Kesian Tengok Penat Uruskan Anak Suami Sanggup Tak Kejutkan Isteri Masak, Makan Simple Je Alas Perut.

Share

Apabila bergelar suami isteri dalam sebuah rumahtangga, kehidupan pastinya adalah sikap saling melengkapi dan bertolak ansur.

Tiada istilah pentingkan diri untuk bahagia seorang diri kerana susah senang harus bersama dengan pasangan. Itulah antara pelengkap dalam membina sebuah keluarga bahagia.

Begitu juga apabila sudah mempunyai anak-anak. Tugas sama-sama dipikul untuk menguruskan anak bukannya letak beban di bahu isteri dengan alasan bergelar wanita atau surirumahtangga.

Begitulah yang dipaparkan oleh saudara Akhtar Syamir mengenai sikapnya yang terhadap isteri. Baginya seorang suami harus tahu menghargai isteri yang menguruskan rumahtangga dengan baik termasuk menjaga anak. Salah satu caranya adalah tidak mengejutkan isterinya bangun awal semata untuk memasak hidangan sarapan buatnya, asalkan cara itu mampu membahagiakan isterinya. Malah sanggup makan simple je sekadar alas perut.

Ikuti perkongsian ini.

Epal sahaja untuk sarapan. Bukan sebab saya tengah diet. Bukan juga sebab hari ini hari ke 59 dari 90 hari dalam Magika90DaysChallenge⁠⁠ oleh Magika HQ, tapi sebab saya tak nak kejutkan isteri saya.

Dah beberapa hari isteri saya bangun jam 4 pagi untuk sediakan makanan bekal saya ke tempat kerja. Saya masuk kerja jam 6 pagi. Jadi dalam jam 5 saya dah bertolak ke ofis.

Jadi, dia terpaksa bangun awal pagi untuk buatkan sarapan dan makan tengahari. Tapi tidak hari ini. Saya tak nak dia bangun awal pagi. Biar dia bangun nanti masa nak Subuh je lepas saya pergi kerja.

Saya perhatikan, selalunya waktu malam, dia lambat dapat tidur. Selepas kami berPillow Talk, saya akan terus tidur. Tapi tidur dia selalu terganggu oleh tangisan Daisy. Nak susu la, pampers penuh la. Bila saya sedar memang saya pun akan bantu. Tapi dia jarang sangat kejutkan saya.

Malam tadi Daisy merengek je. Kembung perut rasanya. Lepas letak ubat sapu, nak kena sentiasa tepuk. Kalau tidak, dia gelisah dan menangis.

ISTERI TAK TIDUR LENA

Secara normalnya kita akan rasa aman bila anak berhenti menangis. Tapi kalau kita perhatikan, sebenarnya tangan si isteri ni sentiasa menepuk anak. Ini bermakna, dia tak dapat tidur dengan betul. Kita yang di sebelah dah lena lama.

Jadi bila ada masa dia tersedar tu saya bisik ditelinganya supaya pagi nanti jangan bangun. Biar saya buat sendiri bekal.

Saya tak set jam untuk bangun lebih awal pun. Saja saya nak makan sikit sahaja hari ini dan makan lebih lewat petang nanti.

Bangun sahaja dari tidur, saya offkan alarm telefon dia. Perlahan-lahan saya masuk dalam bilik air dan mandi. Lampu bilik pun saya tak buka. Saya tak nak diorang berdua bangun.

Dah siap, saya tutup langsir dengan sempurna supaya nanti bila dia lena lepas Subuh tu cahaya matahari tak terus masuk. Dapat dia bangun lambat sikit.

Sebelum keluar, saya buatkan susu Daisy. Bagi panas sikit supaya tahan lebih lama dan letak berdekatan dengan dia. Perlahan-lahan saya usap rambutnya dan bagitahu yang saya nak pergi kerja dah.

Tersenyum manis dia ucapkan terima kasih dan minta saya jaga diri dan jumpa petang nanti. Saya tunjuk susu Daisy di mana dan tinggalkan mereka berselimut dalam bilik yang sejuk. Sebelum itu saya caskan telefon dia dulu. Mudah nanti bila bangun, bateri pun dah penuh.

Saya paling suka tinggalkan rumah waktu pagi semasa keadaan senyap sunyi. Saya tahu anak dan isteri sedang nyenyak tidur. Syukur kerana saya masih lagi mampu bekerja dan mencari rezeki untuk mereka.

Biarlah isteri tidur dengan lena. Jangan kejutkan jika tiada perkara yang betul-betul penting. Kerana pada waktu jaganya, banyak benda yang dia lakukan. Tambahan pula dengan kesukaran mendapat tidur yang sempurna.

Sekadar perkongsian dari hati. Semoga bermanfaat.

Sumber: Akhtar Syamir