Dia disahkan menghidap kanser 3 tahun lepas iaitu sekitar bulan 5, 2015. Usai mengetahui diri menghidap penyakit yang cukup digeruni, kehidupan Nor Asiah Noh, 39 berubah 360 darjah.
Berkongsi cerita awal ketika mengetahui diri ada kanser tersebut, Nor Asiah berkata, ia bermula pada 2015 apabila melihat ada bintik-bintik merah seperti darah di bra iaitu hujung puting payudaranya.
Tetapi ketika itu katanya, dia tidak berasa sakit di bahagian tersebut dan anggap mungkin kerana gigitan nyamuk seterusnya tidak terus berjumpa doktor.
“Namun, apabila telah berlarutan beberapa hari, saya buat keputusan berjumpa doktor dan ketika itu doktor memberitahu bahawa gejala itu hanya ulser puting sahaja.
“Saya bertanya lagi sama ada ia kanser? Doktor menjawab, jika kanser pun mungkin kanser puting sahaja dan doktor hanya memberi ubat antibiotik dan krim untuk sapu luka.
“Bagaimanapun, tidak juga pulih, dan semakin merebak di sekitar payudara. Kemudian baru saya rasa ada ketulan apabila sudah hampir datang haid. Bila buat pemeriksaan doktor, sah itu kanser,” kongsinya.
Anak kelahiran Kelantan ini juga melakukan pembedahan membuang sebelah payudaranya setelah setahun mengetahui ada kanser. Selain itu, dia juga perlu melalui tempoh kemoterapi selain banyak berpantang demi menjaga kesihatan.
“Banyak benda yang akak tak boleh makan, contoh daging lembu, taufu fa(soya bean), gula putih dan sebahgainya. Waktu itu, kehidupan akak hanya di hospital, berulang alik untuk rawatan dan temu janji.
“Dulu akak aktif bersukan tapi dah kena kurang kan sebab cepat penat. Tapi akak masih lagi terlibat dengan aktiviti kumpulan kanser mcm fun run, charity. Malah dari situ akak kenal ramai kawan-kawan senasib melalui support grup.
Ibu kepada empat cahaya mata ini bagaimana pun bersyukur kerana anak-anak banyak memberi sokongan untuk dia lebih kuat.
“Pada asal nya susah untuk akak nak terangkan pada anak-anak. Tapi alhamdulillah yang besar-besar rajin mencari info melalui bahan bacaan bagaimana nak handle pesakit kanser mcm diet semua tu. Sebagai ibu, akak bersyukur sangat dapat anak-anak yang cukup prihatin.
“Yang ada kini hanyalah untuk anak-anak, jadi saya perlu kuat. Tidak boleh tunjuk yang saya ini sakit depan mereka. Anak yang sulung umur 19 tahun, kedua 18 tahun, ketiga pula tingkatan dua dan bongsu darjah enam. Alhamdulillah anak-anak faham dengan penyakit yang saya alami terutama yang sulung dan kedua.
“Mereka selalu mengingatkan saya agar jaga kesihatan, jaga makan, bersenam dan rehat secukupnya. Sebagai ibu saya sangat terharu. Kerana mereka jugalah perasaan untuk sihat tu kuat, ada semangat juang. Semua itu sebab anak-anak.
“Bagi akak, anak-anak hanya ada akak je. Kalau akak tak ada, mana mereka nak tuju. Tiap kali sedih, akak akan lawan. Menangis tu perlu kerana daripada situ akak mencari kekuatan.
“Lagi satu mak dan ayah yang banyak berkorban masa dan tenaga menjaga akak masa dalam rawatan. Terutama sekali mak yang masakkan bubur, suap kan lagi. Belum bab tak tidur menjaga akak. Jadi, akak bertekad untuk cepat baik agar dapat membalas jasa mak dan ayah.
“Selain itu, akak sendiri nak tengok anak-anak membesar dan berjaya depan mata,” ujar Asiah yang kini masih lagi dalam rawatan susulan di Pusat Kanser Negara.
Mengakui bukan mudah melalui semua ini, ditambah pula apabila ada benda yang membuatkan diri mula ‘down’.
“Bila sebut bab ‘down’ memang susah nak elak perasaan ini. Ditambah pula di sekeliling kita ni sebenarnya banyak negatif vibes tau. Terutama orang di sekeliling kite. Sebab itu seboleh mungkin, elakkan dari toxic people ni.
“Mereka tak penah kena kanser jadi takkan faham kita. Cuba cari apa yang buat kita happy. Create masa bersama family. Minta dengan Allah untuk reda, bila kita reda, perasaan bahagia tu akan automatik hadir.
“ Insyallah. Allah tu selalu ada untuk kita. Kena yakin dan percaya bahawa ini lah hadiah untuk kita. Dengan cara ini Allah sedang mengampuni dosa dan mengangkat darjat kita.
Menurut Asiah lagi, dia bukan orang pertama menghidap kanser.
“Arwah nenek di sebelah mak mengidap kanser tiroid. Begitu juga arwah nenek di sebelah ayah, kanser ovari.
“Nasihat akak pada pejuang kanser di luar sana, terus kan berjuang. Cekal kan diri, kuat kan semangat. Kita adalah insan kesayangan Allah dengan diuji dengan nikmat kesakitan yang tiada hujung, tapi kena ingat, syarat mati bukan lah kanser.
“Kepada masyarakat, akak mohon agar sama-sama membantu golongan pesakit kanser ini. Tak kisah la kanser ape pun. Sokongan moral anda semua amat berharga. Terima kasih juga kerana meraikan pesakit kanser payu dara melalui kempen-kempen di sepanjang bulan Oktober ini.