“Kerja Sendiri Lebih Mudah, Nak Pergi Mana Boleh Angkut Anak Sekali. Yang Penting Hati Cekal, Jiwa Kental”. Rahsia kejayaan Pengasas Produk DYXY.

Share

Orang nampak yang indah-indah dan memuji dek kehebatan mereka menerajui bisnes hingga berjaya seperti sekarang. Namun, di sebaliknya hanya Dyana Roslan, 32 dan suami Shah Hafiz Borhanuddin, 32 yang tahu pahit maung dan keperitan untuk mencipta nama sekali gus memperkenal label DYXY di mata pengguna. Yang penting hati kena cekal, jiwa kental dan usaha gigih tanpa ada istilah putus asa.

“Sebelum ini sudah banyak bisnes yang saya ceburi namun tidak berhasil. Jatuh bangun itu ibarat perkara biasa.  Merata tempat termasuklah pasar malam, pasar tani dan sebagainya yang saya pergi semata-mata untuk menjual barang.

“Daripada barang biasa hinggalah kepada bisnes import eksport, namun masih tidak ada rezeki. Sehinggalah suatu hari saya mengikut isteri (Dyana) turun padang berniaga di tapak perniagaan.  Saya cuba-cuba menjual produk kepada orang yang singgah di booth memandangkan isteri sibuk mengadakan demo mekap.

“Tidak sangka ramai yang tertarik dan faham penerangan yang saya berikan. Jadi, daripada situ saya terfikir apa salahnya kalau keluarkan produk jenama sendiri. Waktu keluarkan produk DYXY, kami baru dikurniakan dua orang cahaya mata. Walaupun terpaksa mengusung mereka ke sana ke mari, namun demi kehidupan yang lebih baik dan masa depan anak-anak kami nekad.

“Alhamdulillah, Tuhan membantu dan sedikit demi sedikit orang mula kenal dan jatuh hati dengan jenama DYXY. Waktu itu, kami hanya bermula dengan satu BC Cream sahaja, tetapi kini kami sudah punya beberapa produk termasuklah DYXY Green Tea Mineral Face Mist, DYXY Face Brush, Curve Fibre Mascara dan DYXY Matte Lipstick,”ujar Shah Hafiz mengakui pernah jatuh terduduk dalam bisnes dan diistiharkan muflis hingga segala kebebasannya tersekat untuk bergerak ke mana-mana.

Kahwin dalam usia muda

Syukur, dia punya isteri yang cukup setia, prihatin dan tidak putus asa. Biarpun berkahwin dalam usia yang masih muda, 21 tahun dan masih mentah, namun pasangan ini sangat cekal dan tabah mengharungi segala dugaan.

“Kami kenal di usia 18 tahun dan keputusan untuk berkahwin mendapat restu daripada keluarga. Cuma, rezeki untuk dikurniakan anak sedikit lambat. Selepas 4 tahun baru kami bergelar ibu dan ayah.  Mungkin Dia mahu melihat kami mencipta kejayaan dalam dunia bisnes terlebih dahulu.

“Alhamdulillah, selepas kelahiran anak pertama dan kedua, rezeki mencurah-curah. Walaupun anak masih kecil namun kami gigih berniaga dan jenama DYXY muncul tatkala bidang kosmetik berkembang maju.

“Tidak dinafikan, kami perlu berhadapan dengan pesaing yang hebat-hebat namun saya dan Shah percaya, rezeki masing-masing. Alhamdullilah sejak ditubuhkan pada penghujung 2016, penerimaan masyarakat pada setiap produk keluaran DYXY cukup menggalakkan.

Usahawan zero kepada hero

Jujur mengakui kejayaan yang mereka kecapi bukan semata-mata usaha berdua sahaja, sebaliknya ada team yang turut membantu dan menyokong kuat dari belakang.

“Sokongan dan doa famili juga Antara pencetus kejayaan.  Disebabkan itulah sudah pernah melalui jatuh bangun dalam dunia bisnes, kami terfikir apa salahnya jika membantu usahawan lain yang berminat dalam bidang ini tetapi tiada pengalaman dan modal. Setakat ini, hampir 50 hingga 60 orang usahawan yang berjaya  telah dilahirkan dalam masa kurang  dari setahun.

“Kami juga sentiasa membuka peluang dan memberi hak kepada setiap orang yang begitu obses dengan bidang ini untuk bergelar usahawan yang berjaya.

Oleh itu, saya dan suami memilih untuk membuka Akademi DYXY  sebagai salah satu strategi untuk membina jaringan agar produk lebih pantas dikenali di seluruh negara seterusnya ke luar negara. Akademi ini juga bertanggungjawab melahirkan usahawan yang zero kepada hero,” ujar Dyana sambil memberitahu, produk Dyxy mengaplikasikan teknologi hebat daripada Korea.

Sukakan  kecantikan

Berganding bahu berdua dalam menaikkan nama produk Dyxy, akui Dyana baik dia mahupun suami mempunyai tanggung jawab masing-masing. Suaminya merancang dan menguruskan tentang strategi pemasaran dan sebagainya, manakala Dyana pula lebih kepada hal-hal berkaitan produk.

“Kelebihan memiliki kemahiran dalam bidang kecantikan satu bonus buat saya. Sementelah saya sendiri memang sangat sukakan kecantikan. Jadi, ini membolehkan saya memahami selok belok dalam bidang ini.

“Pada saya bekerja dengan ahli keluarga sendiri lebih mudah. Mungkin ada yang beranggapan suami isteri tidak boleh bekerjasama nanti akan bermasam nmuka. Tetapi kami sebaliknya. Bukan sahaja saling bertukar pendapat, malah kami akan mengingatkan satu sama lain andai ada hal yang terlepas pandang.

“Selain itu, memudahkan kami untuk berurusan dengan orang luar. Tidaklah perlu tinggalkan anak atau suami di rumah. Sebaliknya ke mana saja kaki melangkah, kami bersama-sama satu keluarga. Ini juga membolehkan hubungan kekeluargaan lebih erat dan rapat,”ungkap Dyana sambil memberitahu Shah yang memilih DYXY, simbolik nama Dyana sendiri iaitu DY, manakala XY adalah jenama kegemaran Dyana sejak zaman remaja lagi.

Sehingga kini, produk DYXY bukan sekadar ‘meletup’ di pasaran Malaysia, bahkan juga di Singapura dan Brunei. Terbaru, produk DYXY mula memasuki pasaran di Indonesia. Justeru, pasangan sama cantik sama padan ini gigih merencanakan pelbagai strategi selain turut menggunakan pendekatan yang sama untuk memastikan produk ini diterima baik masyarakat di sana.

Angkut anak

Kesibukan ke sana ke mari atas urusan kerja bagaimana pun tidak menyebabkan mereka mengabaikan anak-anak. Sementelah ketiga-tiganya masih kecil. Shah Farrel Islam, enam tahun, Shah Dazrin Islam, empat tahun dan Shah Andrez Islam, empat bulan juga tidak banyak karenah dan seolah-olah faham akan situasi  kerja ibu bapa mereka.

“Rutin harian kami sebelum keluar adalah menghabiskan masa dengan anak-anak di rumah. Jika ada masa terluang kami akan bawa mereka bercui dan jalan-jalan. Malah, ada ketikanya jika perlu kami angkut sekali anak-anak untuk turut serta.

“Walaupun masih kecil, mereka tak banyak songeh dan faham, Tapi biasalah budak-budak ada masanya buat perangai juga, meragam dan merajuk jika ditinggalkan. Tetapi apabila cakap baik-baik, mereka boleh terima,” ulas Dyana yang turut membela kucing dan mereka satu keluarga sangat memanjakan kucing sehingga sanggup menyediakan bilik khas untuk kucing-kucing ini tinggal.