Berita

Kemelut Kewangan, MARA Ambil Tindakan Kebankrapan Terhadap Che Ta dan Anak

Share

Bahagian undang-undang Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang mengambil langkah untuk memfailkan kebankrapan terhadap pelakon terkenal, Rozita Che Wan, 51, atau Che Ta, bersama anak sulungnya, Ammar Effendy, 28, selepas gagal melunaskan pinjaman berjumlah hampir RM1 juta yang tertunggak sejak tahun 2017.

Tiada siapa yang mahu hidupnya diuji dengan dugaan sebesar ini. Di sebalik kemelut yang berlaku, pasti berat untuk Cha Ta  dan anaknya memikul beban ini, apatah lagi dengan pandangan serta tekanan daripada masyarakat.

Dalam pada itu, tindakan tersebut adalah langkah susulan oleh MARA selepas selebriti itu gagal menyelesaikan hutangnya selama tujuh tahun, meskipun pelbagai usaha telah dilakukan untuk mendapatkan semula bayaran termasuk membawa kes ini ke peringkat mahkamah.

Difahamkan, pinjaman MARA sebanyak RM960,000 itu dibuat oleh syarikat milik Rozita, RCW Worldwide Sdn Bhd, dengan Rozita dan anak sulungnya, Ammar Effendy, bertindak sebagai penjamin.

Menurut maklumat, pada Julai tahun lalu, MARA telah memfailkan notis kebankrapan terhadap Rozita dan anaknya. Namun, notis tersebut terpaksa ditarik balik pada bulan lalu akibat isu teknikal sebelum tindakan Writ Penyitaan dan Penjualan (WSS) ke atas harta milik pelakon itu dilaksanakan pada Selasa lalu.

Memetik laporan Berita Harian, Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata tindakan kebankrapan kali ini hanya akan dihentikan jika Rozita membayar sepenuhnya pinjaman itu susulan MARA tidak lagi memberi pelanjutan tempoh pembayaran hutang terbabit selepas mahkamah membuat keputusan muktamad mengenainya.

Beliau berkata, tindakan itu adalah proses sama yang diambil MARA terhadap mana-mana peminjam yang enggan atau gagal melunaskan hutang mereka seperti terkandung dalam perjanjian ditandatangani selepas pelbagai pemudah cara pembayaran diberikan.

“Saya sudah mengarahkan bahagian undang-undang MARA mengambil tindakan muflis terhadap pelakon itu kerana kita sudah memberi tempoh secukupnya untuk beliau melunaskan hutang pinjaman hampir RM1 juta yang dibuatnya sejak tujuh tahun lalu.

“Tiada siapa boleh menghalang tindakan MARA ini kerana ia perintah mahkamah. Sebenarnya, kita tidak sewenang-wenangnya mengambil tindakan terhadap peminjam yang culas atau memilih bulu dalam tindakan dilakukan.

“Ini kerana MARA terikat dengan prosedur dan proses yang ketat menurut lunas undang-undang, malah sebelum sebarang tindakan perundangan dilakukan, nilai ‘ihsan’ juga diutamakan dengan memberi ruang kepada peminjam yang bermasalah untuk datang ke MARA berunding mengenai penjadualan dan penstrukturan hutang mereka,” katanya kepada BH, hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, tindakan perundangan adalah jalan terakhir diambil pihaknya jika semua usaha dilakukan MARA untuk pembayaran semula pinjaman tidak diendahkan peminjam dan ketegasan ini bagi memastikan setiap sen wang rakyat dapat dikutip semula untuk manfaat orang lain pula.

Beliau berkata, MARA sebelum itu sudah membuka pintu rundingan supaya penjadualan dan penstrukturan semula pinjaman dapat dilakukan jika mereka menghadapi masalah.

“Bagaimanapun, bagi kes pelakon ini, saya difahamkan dia tidak memberi kerjasama sepatutnya, malah kes berlarutan lama kerana banyak kali mahkamah ditangguhkan kerana dia membuat pertukaran peguam,” katanya.

Mengulas serbuan dibuat di rumah Rozita di Kota Damansara, Petaling Jaya, Asyraf Wajdi berkata, ia susulan alamat yang tertera pada perjanjian ditandatangani dengan MARA membabitkan rumah berkenaan.

“Nilai sebenar barangan yang disita dari rumah itu pula hanya diketahui selepas lelongan dibuat nanti. Setakat ini, jumlah itu jauh lebih rendah daripada hutang sebenar yang perlu dibayarnya kepada MARA,” katanya.

Jumlah pinjaman RM960,000

Sementara itu, sumber berkata, pinjaman berjumlah RM960,000 dibuat di MARA Selangor dengan pelakon itu dan anaknya sebagai penjamin, selain simpanan tetap RM80,000 dijadikan cagaran.

Bagaimanapun, katanya, simpanan tetap itu sudah dicairkan MARA sebelum ini.

“Tidak dinafikan pelakon itu pernah beberapa kali memohon untuk mengurangkan bayaran pinjaman dan membuat penjadualan semula, tetapi selepas itu dia senyap begitu saja.

“Penghakiman terhadap Rozita dan anaknya dibuat mahkamah pada Mei tahun lalu. Peguam Rozita juga ada menghubungi MARA tetapi arahan yang diterima ialah pelakon terbabit perlu melunaskan hutang itu sepenuhnya,” katanya.

Sumber berkata, antara barangan yang disita di rumah Rozita pada Selasa lalu termasuk sebuah kereta, perabot, kasut dan peralatan rumah.

Katanya, mereka hanya menunggu tarikh daripada mahkamah untuk melakukan lelongan barangan berkenaan yang akan ditentukan kemudia