Keluarga Ni Share Apa Perubahan Besar Bila Buat Solat Berjemaah. Ambil Pengajarannya!

Share

Perkongsian keluarga ini wajar dijadikan pengajaran untuk kita dalam  memperbaiki keharmonian hidup berumah tangga.

Apatah lagi jika sudah melalui fasa-fasa perkahwinan yang punya banyak liku dan cabarannya.

Jom semak perkongsian ini untuk manfaat bersama.

Suami isteri selalu bergaduh? Oh rupanya itu puncanya…

Assalamualaikum ustazah, saya nak kongsi dengan ustazah kisah keluarga kecil kami…

Alhamdulillah saya dengan suami hampir 10tahun menjadi suami isteri, masih muda tetapi banyak perkara yang kami belajar bersama. Awal perkahwinan, saya bekerja dan suami masih belajar. Alhamdulillah tahun-tahun pertama mendatangi kehidupan kami berjalan dengan lancarnya.

Beroleh anak pertama, suami saya dikurniakan kerja yang agak stabil. Cukup untuk menampung hidup bertiga. Dia tidak kisah berulang alik sejauh 80km sehari-hari asalkan memudahkan kerja saya.

Masuk anak ketiga, keharmonian rumah kecil kami mula sedikit tergugat. Ada saja yang menempah kemarahan. Puncanya suami merasa saya melebihkan anak walhal saya pula merasa dia semakin kurang membantu. Masing-masing menjeruk rasa. Semakin banyak yang tak puas hati. Ada saja yang tidak kena di mata.

Saya mula berfikir dimana silapnya. Saya berdoa semoga Allah menunjukkan jalannya. Sehinggalah suatu hari anak sulung saya bertanya, kenapa kakak lihat abah dan mama sudah jarang solat bersama? Mama sudah tidak lagi membentang sejadah, abah tidak lagi mengucapkan doa yang baik-baik buat keluarga kita..

Allahuakbar, baru perasan, dalam sibuk nak membina kerjaya yang kukuh, mendidik anak supaya berjaya, kami terlupa nak sujud bersama, terlupa nak aminkan doa bersama, pendek kata kami berjemaah meminta dunia tetapi bersendirian menuju akhirat. Astaghfirullah….

Mujur Allah masih sayangkan kami. Suatu malam, diusia perkahwinan kami yang kesepuluh, saya memegang tangan suami, dengan perlahan saya menangis didepannya. Saya cuma sebut, mama rindu nak solat berjemaah sama-sama. Hanya dengan ungkapan itu, suami memeluk saya dan langsung memohon maaf.

Bermula dari hari itu, kami mula membahagi tugas bersama. Barang anak suami siapkan dan saya uruskan gosok menggosok pakaian kerja.

Baju yang sudah dipakai, suami basuhkan dan saya urus masak memasak. Lebih lama sujud dilantai bersama, lebih banyak keharmonian dan keberkatan yang kami perolehi.

Alhamdulillah, hari ini sekalipun harta dunia kami tidak sebanyak mana, cukuplah ia menenangkan keluarga kecil kami.

Saya berkongsi untuk memberitahu, kekadang kita mengatakan ketiadaan persefahaman membuatkan kita berpisah.

Hakikat sebenarnya Allahlah yang menyatukan kita. Kalaulah rumah itu dikukuhkan dengan simen, dan batu bata, maka keimanan dan pemahaman agamalah yang mengikat hati suami dan isteri seadanya.

Sumber : Fastabiqul khairat via bahagian dakwah jakim