Kereta Depan Lupa Buka Lampu, Cara Pemandu Ini Bagi Isyarat Raih Perhatian!

Share

Kadang ada masanya kita terlupa untuk membuka lampu kereta ketika memandu pada malam hari. Lebih-lebih lagi tempat yang dilalui itu terang dengan lampu yang ada disekelilingnya.

Situasi ini bukan sahaja membahayakan diri, malah orang di sekeliling kita juga turut mengundang bahaya jika tidak perasan kewujudan kita.

Baru-baru ini, tular satu video rakaman dari dashcam yang menarik perhatian orang ramai apabila seorang pemandu menunjukkan satu cara yang bijak untuk menegur pemandu yang terlupa membuka lampu kereta.

Melalui video tersebut, kelihatan sebuah kereta yang muncul dari sebelah kiri masuk ke dalam simpang yang agak gelap jalannya. Sebaik sahaja pemandu itu menghampiri palang had tinggi, dapat dilihat dengan jelas dia tidak membuka lampu kereta sekaligus menarik perhatian pemandu yang berada di belakangnya. Mungkin juga kerana lampu dari kereta belakang agak cerah menyebabkan pemandu itu menyangka dia telahpun membuka lampu keretanya.

Untuk menegur pemandu yang terlupa membuka lampu kereta itu, pemandu di belakangnya kemudian memadamkan lampu keretanya. Sebaik sahaja dia menutup lampu kereta, keadaan di jalan itu menjadi gelap gelita menyebabkan pemandu tersebut segera membuka lampu keretanya sendiri.

Tindakan bijak yang dilakukan oleh pemandu ini turut menerima pujian dari netizen kerana ia antara cara terbaik untuk menegur pemandu lain tanpa perlu membunyikan hon. Kebiasaannya jika membunyikan hon, ramai pemandu yang tidak dapat ‘menangkap’ apakah maksud di sebalik hon tersebut.

Meninjau di ruangan komen, rata-rata netizen turut berterima kasih dengan perkongsian yang diberikan ini. Malah ada yang tidak pernah terfikir untuk melakukannya setiap kali berhadapan dengan pemandu yang tidak membuka lampu kereta semasa memandu.

Sumber : Mohd Rithauddeen Sarno 

Dapatkan Telaga Biru Pakej Kenal Jawi Kenal Al Quran Set dengan kos diskaun RM5, dengan menggunakan  kod KELGST5 di sini