Keibubapaan

Kenapa Anak Jepun Tak Menangis di Hari Pertama Sekolah? Ini Rahsianya!

Share

Semalam, sesi persekolahan baru sahaja bermula di kebanyakan negeri di Malaysia. Seperti yang dijangka, ramai ibu bapa berkongsi pengalaman anak-anak yang menangis di hari pertama sekolah, terutamanya bagi mereka yang pertama kali melangkah ke alam persekolahan.

Namun, menariknya di Jepun, hampir tiada anak-anak yang menangis pada hari pertama mereka ke sekolah. Mengapa perkara ini berlaku? Apa yang mereka lakukan sehingga anak-anak begitu tenang dan selesa?

Perkongsian daripada Zunita Ramli ini membuka mata kita tentang bagaimana sistem pendidikan di Jepun membantu kanak-kanak menyesuaikan diri tanpa air mata di hari pertama sekolah.

Budak-budak Jepun seronok ke sekolah.

Semalam sesi persekolahan baru bermula di kebanyakan negeri di Malaysia. Seperti yang dijangkakan, banyak gelagat anak-anak menangis bila pertama kali jejakkan kaki ke alam persekolahan.

Tapi menariknya, di Jepun, hampir tiada anak-anak menangis semasa hari pertama persekolahan.

Mengapa?

Pertama sekali perlu difahami mengapa anak-anak ini menangis. Kebanyakan anak-anak yang menangis ini kerana psikologi mereka rasa “tak selamat” berada di persekitaran baru. Muka-muka baru, rakan-rakan baru, guru baru, tambahan pula ibu bapa yang selama ini sentiasa bersama mereka, tiada (separation anxiety). Semua ini sangat asing bagi mereka.

Sebab itulah di Jepun, untuk anak-anak yang pertama kali mahu melangkah ke alam persekolahan seperti di tadika contohnya, tadika akan mengadakan aktiviti dan menjemput anak-anak yang bakal bersekolah di situ, paling kurang 2-3 kali sebelum sesi sebenar persekolahan bermula. Aktiviti ni boleh jadi seperti sukaneka, melawat kawasan sekolah, dan sebagainya.

Ini bagi membiasakan anak-anak ini dengan persekitaran tadika tersebut, kenal dengan rakan-rakan baru dan bakal guru mereka. Jadi bila mereka dah kenal dan dah biasa dengan persekitaran tersebut, ia akan mengurangkan rasa “tak selamat” dan seterusnya mengurangkan kadar tangisan di hari pertama persekolahan.

Satu lagi yang saya kira “genius”, hari pertama persekolahan di Jepun biasanya bermula Khamis.

Macam pelik kan, kenapa mula Khamis?

Kenapa bukan Isnin?

Secara psikologinya, ianya bertujuan untuk kurangkan impak perubahan rutin baru. Bermakna, mereka sekolah dua hari je Khamis Jumaat lepas tu cuti. Kira macam nak bagi fasa perubahan murid tak berapa drastik lah.

Bermakna, psikologi “seronok pergi sekolah” dah diterapkan dari hari pertama sesi persekolahan lagi, jadi tak ada isu lah untuk pelajar ke sekolah bagi minggu seterusnya.

Persediaan psikologi anak-anak untuk ke sekolah, dah dibuat jauh lebih awal. Nampak simple, tapi ia beri impak besar. Bila murid seronok ke sekolah, secara tak lansung akan kurang masalah ponteng, pelajar lebih fokus, semangat dan sebagainya.

Begitulah.

Sumber: Zunita Ramli