Setelah tertangguh akibat penularan wabak pandemik Covid-19, akhirnya terjawab segala teka teki apabila Nadhir Nasar dinobatkan menjadi juara bagi program pencarian Hero Remaja 2020 yang telah dilangsungkan pada Khamis.
Nadhir atau nama sebenarnya Ahmad Nadhir Bin Ahmad Nasar mengenepikan saingan sengit empat finalis akhir lain, sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM10,000 beserta trofi dan selempang.
Sementara itu, kedudukan di tempat kedua dan ketiga pula disandang oleh finalis akhir Umar dan Meerqeen, , masing-masing membawa pulang wang tunai RM7,000 dan RM5,000
beserta trofi dan selempang.
Manakala Jabir dan Haziq yang berada di tempat keempat dan kelima juga tidak pulang dengan tangan kosong apabila turut menerima wang tunai RM1,000 beserta trofi dan selempang.
Penilaian Finale Hero Remaja 2020 adalah berdasarkan 70 peratus markah juri, dan 30 peratus hasil dari komitmen peserta sepanjang terlibat dalam program tersebut.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria dan Astro Ria HD, Emarina Mohd Kamal berkata pemilihan juara dilihat dari cabaran yang dilalui oleh 12 finalis Hero remaja yang kebanyakan cabaran itu diungguli oleh Nadhir.
‘Apa yang Nadhir dah persembahkan masa final dan episod sebelumnya menjadi penentu untuk Nadhir menjadi juara untuk musim ini,’ katanya ketika sidang media.
Tambah Ema, mereka dalam mempunyai perancangan untuk menentukan hala tuju finalis Hero Remaja dalam industri tetapi masih proses dan perlu dibincangkan lagi mengikut kesesuaian para finalis.
Untuk malam kemuncak Hero Remaja 2020, para peserta akhir ditugaskan untuk melakukan sebuah video pesanan khidmat masyarakat (PSA) dan juga menjawab soalan yang diberikan oleh juri.
Kesemua finalis telah diadili barisan juri yang terdiri daripada Datuk Hans Issac dan Scha Alyahya selaku juri tetap serta Yusry Abdul Halim selaku juri jemputan.