Zaman era moden sekarang ramai di kalangan suri rumah sudah mula celik kewangan dan ambil tahu tentang kewangan keluarga. Malah ada juga para isteri yang berkerjaya demi membantu sang suami untuk menambah pendapatan.
Namun bagi sesetengah para isteri yang hanya menjadi suri rumah dan tiada ilmu kewangan ini terkesan bila mereka tidak tahu cara kawal kewangan dengan baik.
Perlu Ambil Tahu
Pertama sekali, berbincang dengan suami tentang kewangan keluarga. Ambil tahu apa komitmen yang perlu dibayar, pendapatan suami, belanja barang dapur dan tak lupa sekali simpanan untuk keluarga. Bila kita ambil tahu maka kita boleh atur kewangan itu bersama. Maka dapat lah mengurangkan perbelanjaan tidak penting bagi elakkan kewangan suami jadi tenat lagi-lagi bila masuk hujung bulan.
Sifat ambil tahu ini sangat penting apabila para isteri ini sedikit sebanyak boleh membantu sang suami meningkat kan pendapatan keluarga dengan mengasuh anak-anak jiran, melakukan bisnes kecil-kecilan menjual kuih, menjahit dan boleh juga menjadi dropship atau ejen jualan.
Selain itu, rekod segala perbelanjaan duit keluar dan masuk tiap-tiap bulan agar dapat pantau kewangan dan simpanan keluarga dengan baik. Boleh kumpul resit-resit perbelanjaan dan rekod dalam buku kewangan keluarga. Bila isteri ambil tahu dan boleh berbincang bersama suami ianya akan meringankan beban suami yang penat bekerja mencari rezeki.
Bila Kewangan Stabil
Apabila kewangan keluarga teratur dari sini boleh mula merancang sama ada ingin menambah ahli keluarga baru, melancong ke dalam atau luar negara, simpanan untuk pembelajaran anak-anak, simpanan kecemasan, perlindungan takaful hayat dan kad perubatan serta hibah takaful untuk keluarga.
Kewangan yang kukuh memudahkan kita mengatur dan mengasingkan simpanan ke banyak tempat dengan pelbagai tujuan. Sebagai contoh langkah pertama mendaftar haji dengan tabung haji sebanyak RM1300 dan mula menabung, menabung untuk pembelajaran anak-anak di akaun sspn, atau mula menyimpan dalam simpanan asb serta pembiayaan asb.
Simpanan begini boleh jadi menyeronokkan bila kita tahu matlamat simpanan kita atas tujuan apa.
Pendapat peribadi saya, bahawa orang yang tidak punya hala tuju dalam simpanan tergolong dalam golongan orang yang kerugian masa kerana kurangnya perancangan dari segi simpanan dan tidak melakukan apa-apa perubahan dalam hidup berkeluarga. Sesungguhnya masa yang kita bazirkan tanpa melakukan simpanan sejak sebelum perkahwinan dan awal perkahwinan itu akan mula rasa penyesalan. Kekangan masa dan umur kita kian meningkat menjadi faktor kita tak larat nak kerja lebih masa selalu untuk tambah pendapatan keluarga.
Tambahan pula, kos sara hidup kian meningkat kini menjurus kita untuk lebih berjimat. Kita boleh mulakan dengan membawa bekal makan dan minum ke tempat kerja dengan masakan yang kita masak sendiri.
Dari sini kita sebenarnya boleh kawal dari segi kebersihan makanan, selawat ke atas nabi ketika memasak, menggunakan bahan-bahan yang segar dan paling tak lupa air tangan isteri atau mak kita yang memasak itu lebih afdal. Kalau bekerja di bandar kos makan sahaja pun dah cukup tinggi, apabila kita dapat berjimat dari segi duit belanja makan ini maka kita dapat fokus simpanan kita. Sekali sekala reward diri dan keluarga makan di tempat yang menarik pula selepas itu.
Pelbagai Cara Jana Duit
Bila kita berjimat cermat kita mula rasa aktiviti bersama keluarga jadi terhad. Sebenarnya tidak, ada pelbagai cara antaranya dengan mencipta hobi baru yang boleh menjana duit masuk. Antaranya kalau kita ini jenis yang suka bercakap dan peramah boleh cuba untuk menjadi ejen jualan dengan menjual produk-produk kesihatan, kecantikan atau produk kewangan. Selain pandai beramah mesra secara tak langsung orang suka dengan cara kita dan akan membelinya. Ini sekadar contoh dan anda ada banyak cara boleh cipta hobi yang menjana duit masuk. Kepakaran kita dalam memasak atau kepakaran membaiki rumah atau kereta juga boleh membantu kewangan keluarga.
Apabila kewangan keluarga berada di tahap yang baik dan suami isteri sama-sama berusaha untuk membantu satu sama lain baru lah dikatakan susah dan senang bersama. Dari sini kita mula mencapai impian atau hobi masing-masing sebagai contoh sang suami suka dengan motor berkuasa tinggi atau pergi melancong luar negara manakala isteri pula suka membeli belah untuk menjaga penampilan diri maka boleh lah membelinya tanpa ragu lagi.
Bila kewangan yang baik ini juga memudahkan suami isteri mengumpul aset dengan membeli beberapa buah rumah dan menjana duit dari sini pula. Jadi kawal kewangan dengan baik dan seimbangkan dengan hutang yang dicipta berserta dengan aset yang kita kumpul. Aset yang dikumpul ini bukan saja boleh jadi sebagai simpanan kita malah ia juga dapat di wariskan kepada keluarga bila kita sudah tiada.
Seronok sebenarnya bila isteri turut memahami kewangan suami dan dapat membantu sama. Bila niat kita baik untuk kesenangan bersama dan mengurangkan beban yang ditanggung insyaAllah di mudahkan urusan kita selalu, Amin. Sekurang-kurangnya bila isteri tahu berurusan dengan pihak bank dan komitmen yang ditanggung suami, ianya menjadikan isteri boleh berdikari ketika suami bekerja di tempat yang jauh dan bersiap sedia selalu.
Urus Harta
Tidak dilupakan juga harta yang kita cari menjadi tanggungjawab kita untuk menguruskannya dengan baik iaitu melakukan hibah dan wasiat semasa kita hidup. Kita hendaklah sentiasa mengemas kini wasiat kita, dokumen penting diletakkan di tempat yang selamat, memberitahu keluarga apa yang kita ada agar ianya memudahkan urusan untuk menuntut dan menguruskan harta kita bila kita sudah tiada.
Bagi mereka yang masih belum ada perlindungan maka persiapkan diri dan keluarga sebagai persediaan apabila musibah menimpa. Kita tidak tahu bila kita akan sakit tetapi kita sudah persiapkannya ketika kita masih sihat. Ambil tahu apa yang kita ambil perlindungan apa kerana sifat sambil lewa dan sekadar ambil sahaja tetapi tidak tahu apa akhirnya menyesal.
Kewangan yang di atur bukan menjadikan kita seorang yang kedekut tetapi kewangan yang diatur dengan baik menjadikan hidup kita lebih tenang dan tidak mengalami masalah kewangan yang serius. Perancangan yang baik begini sangat perlu dititik beratkan agar hidup kita juga dapat membantu orang lain kemudian hari dengan perbanyakan sedekah dan wakaf kepada golongan yang memerlukan.
sumber : Siti Nursyafieqah Abu Bakar atau dikenali dengan nama Syafieqah a’lya di laman sosial.