Bagaimana anak-anak hendak hormat guru kalau mak ayah sendiri pun tidak tunjukkan contoh yang baik? Persoalan ini bukan untuk dituding pada sesiapa, tetapi renungkanlah di dalam diri kita sendiri. Sejauh mana kita sebagai ibu bapa masa kini menghormati guru-guru yang mengajar anak-anak kita di sekolah.
Cuba pula kita bandingkan dengan apa yang dilakukan oleh orang-orang terdahulu dalam memertabatkan guru yang mendidik anak bangsa. Tepuk dada tanya selera!
Apatah lagi dengan tular kes baru-baru ini bila seorang ibu dipercayai ke sekolah anaknya dan memaksa ustazah merangkak dan merakam video ustazah itu merangkak kemudian menularkan dengan niat memalukan.
Ini sebagai mana memetik laporan di Harian Metro, kisah itu mendapat perhatian warganet selepas rakaman video berdurasi dua minit 17 saat tular di laman sosial.
Rakaman itu dimuat naik seorang pengguna Facebook bernama Asmadi As-Ad Dimasyiqi bersama kapsyen ringkas yang menunjukkan rasa kesalnya atas apa yang berlaku.
“Cukup kurang ajar, sebagai parent (ibu bapa) awak telah menghancurkan hati semua guru di seluruh dunia. Haramkan setitik doa dan ilmu untuk anakmu.
“Mana Jabatan Pendidikan Malaysia, sila ambil tindakan buat insan ini. Kalau awak sendiri rasa tersangat hebat sila ambil masa seminggu handle (uruskan) sahaja untuk uruskan kelas, uruskan kerenah anak-anak murid,” katanya.
Menerusi rakaman berkenaan, kedengaran suara seorang wanita dipercayai ibu murid menerjah masuk ke dalam kelas untuk bertemu dengan ustazah terbabit.
Tanpa diketahui sebabnya, ustazah berkenaan tidak menunggu lama sebaliknya terus mengajak beberapa anak muridnya yang lain untuk mengikutnya merangkak. Kejadian itu disaksikan murid dan seorang lagi ustazah dalam kelas berkenaan.
Bagaimanapun, tindakan itu dipersoalkan wanita berkenaan yang seolah-olah tidak berpuas hati kerana ustazah terbabit mengajak beberapa murid lain merangkak sama.
sumber : Harian Metro
Berikutan kejadian itu, akhirnya ibu tersebut membuat permohonan maaf dengan berjumpa ustazah tersebut dan ini sekali gus kes tersebut telah berakhir. Ini sebagaimana yang dikongsikan di Facebook rasmi Bagan Datuk Kini.
“Kes video viral ‘ustazah merangkak’ yang berlaku di Madrasah Ad-Diniah Islamiah, Bagan Datuk kini berakhir dengan perjumpaan ibu murid dan ustazah sekolah tersebut.
“Permohonan maaf telah dibuat dan mohon video kejadian tersebut tidak diviralkan bagi kebaikan kedua belah pihak.
“Semoga kejadian ini menjadi pengajaran, pedoman serta tauladan kepada pihak ibu bapa murid dan sekolah. Harap maklum,” tulis pengendali akaun Facebook terbabit.