Suasana suram di hadapan Unit Forensik Hospital Sungai Bakap dapat dirasai apabila Syafiq Ahmad menggendong jenazah bayi lelakinya yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya awal pagi tadi.
Dalam perkongsian gambar yang dimuat naik oleh Bernaman itu, dapat dilihat penyerang Johor Darul Takzim (JDT) itu tidak dapat menahan sedih ketika mencium jenazah anak lelakinya Muhammad Aisy Saqeef, 22 hari, selepas selasai dikapankan di Hospital Sungai Bakap, Pulau pinang.
Syafiq dan ahli keluarganya dilaporkan terlibat dalam satu kemalangan yang berlaku di Km163 Lebuhraya Utara-Selatan di Sungai Bakap sekitar 5.30 pagi tadi.
Dua lagi yang maut dalam nahas itu ialah ibu mentuanya Zainab Wahab, 45, serta pembantu rumah warga Indonesia, Titik Sukamti, 30-an.
Sementara itu, Norain Shahadan,50 yang merupakan bapa mentua kepada Syafiq memberitahu, arwah isterinya ada meminta dia mengemas rumah untuk menyambut cucu baru mereka.
“Arwah isteri, Zainab Wahab, 46, ada hubungi saya dua hari lalu dan minta kemaskan rumah sebab nak bawa balik cucu baru.
“Tapi tak sangka pula dia dan cucu pulang sebagai jenazah,” kata Norain lagi.
Menurut Norain, dia menerima berita sedih itu melalui besannya, Ahmad Ibrahim, 56, yang menghubunginya sekitar 6 pagi tadi.
Katanya, dia ketika itu antara percaya atau tidak apabila dimaklumkan isterinya dan cucu mereka, Muhammad Aisy Saqeef, 22 hari, meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 163 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Plaza Tol Jawi, di sini, hari ini.
“Saya tidak menyangka, namun reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan isteri dan cucu kedua kami.
“Namun, saya bersyukur anak sulung, Nur Amalina, 25, menantu, Muhamad Syafiq Ahmad, 25, serta cucu sulung, Aaira Nur Saffiyya, 2, selamat,” katanya lagi.
Sumber: Harian Metro & BERNAMA