Ketahui Cara Komunikasi Agar Suami Makin Sayang

Share

Sebagai isteri sudah pasti kita mahu suami sentiasa sayang kita kan? Namun, kadang-kadang bicara kita menyebabkan suami tersentuh kalbu, kadang-kadang merajuk dan paling takut mereka mengamuk. Apabila suami macam ni, makan hari juga kan nak memujuk, betul tak?

1. Katakan “Tidak”
Katakan “tidak” pada cacian dan makian. Apabila anda ataupun suami anda menggunakan perkataan yang tidak baik atau kasar, maka perlu saling menegur dan memberi nasihat. Perhatikan bagaimana segelintir pasangan begitu mudah memanggil pasangan mereka dengan bahasa yang kasar, memaki dan sebagainya. Perkara ini akan membawa kepada pergaduhan dan dendam. Setiap hari praktikkan penggunaan bahasa yang lebih baik serta berakhlak.

2. Benar itu Pahit, Ia Penawar Mujarab
Berkata benar itu memang pahit, tetapi itulah perkara yang betul. Pernah tak anda terfikir bagaimana nak tegur suami anda yang tidak menunaikan solat? Apabila ditegur pasti mendapat reaksi yang negatif. Jangan risau, apa tip untuk berkata benar. Tipnya ialah berkata benar dengan hikmah. Bukan kita kritik atau komen yang menyinggung perasaan. Ramai yang menegur secara kasar dan menjatuhkan air muka pasangan. Seperti masalah tidak tunaikan solat, kita boleh mula dengan diri kita sendiri dahulu, tunjukkan kepada pasangan kita yang kita sedang menunaikan solat, sediakan sekali sejadah di tepi tempat kita tunaikan solat.

3. Mengalah Bukan Kalah
Pertelingkahan berlaku apabila tiada yang mahu mengalah. Bagi mengelakkan pertelingkahan atau perang mulut, kita perlu mengalah. Percayalah, mengalah bukan bererti kalah. Sebenarnya, kalah dapat menjernihkan suasana yang kusut dan mendamaikan perasaan yang sedang berceramuk. Sekiranya suami anda meninggikan suara, anda perlu menggunakan kelembutan supaya ia tidak berpanjangan.

4. Setuju untuk Tidak Bersetuju
Rumah tangga yang harmoni adalah rumah tangga yang kerap mengadakan diskusi atau perbincangan dua hala antara pasangan. Dalam perbincangan pasti ada yang tidak bersetuju, maka setuju untuk tidak bersetuju itu perkara biasa. Komunikasi berkesan antara pasangan bukan semata-mata memberi persetujuan atau mengikut dengan membuta tuli kehendak pasangan sehingga menyalahi syariat. Oleh itu, menyatakan tidak setuju itu boleh dengan syarat bukan perkara yang sudah diputuskan agama dan tidak menyalahi syariat.

5. Jadilah Pendengar yang Baik
Mendengar dengan baik juga adalah salah satu daripada cara yang berkesan dalam komunikasi rumah tangga. Mendengar ini sebenarnya adalah satu teknik bagi menunjukkan keprihatinan. Mendengar masalah pasangan pasti menambahkan erat perhubungan. Kita sering meremehkan hal ini kan, malas nak dengar suami bercerita sebab kita yang laju bercerita?

6. Diam Tanda Reda
Diam itu baik, ia perlu kena pada tempatnya. Dalam satu keadaan, diam juga menandakan persetujuan. Diam juga tanda reda, tetapi ada kalanya perbuatan ini diambil kesempatan oleh orang lain. Kita diam kerana tidak mahu sesuatu perkara menjadi lebih teruk. Sekiranya kita melihat suami kita melakukan hal tidak baik, maka berilah nasihat yang baik bukan diam ataupun memberi leteran kepadanya.