Kenapa Ada Bayi Takut Dengan Semua Orang Kecuali Ibu Bapa Sendiri. Ini Penjelasannya

Share

Orang kata bila bayi sudah meningkat usia mereka sudah kenal siapa orang di sekelilingnya. Jika orang yang tidak dikenali bayi pasti akan mudah menangis bila didekati kerana takut.

Bahkan lebih ekstrim ada sesetengah bayi hanya mahu ibu sahaja yang memegang dan mendukungnya dan menangis bila dipegang oleh si ayah.

Kenapa agaknya bayi takut dengan orang lain? Ia sudah pasti merisaukan ibu tentang perkembangan sosial anaknya.

Penjelasan daripada Puan Noor Afidah Abu Bakar, Certified Positive Parenting Educator (Parent Practice UK

) mungkin boleh memberi penjelasan kepada para ibu bapa terutama yang baru menimang cahaya mata untuk lebih mengenali dan memahami tahap perkembangan bayi.

Kenapa Bayi Takut Dengan Orang Lain?

Seorang ibu menghubungi saya kerana risaukan perkembangan sosial anaknya. Anak yang berusia 9 bulan ‘takut’ kepada orang lain selain dirinya dan suami. Malah dengan datuk dan nenek pun anak ‘tidak suka’ sehinggakan mengecilkan hati orang tua. Menurut ibu tersebut sebelum ini anaknya tidak begitu.

Adakah anda juga melalui situasi begini?

Situasi ini dikenali sebagai ‘STRANGER ANXIETY’ dan ia bukanlah berlaku secara rawak tanpa ada penjelasannya ataupun kerana anak anti-sosial. Ini adalah perkembangan normal bagi bayi berusia lingkungan 8 bulan.

Apakah yang berlaku ketika ini?

Otak bayi masih ‘work in progress’. Walaupun otak bayi secara fizikalnya sudah ada, namun proses perkembangan otak melalui pautan-pautan neuron (sel-sel otak) masih berlaku.

‘Stranger anxiety’ berkait rapat dengan proses perkembangan berfikir seorang bayi.
Pada usia 8 bulan, bahagian otak yang bertanggungjawab mengawal pemikiran manusia, iaitu pre-frontal cortex, sedang berkembang dengan pesat.

Perkembangan inilah yang menjana memori bayi dan membolehkan bayi menganalisa wajah yang dikenali dan tidak dikenali. Wajah yang tidak dikenali setelah dianalisa mewujudkan ‘anxiety’ atau kegusaran kepada bayi tersebut.

Proses ini tidak berlaku dengan pesat sebelum ini, oleh sebab itulah ‘stranger anxiety’ ini tidak berlaku sebelum usia tersebut.

Oleh itu jika ada datuk atau nenek yang berkecil hati, jelaskanlah bahawa pemikiran cucu sedang berkembang dengan pesat. Cucu sudah mula belajar untuk menganalisa dan mengenalpasti persekitarannya.

Ia adalah satu fasa penting dalam proses awal berfikir yang akan menjadikan cucu seorang yang pintar akalnya satu hari nanti. Insya Allah.

Fasa ‘stranger anxiety’ ini akan berlalu.
Perkembangan sosial bayi juga sedang berkembang. Bayi akan memberi respon kepada interaksi penuh belaian dan kasih sayang oleh datuk dan nenek.

Ingat lagi proses ‘serve and return’ yang pernah saya tulis?
Untuk mengetahui lebih lanjut tentang perkembangan otak kanak-kanak, saya sarankan agar anda membaca ‘Your Child’s Growing Mind – Brain Development and Learning’ oleh Jane M. Healy PhD.