Kepintaran Anak Bukan Diwarisi Semata Tapi Persekitaran Yang Kondusif. Take Note Semua!

Share

Ramai ibu bapa inginkan anak yang pintar yang cemerlang akademik.

Malah ada yang mengaitkan kepintaran anak diwarisi ibu.

Menurut perkongsian Noor Afidah Abu Bakar, kepintaran anak berkaitan dengan persekitaran yang sempurna di rumah.

_______________

Tahun lalu sebelum menularnya wabak COVID-19, telah terlebih dahulu tular sebuah kajian yang mengatakan kepintaran seorang anak diwarisi daripada ibunya. Maka terujalah para ibu dengan kajian tersebut dan masing-masing tidak melepaskan peluang berkongsi atau ‘tag’ suami masing-masing pada berita tersebut, termasuklah saya sendiri.

Walaupun berita tersebut ada kebenarannya namun ia tidaklah melaporkan 100% hasil kajian yang telah dilakukan. Kepintaran tidaklah semudah itu untuk diwarisi atau diperturunkan daripada seorang ibu kepada seorang anak.

Jika seorang anak dibesarkan di dalam rumah yang KAYA persekitarannya, maka kepintaran ini lebih mudah dikembangkan.

Kaya yang dimaksudkan di sini bukanlah kaya harta, tetapi rumah tersebut mempunyai ibubapa yang kaya dengan sikap yang positif terhadap proses pembelajaran.

Anak-anak di dalam rumah pula kaya dengan pendedahan kepada buku, kaya dengan perbincangan dan perbualan tentang idea, kaya dengan pengalaman dan penerokaan termasuklah di pelbagai persekitaran di luar rumah.
Anak yang dibesarkan dalam persekitaran yang kaya ini didapati lebih pintar dalam penyelesaian masalah dan mempunyai tahap perkembangan mental yang lebih baik.

Anak-anak yang dibesarkan dalam rumah yang MISKIN dengan perbualan dan perbincangan, miskin dengan bahan bacaan, miskin dengan pengalaman dan penerokaan, dan ibubapa pula tidak berminat untuk mempelajari perkara baru, maka perkembangan mental anak menjadi agak terbatas.

FAKTOR GENETIK (keturunan) memainkan 40-50% peranan dalam penentuan kepintaran.*

Peranan yang besar juga dimainkan oleh PERSEKITARAN di mana anak-anak dibesarkan dan GAYA KEIBUBAPAAN untuk membesarkan dan mendidik anak.
Kepintaran juga ditentukan oleh STIMULASI yang diterima anak dan juga PEMBAWAAN anak.

Adakah AYAH tidak menyumbang kepada kepintaran anak?
Oh! tidak.

Untuk menyelesaikan masalah, baik masalah pembelajaran atau pun masalah kehidupan, EMOSI dan GERAK HATI (INTUISI) juga memainkan peranan yang sangat penting bagi memudahkan proses penyelesaian masalah tersebut.

Kepintaran berkait rapat dengan fungsi pemikiran yang rasional.
Menurut kajian juga, fungsi pemikiran yang rasional ini banyak dipengaruhi oleh sumbangan yang dilakukan oleh ayah dalam proses pembesaran dan pertumbuhan seorang anak.
Ayah juga memainkan peranan yang sangat besar dalam perkembangan keupayaan mental anak, oleh itu ayah juga perlu hadir dalam hidup anak untuk memberi SOKONGAN EMOSI kepada anak agar keupayaan mental anak dapat berkembang dengan baik.

Ayah dan ibu, kedua-duanya sama penting.

Begitulah.

اَللّهُمَّ اغْفِرْلِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَارْحَمْهُمَاكَمَارَبَّيَانِيْ صَغِيْرَا

” Ya Allah! ampunilah dosaku dan dosa kedua ibu bapaku. Kasihanilah kedua-duanya sebagaimana mereka mengasihaniku semasa kecil”

Sumber: Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy