Kes Keracunan Makanan Meningkat Bulan Ramadan, Menteri Kesihatan Pesan 5 Perkara Ini

Share

Kes keracunan makanan meningkat pada bulan Ramadan. Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berpesan kepada rakyat Malaysia khususnya umat Islam sentiasa berhati-hati ketika membeli atau menyediakan juadah berbuka puasa bagi mengelakkan sebarang masalah keracunan makanan.

Beliau faham situasi sambutan Ramadan tahun ini lebih meriah berbanding dua tahun lepas kerana kita sudah boleh berkunjung ke bazar Ramadan bagi membeli juadah berbuka puasa. Bagaimanapun Khairy mengingatkan agar semua masyarakat perlu berhati-hati membeli juadah berbuka puasa.

Menurut beliau, jika mengikut trend keracunan makanan yang berlaku di Malaysia, biasanya terdapat peningkatan kes keracunan makanan ketika bulan Ramadan.

Foto: Sinar Harian

Berita tentang dua orang kanak-kanak yang disyaki keracunan makanan selepas berbuka puasa dengan makanan yang telah dibeli di bazar Ramadan pada minggu lepas antara kes keracunan makanan yang dilaporkan. Itu belum lagi kes-kes keracunan makanan yang tidak dilaporkan.

Kes keracunan makanan meningkat

“Kes keracunan makanan tidak boleh diambil mudah sebab ia boleh menyebabkan pelbagai komplikasi kesihatan bahkan lebih serius boleh menyebabkan kes kematian,” demikian tegas Khairy mengingatkan.

Justeru untuk langkah berjaga-jaga, Khairy mengingatkan agar semua masyarakat mengamalkan lima amalan penting bagi memastikan makanan bersih dan selamat.

  1. Jaga kebersihan diri, basuh tangan sebelum dan selepas menyediakan makanan dan sebelum makan.
  2. Guna peralatan berasingan untuk makanan mentah bagi elakkan pencemaran pada makanan yang telah dimasak.
  3. Masak makanan dengan sempurna dan pastikan dimakan dalam tempoh tak lebih dari empat jam lepas dimasak.
  4. Bagi makanan ready to eat, simpan pada suhu yang sesuai dan simpan tak lebih tiga hari dalam peti sejuk.
  5. Guna bahan mentah yang segar dan air yang bersih untuk memasak.

Sebelum makan sentiasa amalkan konsep lihat, hidu dan rasa. Kalau nampak tak okay, bau rasa dan pelik jadi janganlah makan. Pastikan selamat dan bersih sebelum makan.

Keluarga Gader adalah komuniti yang menghimpunkan semua ibu bapa & diwujudkan sebagai menyokong perjalanan mereka membesarkan anak di era milenium dan akan berkongsi info, artikel dan pelbagai promo aktiviti yang dianjurkan oleh keluarga. Join  Telegram Keluarga Gader Club (https://t.me/keluargagaderclub)