Kisah kanak-kanak ini viral di laman sosial media selepas dia mengutuskan surat terbuka yang mempersoalkan hukum sama ada budak-budak harus solat di saf belakang.
Menerusi perkongsian tersebut, kanak-kanak yang memperkenalkan dirinya sebagai Nadzrul Zarfan Sharul Azry menulis surat tersebut kepada imam, pengerusi dan juga ahli jawatankuasa surau berdekatan rumahnya.
Menurut Nadzrul, dia dihalau dari duduk di saf depan dan terpaksa berada di saf ketiga.
Surat terbuka itu akhirnya mendapat perhatian Mufti Wilayah Persekutuan iaitu Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri yang membalas surat terbuka itu di laman Facebook rasmi miliknya pada 5 Disember 2019 lalu.
Assalamualaikum wbt.
Ke hadapan anakanda Nadzrul Zarfan bin Sharul Azry bin Kasim bin Mat
Pakcik ada membaca surat anakanda yang ditularkan di media sosial. Ada yang tag pakcik di Twitter dan tanya berhubung kedudukan saf kanak-kanak dalam masjid/surau. Sebenarnya selaku Mufti Wilayah Persekutuan, pakcik dah ulas isu ini lama dahulu, tahun 2016 dalam Bayan Linnas bertajuk Masjid dan Kanak-Kanak. Anakanda boleh klik di sini http://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/1154-bayan-linnas-siri-63-masjid-kanak-kanak untuk membaca.
Ringkasnya, di dalam Sahih al-Bukhari, no. 380 terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang bagaimana Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.
Al-Imam al-Mawardi rahimahullah di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir: “dan telah berkata sebahagian ashab kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (di dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/340).
Maknanya anakanda, tak salah apa yang anakanda buat tu. Bagus duduk dengan orang-orang dewasa. Belajar cara solat dengan lebih sempurna. Tahniah pakcik ucapkan. Kalau ada orang kata nanti terputus saf bila ada budak-budak antara orang dewasa, cakap pada dia, Mufti Wilayah Persekutuan belum jumpa lagi mana-mana ulama’ yang kata begitu.
Secara umumnya, di bawah ini adalah keadaan saf mengikut bilangan makmum dan jantinanya.
1. Jika seorang imam bersama dengan dua orang ataupun lebih dari makmum lelaki, ataupun di belakang imam tersebut terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak maka keduanya berada di dalam satu saf di belakang imam.
2. Sekiranya seorang imam diikuti oleh dua orang makmum lelaki dan seorang perempuan, maka kedua orang lelaki tersebut berada dalam satu saf di belakang imam manakala perempuan tersebut berada di belakang keduanya.
Kepada pihak masjid dan ibu bapa, ini cadangan saya:
1. Jika kanak-kanak teramat kecil dan susah untuk di jaga serta mengganggu Jemaah, maka aulanya tidak di bawa ke masjid.
2. Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu-bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu-bapanya. Saya syorkan dalam keadaan sebegini, ibu-bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu dihujung sekali.
3. Jika kanak-kanak mampu berdikari, aulanya diletakkan di saf kanak-kanak. Tetapi kanak-kanak tersebut telah berada di saf pertama sejak awal, tidak perlu menghalau mereka ke belakang.
4. Sayugia juga wujudnya penyelia yang mengawasi dan membimbing kanak-kanak di dalam saf dan solat mereka agar kanak-kanak dapat melakukan solat dengan sebaik mungkin. Di samping itu, dia dapat menasihatkan kanak-kanak dari berbuat bising dengan mengajarkan adab-adab dan meraikan kehormatan masjid.
Tahniah sekali lagi pakcik ucapkan kepada anakanda Nadzrul. Pakcik doakan anakanda sentiasa menjaga solat lima waktu dan berusaha mendapatkan saf pertama setiap kali solat. Kalau jumpa pakcik di mana-mana nanti, kenalkan diri ya. Ada hadiah untuk Nadzrul.
Yang benar,
Dato’ Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan