“Kena Tunjuk Rasa Sayang, Jangan Pendam. Pasangan Perlu Tahu Kita Hargai Dia.” Alif Satar Kongsi Kunci Rumah Tangga Bahagia

Share

Pasangan ini berkahwin pada 15 September 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata iaitu Alisha Anugerah, 4 tahun dan Ariana Mecca, 2 tahun. Malah, mereka kini sedang menantikan cahaya mata ketiga yang bakal lahir tidak lama lagi.

Dalam usia 29 tahun, Alif Satar tampil sebagai penyanyi, pelakon dan pengacara. Selain merupakan seorang artis yang serba boleh, Alif Satar juga antara selebriti Malaysia yang tidak pernah dihimpit kontroversi.

Biar namanya kian meniti di bibir masyarakat, namun selebriti ini tidak mudah lupa diri. Keluarga menjadi keutamaannya dalam segala hal, membuatkan ramai yang memuji seorang suami dan ayah yang baik dan bertanggung jawab.

Dalam satu temu bual sedikit masa lalu, jelas Alif Satar, kunci kejayaan dalam industri ini adalah ‘kena smart’ dan buat keputusan yang bijak. Jelasnya duit bukan segalanya.

Bila berkaitan dengan anak-anak dan keluarga, jujur mengakui dirinya jenis ‘family man’. Baik pada isteri dan anak-anak, begitu juga dengan ahli keluarga dan adik-beradik lain. Jadi, kalau tak dapat sehari, sekurang-kurangnya berkumpul semeja untuk makan bersama sudah memadai.

Jujur mengakui sangat bersyukur kerana mendapat isteri, Shadila Halid yang memahami dan memudahkannya untuk membahagikan masa antara kerjaya dan rumah tangga.

Baru-baru ini, menerusi satu temu bual dengan stesen radio, Zayan, Alif telah menceritakan segala pengalaman pahit manis sepanjang lima tahun dia berumah tangga.

Kongsi bahagia bersama

Dalam perkongsian tersebut, Alif berkongsi kunci kejayaan perkahwinannya bersama isteri. Menurut Hos Big Stage ini, setiap pasangan itu perlu saling sokong-menyokong di antara satu sama lain sama ada secara fizikal, mental, mahupun rohani.

Tambahnya, dalam perkahwinannya sendiri, dia dan Shadila perlu bahagia secara individu dahulu, dan kebahagiaan itu kemudiannya dikongsi bersama-sama.

“Kena sokong antara satu sama lain. Perkara paling penting yang menjadi pegangan dalam rumah tangga adalah komunikasi. Setiap pasangan juga kena tahu yang ego kita sebenarnya tak berbaloi untuk hilang seseorang yang kita sayang. Jadi biarlah kita mengaku kalah sebelum perkara yang tak diingini berlaku lebih lebih teruk,” katanya.

Isteri penyokong dulu dan kini

Dalam temu bual itu, Alif turut meluahkan rasa kagumnya kepada isteri yang sentiasa menyokong dirinya dari dulu sehingga kini.

“Isteri Alif itu sebenarnya Alif lah. Bila Alif jatuh, dialah yang bantu Alif bangun kembali. Bila Alif tak semangat. dia yang bantu bangkitkan semula semangat Alif,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Alif turut merasa bangga dengan isterinya yang tidak lokek menjadi ibu kepada anak-anaknya.

Pengorbanan luar biasa seorang ibu

Katanya, tak mudah nak jaga anak-anak semasa dekat rumah terutamanya apabila isteri pun bekerja kemudian kena balik lagi untuk jaga anak.

“Alif rasa itulah pengorbanan yang luar biasa. Ada satu tahap penghargaan dan penghormatan kepada para ibu yang bekerja ataupun tidak. Tapi menjadi satu unit keluarga itu bukanlah perkara senang.

“Seorang lelaki tak ada benda tu. Kita boleh buat sekali dalam sebulan. Tapi nak membuatnya hari-hari kita stress, tapi seorang ibu boleh buat benda tu dengan automatiknya 365 hari  setahun,” tambahnya lagi.

Hargai satu sama lain

Oleh kerana terlalu sibuk dengan kerja, setiap pasangan perlu tahu bilakah masa yang sesuai untuk meluangkan masa bersama keluarga dan anak-anak di rumah.

“Selain itu, kita kena tahu bila masa untuk ‘back off’ bila berlaku situasi tegang. Kita kena bertenang dan letakkan ego ke tepi kerana sayang dan hargai isteri. Kita tak nak benda itu menjadi lebih teruk.

“Cara memahami pasangan mudah, kena tahu  peranan  dan body language atau signal dari pasangan. Kita kena tunjukkan kasih sayang, jangan pendam. Kadang kala pasangan kena tahu yang kita sayang dan hargai mereka.

“Sentiasa menghargai antara satu sama lain penting dalam satu perhubungan. Bila kahwin kita nak sehidup semata. Tak berbaloi bergaduh lama-lama, takkan ke mana. Bila kita terlalu sibuk, kita kena tahu bila untuk habiskan masa dengan keluarga.

“Tip paling penting di rumah, phone boleh letak jauh-jauh. Biar duduk sama-sama satu tempat, tak perlu bersembang pun. Tengok TV sama-sama ke. membaca atau anak-anak saya suka melukis sama-sama.

“Tempat paling penting dalam rumah adalah meja makan. Sekali dalam sehari tu makanlah sama-sama sama ada sarapan, makan tengah hari atau makan malam,” jelasnya.

Percaya rezeki lepas kahwin

Akui Alif, kehidupan lepas berkahwin sangat seronok dan percaya ada rezeki lepas berkahwin.

“Lepas kahwin ada rezeki kerana itu sudah dijanjikan. Rezeki tu ada dalam perkahwinan, rezeki tu ada dalam anak-anak. Saya dulu kahwin dengan mas kahwin hanya RM80 dan majlis biasa-biasa sahaja. Kena ingat kita nak kahwin lama, dan banyak benda yang kita nak capai bersama. Sama ada rumah, melancong bersama atau melakukan umrah dan melihat dunia bersama. Itu yang lebih indah “ungkap Alif lagi.

Sumber: fb Zayan

Sumber gambar: IG alifsatar