Siapa sangka lukisan pada arca Putrajaya yang diletakkan di Dataran Putra selebar 1.5 meter dan tinggi 2.4 meter itu dilukis seorang remaja autisme berusia 17 tahun, Wan Jamila Wan Shaiful Bahri.
Lebih membanggakan, pemilihan lukisan itu dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Lukisan berkenaan dipilih untuk diletakkan pada arca sempena sambutan Hari Kebangsaan 2019 yang akan berlangsung di Dataran Putrajaya, Sabtu ini.
Jika dilihat secara dekat, lukisan yang memaparkan konsep struktur bangunan dan jambatan yang terkenal di Malaysia itu sebenarnya turut dihiasi dengan doodle wanita dari pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban serta Jalur Gemilang.
Ibu remaja berkenaan, Noorhashimah Mohamed Noordin, 58, berkata Perbadanan Putrajaya (PPj) ada berjumpa dengan dirinya dan berminat untuk meletakkan lukisan anaknya pada arca.
Katanya, sudah tentu berita berkenaan memberi kegembiraan kepada dirinya sebagai ibu, malah turut berbangga dengan bakat dimiliki Wan Jamila.
“Memang setiap kali tiba bulan kemerdekaan, saya akan meminta dia untuk melukis apa sahaja yang bertemakan kemerdekaan. Daripada pemilihan warna hinggalah corak, semuanya dibuat olehnya tanpa bantuan sesiapa.
“Untuk lukisan pada arca berkenaan, dia berjaya siapkan dalam tempoh sebulan setengah. Dia banyak habiskan masa dalam galeri miliknya dari pagi hingga malam untuk melukis,” katanya pada pertemuan dengan Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim.
Bercerita lanjut mengenai anak keempatnya itu, Noorhashimah berkata, kemahiran melukis Wan Jamila dikesan sejak berusia empat tahun.
“Ketika kecil, dia suka meluahkan perasaannya melalui lukisan. Dia boleh melukis secara terperinci sesuatu kejadian itu walaupun hanya melihat sekali imbas,” katanya.
Anak keempat daripada lima beradik itu mengambil masa sebulan setengah untuk menyiapkan lukisan sebesar 152cm x 274.5cm sebelum dicetak semula untuk arca Putrajaya.
“Dia selalunya melukis dari pagi sampai malam, kadang-kadang lapan hingga 10 jam. Tetapi bergantung juga kalau dia ada acara (di luar) dia terpaksa berhenti (melukis),” katanya.
Wan Jamila mendapat pendidikan awal di sekolah rendah biasa sebelum diteruskan dengan pendidikan di rumah (homeschooling) dan terapi.
“Oleh kerana sejarah adalah subjek wajib, saya tidak rasa dia boleh membuat penilaian kritikal (critical view). Kalau matematik dan sains dia boleh buat, tetapi yang melibatkan susunan ayat dia tak boleh,” katanya.
Noorhashimah yang merupakan seorang bekas arkitek berkata beliau kini menguruskan galeri seni ‘artjamila’ yang terletak Seksyen 7, Shah Alam yang telah dibuka sejak anak istimewa itu berusia 14 tahun.
Menurut Noorhashimah, Wan Jamila pernah memenangi beberapa anugerah antaranya Autism Star Artist pada National Autism Champion 2019 dan tempat ketiga di National Abilympics Painting Competition 2018.
“Dia juga dipilih sebagai impact art artist oleh sebuah organisasi berpengkalan di Switzerland kerana bagi mereka karya dia karya dia memberi impak.
“Salah satu kepakaran di melukis ikan, jadi organisasi itu berminat dengan lukisan tersebut dan minta dia melukis mengenai pencemaran laut dan mereka membeli lapan keping lukisan dengan tema itu,” jelasnya lagi.
Sumber : Harian Metro & artjamila