Bisnes

Kembara PREChatin X YIDE 2024 santuni 167 anak yatim, eratkan ukhwah dengan pelbagai aktiviti

Share

Lebih 80 warga PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC) dan anak syarikatnya iaitu Park Here Sdn Bhd, Central Holdings Berhad serta Elit Hartanah PHE Sdn Bhd telah menyantuni seramai 167 orang anak – anak yatim dari empat buah rumah menerusi Konvoi Kembara PRECHATIN X YIDE 2024.

Program ini adalah salah satu inisiatif PREC dengan kerjasama dan khidmat nasihat daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk memberi semula kepada insan memerlukan melalui cara agihan wakalah zakat yang telah diperuntukkan.

“Untuk Kembara PREChatin X YIDE pada tahun ini, RM93,750.00 peruntukan wakalah zakat disalurkan kepada 167 orang anak yatim di empat buah rumah anak yatim dibawah kelolaan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE)”.

Pada majlis sama, PREC turut menyampaikan sumbangan melalui peruntukan wakalah zakat berjumlah RM20,000.00 kepada YIDE bagi tujuan pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah” kata Pengurus Besar Kewangan Korporat & Strategi PKNS Real Estate Sdn Bhd (PREC), Puan Netty Hezreena Abd Malek.

“Tahun ini agak istimewa kerana ini adalah kali pertama PREC berkolaborasi bersama pihak YIDE dalam program kami. Konvoi PREChatin pada tahun ini juga menyaksikan ianya pertama kali dilangsungkan selain dari bulan Ramadan. Kerana bagi kami tanggungjawab menyantuni anak yatim bukan sekadar rutin di bulan Ramadan, namun ianya perlulah dilakukan secara konsisten dan berstrategi. Mereka juga perlu disantuni pada bulan-bulan lain. PREC mengambil tanggungjawab ini dengan mengisi “kekosongan” mereka pada bulan selain Ramadan” tambahnya lagi.

Beliau berkata demikian di majlis perasmian Konvoi Kembara PREChatin X YIDE 2024 yang berlangsung di Pusat Beli Belah SACC pada Rabu lalu.

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Pengurus Besar YIDE, Nur Mohd Razali Abdullah; Ketua Jabatan Pengurusan Muzakki dan Komunikasi LZS, Khairul Azhan Ahmat serta kakitangan anak syarikat PREC merangkumi Park Here Sdn Bhd, Central Holdings Berhad dan Elit Hartanah PHE Sdn Bhd.

Rumah anak yatim yang disantuni oleh warga PREC pada tahun ini adalah Pertubuhan Rahoma Darul Fakir Malaysia, Pusat Jagaan Darul Sakinah Angkasa, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu serta Pertubuhan Kebajikan Kasih Nurul Hasanah.

Pihaknya PREC turut menyampaikan sumbangan berupa wang tunai, barangan keperluan asas dan perkakas elektrik bagi mengurangkan beban perbelanjaan harian selain turut memberikan duit poket kepada setiap penghuni dan penjaga rumah anak yatim tersebut bagi mengekalkan tradisi konvoi kembara tersebut.

Dalam kunjungan tersebut, kakitangan PREC turut mengambil peluang mempererat ukhwah bersama dengan penghuni rumah dengan melakukan pelbagai aktiviti antaranya ialah sesi bersama maskot, kuiz, sesi bercerita, melukis dan mewarna, menghias rumah, membaiki kerosakan rumah dan memperindah beberapa kawasan rumah seperti mengecat dan sebagainya.