengan penuh semangat.
Kebetulan semalam aku mula agihkan kupon percuma untuk anak-anak yatim, anak-anak dari keluarga bercerai dan anak-anak dari keluarga miskin. 2 kupon terus aku hadiahkan secara percuma. Gembira dia tidak kepalang.
Terus dia berlari mendapatkan abangnya untuk berkongsi kupon. Aku tak benarkan dia kongsi, sebaliknya aku beri kupon lain pula buat si abang itu.
Berkali-kali ucapan terima kasih diucapkan. Seronoknya mereka bukan kepalang.
InsyaAllah ada masa nanti aku nak ziarah keluarga mereka. #DanaKITA akan cuba bantu mana yang boleh. Niatnya nak bantu repair kereta ayah, dan lihat apa keperluan lain yang boleh #DanaKITA bantu lagi.
Terima kasih buat sahabat-sahabat yang baik hati hadiahkan kupon untuk anak-anak ini menerusi #DanaKITA. Mereka berdua antara yang menerima manfaat dan penuh gembira mendapatnya.
Pernah tular Pelajar sekolah menengah, Ain Husniza Saiful Nizam selepas mendedahkan tindakan seorang guru membuat lawak berkenaan rogol, hari ini tampil berkongsikan berita gembira.
Biarpun ada yang mendoakan kegagalannya, namun siapa sangka remaja ini memperolehi Keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.
Dalam satu ciapan, Ain berkongsi bahawa meskipun diuji dengan pelbagai cabaran, dia tetap mampu memperolehi keputusan yang cemerlang bagi SPM 2021.
“Tak mampu saya ungkapkan betapa tertekan saya sewaktu SPM. Bukan sahaja ramai yang berkata ilmu saya tak berkat, malah ramai yang mendoakan saya gagal dalam pelajaran.”
Katanya, bahawa keputusan yang diperoleh itu juga adalah berkat daripada guru-guru yang ikhlas mengajarnya dan rakan-rakan lain di sekolah.
— ain #MakeSchoolASaferPlace (@ainhsaifulnizam) June 16, 2022
TRENDING DI TWITTER
Siapa sangka dengan keputusan SPM itu ramai yang mengucapkan tahniah kepadanya. Walaupun cabaran yang dihadapinya, pelajar itu nekad dan berjaya memperolehi keputusan cemerlang.
Bila isteri mengambil keputusan untuk berhenti kerja demi untuk menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, itu bukan bermakna seorang isteri itu mahu bersenang lenang di rumah. Tapi sewajarnya bagi seorang suami patut rasa bersyukur dan menghargai keputusan dan pengorbanan tersebut.
Ini kerana, menggalas tugas sebagai suri rumah sepenuh masa memberi makna seorang wanita itu perlu bekerja 24 jam tanpa cuti. Setiap waktunya ada sahaja pekerjaan baru yang harus dibuat dan semua itu tidak pernah ada penghujungnya.
Ini sebagaimana perkongsian daripada Ustaz Ebit Lew ini, ianya cukup jelas sebagai mana apa yang telah dilakukan oleh bidadarinya. Nyata, setiap coretan yang diluahkan begitu indah dan harus dijadikan inspirasi pasangan suami isteri di luar sana.
Suri rumah kerja mulia
Suri Rumah adalah pekerjaan terbaik dalam dunia. Dialah jurutera, arkitek, guru, doktor, motivator, jururawat……permaisuri, ratu, bidadari…pencinta paling ikhlas.
Dari hari pertama selepas pernikahan bersama bidadari tercinta. Beliau belajar tinggi-tinggi. Pernah bertanya saya masa mula-mula kahwin. Abang nak saya bekerja atau jadi suri rumah. Saya kata keduanya mulia disisi Allah sama ada suri rumah atau bekerja. Paling utama niat kerana Allah dan bawa Islam dan sunnah Nabi saw dalam kehidupan.
Kami sama-sama bekerja. Gaji saya kecil. Gaji isteri saya 3 kali ganda jauh tinggi dari gaji saya. Saya bawa isteri bersama-sama perbaiki diri. Sehinggalah satu hari isteri saya ingin berhenti kerja kerana katanya saya ingin menjadi orang yang hidupkan rumah dengan amal agama dan bimbing anak-anak. Anak-anak amanah Allah. Saya nak tunggu abang balik kerja setiap hari. Nak hantar dan sambut abang balik kerja. Sebab abang dan anak-anak syurga saya. Teringat sebak rasa…
Saya kata, abang sentiasa ingin yang terbaik dalam hidup kita. Sebenarnya saya simpan dalam hati. Itulah keinginan saya semenjak dulu lagi isteri suri rumah sepenuh masa. Tapi prinsip hidup saya ingin isteri saya buat kerana hatinya setelah dia belajar iman. Bukan kerana saya. Biarlah kerana Allah.
Saya sujud syukur. Itu hari saya menangis terlalu gembira dalam hidup saya. Anak baru seorang masa isteri saya buat keputusan untuk menjadi suri rumah sepenuh masa..seluruh hidupnya.
Suri rumah kerjanya sentiasa bermula tanpa penghujung
Saya lihat kerja suri rumah 24 jam tanpa henti. Tiada punch card. Tak tahu mana dipanggil mula. Dan mana dipanggil habis kerja. Kerja tak pernah habis. Sentiasa bermula. Dan tiada penghujung. Peluh dan lenguh tiada lagi. Kerja paling berat tak peduli diri sendiri sampai akhir hayat. Ya Allah.
Seorang diri mengadap 4 penjuru rumah. Pernafasan dan pemandangan terhad. Ditemani anak seorang. Merindui suami. Sambil kadang-kadang baca Al-Quran, solat, dengar radio dan membaca. Bila anak bertambah kerja semakin berat. Sampailah anak 4 orang. Bagaimana orang anak lagi ramai. Ya Allah..
Tak tahu masa bila dipanggil tidur. Masa bila buang air kecil dan buang air besar. Tak tahu masa bila berehat. Anak rehat. Mak curi-curi berehat. Anak jaga menangis. Mak berjaga. Tidur macam tak tidur.
Masak sedap-sedap tunggu suami balik. Sambut suami. Bercerita dan meluahkan cerita. Kerana rindukan suami. Tinggal sedikit kawan, keluarga, kehidupan. Yang tinggal hanya suami dan anak-anak. Dalam sedih atau merajuk terus mengurus suami dan anak-anak. Kesusahan dan kesedihan tanggung seorang diri. Itulah suri rumah.
Berbekalkan ilmu. Jika dulu malu bila orang tanya kerja apa sekarang. Sekarang dengan penuh gembira belajar tinggi-tinggi dan gunakan ilmu untuk suami dan anak-anak. Rela menjadi orang disebalik tabir. Air mata dan tangisan tapi Redha Allah dan cinta suami serta anak-anak buat semuanya berbaloi. Buat semuanya nikmat.
Semua orang paling kaya dan hebat akan kata paling yang diinginkan dalam hidup ini patah balik semula ke belakang dan mula memberi masa untuk keluarga. Beri masa buat pasangan tercinta. Beri masa buat ibubapa. Beri masa buat anak-anak. Tak sanggup kehilangan saat mereka membesar. Saat berdua-duaan dengan suami..
Dulu pernah saya balik rumah menangis kerana gaji seribu lebih sikit jer yang tinggal. Akhirnya itu pun hilang. Kerja dan projek dah takde. Hari raya tak keluar rumah. Tak berani keluar rumah. Kata bidadari suri rumah dalam hidupku, bersabarlah kerana kita ada Allah. Jangan sedih. Kan abang selalu kata Allah jaga orang yang jaga agama. Allah tidak akan sia-siakan mereka..
Hidup sempit dan susah. Isteri tak peduli tohmahan atau kata orang. Sentiasa kata cukuplah Allah buat diriku. Orang kata nanti jika tak bekerja suami senang tinggalkan kita. Atau suami meninggal macam mana? Maka jawab bidadariku, sepertimana dia aturkan pertemuan jodoh kami. Seperti dia beri nikmat anak-anak. Seperti dia beri segala nikmat hari ini. Seperti itu Allah akan terus buka jalan buat orang yang berusaha di jalan Allah dan berusaha jaga agama.
Wahai suri rumah seluruh dunia usahlah bersedih kerana kerjaMu kerja paling mulia. Saya kerja motivator, training consultant dan sedikit perniagaan. Tapi saya cuma dapat katakan segala nikmat ini Allah hadiahkan kerana doa ibu saya seorang suri rumah 24 jam sampai hari akhir kehidupan dunia dan saya amat merinduinya. Dan paling saya cintai bidadari hidupku yang berkorban menjadi suri rumah dengan izin Allah menguruskan diriku dan anak-anak. Sebenarnya uruskan semuanya dengan izin Allah. Saya mencemburui kemuliaan dan ganjaran yang Allah sediakan buat wanita ini…
Wahai ibuku semoga wajahmu sedang diusap dan disayangi. Izinkanlah diri ini cium dahi ibuku dalam syurga. Wahai isteriku abang nak jadi orang yang akan sentiasa usap air matamu dan bahu ini tempatmu bersandar. Jika abang pergi dulu, Allah hantar malaikat jaga dirimu. Syurgalah rumah yang kekal buat suri rumah yang ikhlas.
Buat wanita yang bekerja kamu teramat mulia kerana berjuang membangunkan Islam melalui pekerjaan dan membantu suami kerana tuntutan zaman dan keperluan hidup serta kerjaya yang fardhu kifayah mesti ada wanita di sana. Tugas mencari nafkah tugas lelaki tetapi ada kerja yang memerlukan kamu demi menghidupkan hukum Allah. Hanya Allah membalas pengorbananMu
Apapun kerja di dunia ini, selagi memberi rezeki yang halal dan berkat untuk keluarga pun dah mencukupi tanpa perlu memilih.
Baru-baru ini, tular satu video di mana sebuah keluarga sanggup menunggu ketua keluarga mereka yang merupakan pemandu lori treler di atas jejantas untuk berjumpa walaupun hanya seketika.
Paling menyayat hati dalam video tersebut apabila anak-anak berlari ke ayah mereka kemudian memeluknya, diikuti yang paling kecil sehingga si ayah perlu ke arahnya kemudian didukung bayi itu.
“rindu seorang pemandu lori pada anak isteri nya.. maafkan ayah nak, ayah jarang balik.. 🥲” tulisnya di ruangan kapsyen.
Memetik laporan harian Metro, berkongsi kisah itu, Muhammad Ghaffar Ilham berkata, video berkenaan dibuat untuk mengenang memori mereka ketika tinggal berasingan dua tahun lalu apabila dia hanya pulang ke rumah setiap dua minggu kerana tuntutan kerja.
Menurutnya, ketika itu keluarganya masih tinggal di Batu Pahat, manakala dia di Pasir Gudang dan memenuhi tempahan muatan di sekitar Johor Bahru sebelum membawa keluarga berpindah ke Kota Masai, di sini, sejak dua tahun lalu.
“Sekarang kami tinggal bersama, cuma masa bersama keluarga masih kurang kadang-kadang dua hari sekali baru balik, tetapi saya usaha untuk pulang ke rumah juga biarpun bila sampai anak sudah tidur,” katanya.
Justeru, katanya, video TikTok itu dibuat untuk kenangan dan mengamit memori zaman ‘berpisah’ berminggu-minggu sebelum ini supaya semua anaknya boleh melihat kembali memori itu apabila mereka besar.
“Kebetulan ketika itu isteri dan anak pulang ke kampung jadi kami curi masa berjumpa sekejap sebelum merakam video yang memang kisah sebenar keluarga kami sejak dulu.
“Saya terharu dan gembira baca komen di TikTok yang mendoakan keselamatan saya dan keluarga, malah ramai berkongsi pengalaman sama dalam pelbagai bidang kerja yang menuntut mereka tidak dapat pulang ke rumah selalu,” katanya.
Meninjau di ruangan komen, rata-rata sebak melihat video keluarga ini dan mendoakan yang bak-baik buat mereka. Malah, ada juga yang mendakwa disebalik pengorbanan suami mencari rezeki, ada isteri di belakangnya sama-sama berkorban menjaga anak-anak.
Seorang pemuda ditahan kerana disyaki mencabul seorang murid perempuan yang sedang bersolat Subuh dalam Masjid Jamek Sungai Masin dekat Batang Kali, awal pagi tadi.