“Kiosk Boleh Buat, Takkan Anak Tak Boleh.” Nadiyah Shahab Tak Putus Berharap, Tepis Anggapan Enggan Hamil!

Share

Memulakan langkah awal dalam bidang seni, Ben atau nama penuhnya, Nur Ali Nadzwan kini tidak lagi berlakon. Begitu juga Nadiyah Shahab, yang tampak selektif dalam mempertimbangkan tawaran lakonan.

Mendirikan rumah tangga pada 10 November 2018, pasangan sama cantik sama padan ini dilihat begitu aktif dalam dunia perniagaaan diusahakan mereka.

Selepas tiga tahun bekerja keras mengukuhkan jenama Absolut Chocolat termasuk memiliki kios fizikal pertama di Mid Valley, pasangan suami isteri ini terus diaju persoalan mengenai cahaya mata.

Begitu pun, baik Nadiyah mahupun Ben tak pernah putus berharap dan berusaha untuk dikurniakan anak sebagai pelengkap bahagia.“Siapa yang tak mahu anak?. Bayangkan dalam perniagaan kami usahakan pun, sudah ‘lahir’ kios fizikal pertama di Mid Valley Megamall. Mestilah kalau boleh dan diizinkan, kami nak baby juga.

“Malah ada teman berseloroh, kios fizikal boleh diadakan, takkan anak sendiri tidak boleh diusahakan.

“Jujur, ikutkan baik saya dan Ben memang nak anak. Kalau boleh sekarang pun memang nak jadikan ia kenyataan. Tapi kita hanya, merancang dan berusaha. Selebihnya, kuasa Tuhan,” kata pelakon drama Korban Kasih itu.

Pelakon jelita kelahiran Singapura yang menempa nama di Malaysia itu turut menepis cerita kononnya dia tidak mahu hamil.

Sebaliknya, Nadiyah atau nama penuhnya Sharifah Nadiyah Syed Fuad Al Shahab percaya tempoh waktu sekarang dilihat tepat untuk hamil.

“Tak ada istilah saya tak nak hamil. Semestinya kahwin itu sebagai isyarat untuk kita terus menambah zuriat dan keturunan.

“Cuma baik saya dan suami memang terlalu fokus bekerja. Masing masing mempunyai peranan penting dalam syarikat.

“Saya sendiri lebih kepada penjenamaan, penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan kerja sumber manusia. Suami saya pula terarah kepada kerja pemasaran, kewangan, pembangunan perniagaan serta operasi syarikat.

“Dalam hal berniaga ini, kami tidak boleh ambil mudah. Untuk mengukuhkan jenama Absolut Chocolat bukan perkara yang dibuat dalam masa singkat. Apatah lagi dalam keadaan dunia diuji dengan pandemik COVID-19,” katanya.Dalam pada itu, Nadiyah yang memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pengarah Eksekutif, Absolut Brands Sdn Bhd teruja kerana impian mempunyai kios pertama akhirnya menjadi kenyataan. Lebih manis lagi,  perniagaan diusahakan baru baru ini turut diiktiraf Superbrands International dan dianugerahkan Superbrands Malaysia’s choice 2020.

Sementara itu, Ben dalam perkongsiannya memuat naik kegembiraan kerana membawa ibu dan ayahnya melawat kiosk pertama mereka.

“Harini baru dapat bawak Ayah & Ibu tengok first kiosk Absolut Chocolat di MidValley 🥺. Nak bawak datang masa buka 2 bulan lepas tapi tak boleh rentas negeri.

“Sewaktu menetap di KL dulu. Ayah akan selalu bawa keluar pergi ke mall  sekali sebulan. Antaranya seperti, suria klcc, midvalley & one utama. Menjadi angan-angan untuk membuka outlet absolut di mall2 utama ini.

“Nasihat dan didikan dari segi perniagaan tak ada. Tapi selalu tengok ayah struggle untuk cuba buat macam-macam jenis business tapi tak berjaya. Sampaikan rasa nak mencabar diri bila dah besar nanti nak cuba buat business yang berjaya sebab nak bagi ayah dan ibu bangga.” kongsi ben lagi.