Lama pasangan ini menantikan zuriat, namun rezeki masih belum menyebelahi apabila dia sekali lagi mengalami keguguran kali kedua pada Selasa lalu.
Menerusi perkongsian di InstaStory, Nabila Huda meluahkan rasa hiba selepas anak yang selama ini dinantikan sekali lagi tidak dapat diselamatkan.
Dedah Nabila, dia mengalami pendarahan sebelum disahkan keguguran.
“Sejujurnya, saya nak sangat ada anak. Terlalu nak sangat. Keinginan untuk ada anak tu nak sangat.
“Apabila doktor sahkan saya hamil, saya sangat teruja tapi pada masa sama paranoid. Saya risau tiba-tiba ‘dia’ tiada atau ‘dia’ jatuh atau ‘dia’ tak ada kat dalam tu (rahim),” katanya sambil menitiskan air mata.
“Tapi saya percaya, tak ada rezeki lagi. Saya cuma kasihan pada suami saya. Lama dia tunggu. Kenapa susah sangat? Bila kita nak sangat, teringin sangat….
“Jangan bimbang, saya ada di rumah. Semalam seharian fikir… Sakit rasanya…,” ujarnya lagi dengan nada sebak.
Menerusi perkahwinan pertama, Nabila dikurniakan seorang anak perempuan, Keisha Laila yang berusia 10 tahun.
Sumber: Nabila Huda