Kerajaan Benarkan Pengeluaran KWSP RM10 Ribu, Rakyat Luah Rasa Syukur!

Share

Rakyat Malaysia sekali lagi tarik nafas lega setelah mendengar pengumuman dari Perdana Menteri sebentar tadi tentang pengeluaran khas KWSP sebanyak RM10,000 untuk pencarum KWSP.

Menerusi sidang media yang disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi, beliau berkata berdasarkan dapatan kajian dalam situasi pandemik ini, ada keluarga yang masih terkesan dari segi ekonomi, hilang pendapatan dan sedang membina mula kedudukan.

Bagaimanapun, penjelasan lanjut tentang pengeluaran KWSP ini akan disampaikan oleh Menteri Kewangan Malaysia nanti.

Pada masa yang sama, beliau berkata keputusan kali ini amat sukar kerana ia melibatkan simpanan hari tua rakyat Malaysia. Namun, pengeluaran khas ini merupakan jalan tengah untuk mengimbangi keperluan mendesak sekarang dan penyimpanan pada masa hadapan.

Walaupun kerajaan telah memberikan kebenaran untuk pengeluaran kali ini tetapi beliau merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan kecuali apabila berdepan dengan keadaan yang mendesak.

“Walaupun kerajaan berikan kebenaran untuk pengeluaran khas KWSP ini, namun saya merayu kepada para pencarum supaya mengekalkan simpanan mereka kecuali keadaan benar-benar mendesak.

“Saya berharap para pencarum buat pertimbangan sewajarnya sebelum melakukan pengeluaran demi masa depan,” katanya.

Sebelum ini kerajaan telah membenarkan pengeluaran Caruman Kumpulan Wang Pekerja (KWSP) sebanyak 3 kali melalui skim iaitu I-Lestari, I-Sinar dan I-Citra bermula sejak perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dari tahun 2020 hingga 2021.

Sehubungan itu, tambah Ismail, perincian pengeluaran khas tersebut akan ditetapkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) serta KWSP sendiri nanti.

Meneliti di ruangan komen, rata-rata rakyat Malaysia ucap rasa syukur berikutan pelbagai urusan yang memerlukan wang masih lagi tertunda akibat ujian yang melanda negara kita baru-baru ini.

Sumber : Astro Awani