Kerap Minum Kopi Sewaktu Hamil, Punca Anak Jadi Pendek

Share

Amalan minum kopi di kalangan masyarakat seperti sudah menjadi kebiasaan. Malah penangan minuman berkafien tinggi ini seperti sudah sebati dalam diri.

Jika tidak mendapatkannya sehari, boleh tak keruan hidup jadinya. Jadi tak mustahillah kopi sentiasa menjadi minuman utama dalam kehidupan.

Tapi awas! Amalan menikmati minuman ini sewaktu hamil dan berterusan boleh mempengaruhi perkembangan anak dalam kandungan.

Berdasarkan kajian jurnal JAMA Network Open, bayi yang terdedah kepada kafein ketika dalam kandungan cenderung untuk lebih pendek berbanding rakan sebayanya.

Menerusi 2,400 responden yang terdiri daripada wanita hamil, didapati anak yang dilahirkan daripada ibu yang mengambil kafein dan paraxanthine dalam kehidupan harian, lebih pendek.

Jurang ketinggian juga dilaporkan mengalami perbezaan seolah-olah anak berusia empat tahun dan lapan tahun.

Pun begitu, harus diingat kafein bukan hanya terkandung di dalam kopi sebaliknya meliputi coklat, teh dan juga air bikarbonat.

Maka disebabkan itu, pengambilan kafein dihalang khususnya untuk ibu hamil.

Bagaimanapun, pengkaji NIH, Jessica Gleason mengklasifikasikan dapatan kajian tentang perbezaan ketinggian itu masih rendah.

Baginya, kajian perlu lebih menyeluruh dan meliputi tahap kesihatan kanak-kanak terlibat serta adakah perbezaan ketinggian itu berlarutan sehingga dewasa.

Beliau juga menasihati supaya ibu hamil tidak panik dengan hasil kajian yang diperoleh itu kerana penelitian lebih lanjut diperlukan.

“Dapatan kajian ini bukanlah perbezaan besar dalam ketinggian meskipun terdapat bukti yang menyatakannya,” jelas Gleason.

Walaubagaimanapun, wanita hamil perlu berbincang tentang pengambilan kafein dengan doktor mereka bagi mengetahui kesan lanjut dan melihat perkembangan bayi dalam kandungan.

Sumber : Okezone

Artikel Berkaitan

Nak macam-macam info? Sila subscribe channel Telegram KELUARGA  dan join keluargagader club