“Keluarga Itu Membahagiakan Saya.” Mawar Rashid Bahagia Bergelar ‘Ibu Segera’, Suami Banyak Beri Tunjuk Ajar

Share

Mendirikan rumah tangga dalam usia yang cukup muda, namun pelakon berdarah kacukan Siam ini cukup bijak membawa diri sebagai isteri dan juga menantu.

Menggalas tanggung jawab sebagai isteri, menantu dan ibu tiri, akui Mawar Rashid, isteri kesayangan Raden Ahmad Faizal Yaakob atau Raf Yaakob ini, kehidupannya cukup membahagiakan dan sangat bersyukur serta berterima kasih kepada suami dan familinya.

“Masih banyak yang perlu saya belajar dalam kehidupan ini terutama sekali status dan tanggung jawab saya sekarang sudah berbeza. Apa pun saya bersyukur dan bahagia dengan apa yang saya tempuhi sekarang. Dalam usia 23 tahun saya sudah menggalas tanggung jawab sebagai isteri dan juga ibu tiri.

“Bila dah ada anak kehidupan suami isteri sudah berbeza. Sebab itu saya seboleh mungkin tak nak ‘miss’ momen anak, Raden Muhammad Rafael membesar. Kebetulan anak kami masih kecil jadi tak semua tawaran berlakon saya terima. Walaupun ini kerjaya yang saya minat, namun keluarga adalah keutamaan.

“Saya memang suka dengan keluarga besar jadi apabila suami cakap dia nak tiga lagi anak dengan saya, memang tak ada masalah sebab saya sendiri datang dari keluarga yang besar. Walaupun ramai tapi hubungan kami sangat rapat. Itulah yang ingin saya praktikkan dalam rumah tangga kami. Kalau sebelum ini saya dan suami, Raf Yaakob cadang nak tambah ahli keluarga lepas anak dah lebih 3 tahun, tapi sekarang kami dah tak mahu rancang. Jika ada rezeki kami terima,” ulas Mawar lagi.

Bukan mudah bergelar ‘ibu segera’ pada anak-anak, Rayyan dan Raysaa yang dah besar sebab tanggung jawab cukup berat. Bila anak buat salah, Mawar akui akan tegur dengan berhemah.

“Suami banyak main peranan dalam membantu mendidik saya dan anak-anak. Alhamdulillah, keluarga kecil kami sangat bahagia. Walaupun dulu saya meletakkan sasaran mendirikan rumah tangga di kala usia 28 tahun, tetapi saya tidak menyesal. Sebaliknya saya bertuah kerana mendapat suami yang penyayang dan bertanggung jawab.

“Memang saya akui agak takut dan gementar untuk menggalas tanggung jawab besar ini, tetapi suami dan ahli keluarga lain banyak beri sokongan. Tak timbul soal tak boleh enjoy

sebaliknya saya rasa bertuah kerana sejak dulu saya sangat mementingkan keluarga. Malah bagi saya keluarga itu membahagiakan saya,” ujar Mawar lagi yang mengakui menjadi seorang ibu kena ada sifat sabar yang tinggi dan tidak pilih kasih antara anak-anak.

Kemesraan bukan dibuat-buat

Melihatkan kemesraan pasangan ini di media sosial, ramai yang memuji tak kurang ada mulut nakal yang mengatakan itu sekadar kemesraan yang dibuat-buat. Namun, bagi empunya diri, Mawar atau nama sebenarnya Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid tidak suka mengambil peduli akan kata-kata orang.

“Saya tidak kisah dicemuh dan dikutuk warganet kerana saya dan suami diajar hidup berkasih sayang oleh keluarga masing-masing, sejak kecil lagi. Acuan kehidupan kami sama. Sebab itu antara saya dan Raf cepat serasi. Selepas kenal enam bulan, kami mengambil keputusan mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017.

“Kalau warganet mahu mengata saya dan Raf suka menunjuk-nunjuk, itu terserah. Ia sama sekali tidak menyekat saya untuk terus memuat naik gambar atau video di laman sosial. Bagi saya, laman Instagram (IG) adalah diari kehidupan yang boleh dijadikan kenangan dan tatapan anak cucu pada masa depan,” ujar pelakon Tq Captain ini lagi.

Bakal keluar produk kosmetik

Mengulas lanjut mengenai kerjaya masing-masing, Ujar Mawar mereka kini dalam proses untuk mengeluarkan produk kosmetik sendiri.

“Walaupun sibuk dengan berlakon dan juga keluarga, namun saya mahu cuba benda baru. Jadi, saya memilih untuk membuka bisnes dan perancangan ini adalah bersama dengan ahli keluarga. Soal aktif berlakon taka da masalah kerana itu memang minat saya sejak dahulu lagi. Memang saya akan teruskan walaupun sudah ada bisnes kelak.

“Mungkin keluarga yang akan uruskan manakala saya lebih fokus soal pemasaran produk ini kelak Tetapi tak bermakna saya buat sambil lewa kerana dalam menjayakan sesuatu kita kena fokus dan ada usaha ke arah itu. Sebab itulah saya sanggup masuk kelas belajar tentang ilmu bisnes kerana selain mahu menjadi pelakon versetail, saya juga mahu tampil sebagai seorang usahawa yang berjaya,” jelas Mawar lagi.