Betik, buahnya manis. Kebaikannya juga luar biasa. Jika tertelan biji betik, jangan risau sebab ia sebenarnya boleh dimakan. Kalau anda peminat makanan yang pahit mesti suka bijinya. Ada kebaikan utama betik yang ramai tidak tahu. Jangan tahu makan sahaja ya. Wajib tahu khasiatnya.
Betik antara buah-buahan yang memberikan banyak manfaat untuk kesihatan. Memang sedap dapat makan betik terutama bila dimakan ‘sejuk-sejuk.’ Betik atau dikenali sebagai “pawpaw” di beberapa negara lain, mengandungi beberapa jenis karotenoid yang banyak memberi manfaat kepada kesihatan.
Betik ada banyak jenis. Ada betik kampung. Kalau yang kacukan nama dia betik Exotica. Exotica lebih berisi. Rasanya lebih manis dan lebih berwarna terang.
Banyak manfaat buah betik dalam kehidupan harian kita. Berikut dikongsikan faktanya:
Pelembut daging
Dalam betik ada papain. Tugasnya pecahkan molekul protein yang kuat pada daging. Cara untuk lembutkan daging mudah sahaja. Selalu orang guna untuk lembutkan daging kerbau. Guna betik yang mengkal. Yang belum ranum. Potong dadu sekali dengan kulit. Kisar. Masukkan jus betik ke atas daging. Gaul hingga rata dan sebati. Perap selama 2-3 jam. Jangan lebih kalau tak isi daging jadi kering.
Anti Oksidan
Betik bersifat anti oksidan dan ada caretonoids. Jenis spesifiknya ialah lycopene. Anti oksida ini perangi radikal bebas dalam tubuh. Apabila kita ambil junk food dan bergula, berlakulah radikal bebas.
Bahaya radikal bebas ia boleh sebabkan Alzheimer’s. Lycopene inilah yang akan bantu neutralize radikal bebas. Pendapat ini dirakamkan di jurnal saintifik Clinical Intervention in Aging.
Anti Kanser
Bab ini memang power. Siapa sangka betik yang mudah tumbuh dan murah adalah anti kanser terutamanya breast cancer. Kajian tentang hal ini dibincangkan di jurnal saintifik International Journal of Food Sciences and Nutrition. Bahan utama yang menjayakan ‘watak’ anti kanser ini tidak lain adalah lycopene.
Sihatkan Jantung
Adakah anda tahu tahap kesihatan jantung? Kajian di The American Journal Medicine dapati vitamin C dan Lycopene dalam betik menghalang penyakit jantung. Bukan sahaja bagus untuk jantung, ia juga jaga prostat untuk lelaki dan halang tumor.
Anti Inflamasi
Satu perkara menarik tentang betik ialah ia bersifat anti inflamasi atau anti radang. Ia menurunkan jumlah C-Reactive Protein atau CRP – punca kepada inflamasi. Sekiranya anda cuba turunkan berat badan tetapi gagal, kemungkinan puncanya ialah CRP.
Antara kerja jahat CRP ialah ia baluti hormon kenyang Leptin sehingga otak tidak dapat kenalpasti hormon ini. Akhirnya anda akan terus makan sebab otak fikir anda belum kenyang. Puncanya otak tidak dapat kenal hormon leptin. Akibatnya, tanpa disedari anda dengan bangganya terus melahap makanan.
Halang Kerosakan Kulit
Bab ini penting untuk diambil tahu. Betik kaya vitamin A, C dan E. Tiga ini sekali dengan lycopene dalam betik menjaga kulit daripada berkedut, gelebeh, dan berbintik bintik. Ringkasnya keduanya adalah sistem sekuriti menjaga kulit dari dirosakkan.
Turunkan Kolesterol
Anti oksidan, fiber sekali dengan potassium membantu memastikan arteri tidak tersumbat. Ia juga membantu melancarkan aliran darah.
Redakan ‘Menstrual Pain’
Betik ini bukan buah sahaja yang berkhasiat, esktrak daun betik juga dilaporkan mampu kurangkan menstrual pain. Kaum wanita boleh amalkan ya!
*Kajian dalam International Journal of Scientific and Research Publications tahun 2020.
Sumber kredit: Dr Rizal Abu Bakar
Kredit top image: Freepik