Kerana Fluffy & Baby, Tuannya Bertemu Jodoh!

Share

Benarlah, jodoh itu rahsia Allah. Siapa sangka Afiq yang baru sahaja menamatkan zaman bujangnya  pada bulan Julai yang lalu bertemu jodoh dengan seorang wanita bernama Dalila Amli yang juga merupakan peminat haiwan berbulu ini.

“Dulu tidak pernah terfikir pun nak cari isteri yang juga seorang pencinta kucing. Masa kali pertama bertemu dengan Dila ketika gathering kucing di Setia City Mall. Masa itu Dila datang dengan kakak ipar dan dia bawa seekor kucing yang diberi nama Baby. Dan saya suka tengok Baby sebab gemuk dan Baby ketika itu berumur setahun.

“Saya cuba rapat dengan Dila sebab saya suka dengan Baby sebenarnya. Boleh dikatakan saya asyik mesej Dila sebab hendak minta Dila kongsikan gambar Baby pada saya. Akhirnya hubungan kami makin mesra, tambah-tambah lagi apabila Dila bertukar tempat kerja di Kuala Lumpur dan kebetulan pula dia berpindah berdekatan dengan kawasan perumahan saya.

“Bermula daripada situlah, kami mula bertukar-tukar kucing. Dila jaga Fluffy dan saya jaga Baby untuk mencari keserasian memandangkan bila kucing-kucing ini  didekatkan asyik hendak bergaduh sahaja terutamanya si Baby tu”.

Pasangan ini telah pun bertunang pada 6 Feb 2017 dan berkahwin pada 22 Jun 2018. Ternyata kehadiran si bulus begitu memberi makna dalam kehidupan kedua-duanya. Jika tidak masakan di hari persandingan  turut dibawanya Fluffy ke atas pelamin.

“Perkara paling menggembirakan dalam hidup saya apabila dapat bawa Fluffy naik pelamin sekali bersama-sama. Semua tetamu hendak bergambar dengan Fluffy, dan bagusnya Fluffy sepanjang majlis dia relaks sahaja dan tidak meragam”.

Ekstra info

tentang Fluffy si kucing pembonceng motosikal

Fluffy sebelum ini menjadi antara kucing yang cukup popular di media sosial. Kisahnya pernah viral beberapa tahun lalu apabila dilihat bersama tuannya menunggang motosikal. Gayanya yang begitu bersahaja dan terlihat comel berada di atas bahu  Afiq Shazwan On memang menarik perhatian.